lightning-solid
Berita :
Kerajaan Teliti Pandangan Rakyat, Arah SATU Bertindak
Kerajaan Teliti Pandangan Rakyat, Arah SATU Bertindak
Mastura Jamal Din
24 Sep 25
1775

KUALA TERENGGANU, 24 September – Kerajaan Negeri Terengganu mengambil maklum dan menzahirkan keprihatinan terhadap aduan rakyat berhubung isu pelarasan tarif air yang mula dikuatkuasakan oleh Syarikat Air Terengganu (SATU) bermula 1 Ogos 2025.

Setiausaha Kerajaan negeri, Dato' Nara Setia, berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada hari ini telah membincangkan perkara itu secara terperinci dengan menilai semua aspek berkaitan bagi memastikan keadilan dapat diberikan kepada semua pihak.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah mengarahkan SATU untuk melakukan penelitian semula dari segenap aspek dan seterusnya mengemukakan pelan bertindak baharu dalam masa terdekat.

“Langkah ini penting agar segala aduan dan keresahan pengguna yang terkesan dapat disantuni dengan sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi  antara tumpuan utama kerajaan adalah kesan bebanan kos sara hidup rakyat ekoran kenaikan tarif berkenaan, selain mengambil kira peningkatan kos operasi yang ditanggung SATU.

Untuk rekod, kenaikan tarif air di seluruh negara termasuk di Terengganu dibuat selaras dengan garis panduan yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi memastikan kelangsungan operasi syarikat pembekalan air negeri, selain meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengguna.


 


Tag :

Artikel Berkaitan