lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

MBKT Sita Palang Haram di Pulau Warisan
MBKT Sita Palang Haram di Pulau Warisan
KUALA TERENGGANU, 28 September - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mengambil tindakan terhadap pemasangan palang parkir yang didirikan tanpa kebenaran pihak majlis di kawasan Pulau Warisan dalam operasi yang dijalankan malam tadi. Jurucakap MBKT memaklumkan, perbuatan tersebut adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 46(1)(a), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133). "Sehubungan itu, pihak majlis memohon pemilik untuk mengalih atau merobohkan besi (palang) tersebut dengan segera," ujarnya dalam satu hantaran di laman facebook rasmi MBKT, hari ini. Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa merujuk sumber rasmi MBKT bagi mengelakkan kekeliruan dan penyebaran maklumat tidak tepat. Terdahulu, isu pemasangan palang automatik di Pulau Warisan tular baru-baru ini ekoran didapati dipasang tanpa sebarang permohonan dan kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa tempatan.  Bertindak atas aduan orang ramai, MBKT mengeluarkan notis kesalahan serta mengarahkan supaya peralatan tersebut dialihkan segera.
28 Sep 25
2516
Sultan Mizan Berkenan Lancar CEFORE, Lembaran Baharu Tenaga Boleh Diperbaharui
Sultan Mizan Berkenan Lancar CEFORE, Lembaran Baharu Tenaga Boleh Diperbaharui
KUALA TERENGGANU, 27 September – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus melakar sejarah apabila melancarkan Centre for Offshore Renewable Energy (CEFORE), pusat penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang tenaga boleh diperbaharui yang dijangka memberi manfaat besar kepada rakyat dan komuniti setempat. CEFORE lahir hasil kerjasama strategik antara UMT dan PETRONAS, gabungan kepakaran akademik dan industri yang diyakini mampu memacu peralihan tenaga negara ke arah lebih lestari. Majlis perasmian yang berlangsung pada hari ini disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha UMT bersama PETRONAS memperkukuh agenda tenaga hijau negara. Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.  Naib Canselor UMT, Prof Ir. Ts. Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata, Terengganu mempunyai kelebihan dari sudut geografi dan sumber semula jadi, khususnya aliran angin yang berterusan. “CEFORE bukan sekadar pusat penyelidikan, tetapi platform Industry on Campus yang menghubungkan pelajar, penyelidik dan rakan industri untuk menghasilkan penyelesaian praktikal kepada cabaran tenaga negara,” katanya. Menurut beliau, CEFORE akan memberi fokus kepada tenaga baharu seperti angin, ombak, arus pasang surut, solar terapung, hidrogen hijau serta teknologi penyimpanan tenaga. “Pusat ini juga berperanan sebagai fasiliti Proof of Operation untuk menguji keberkesanan sistem dalam keadaan operasi sebenar dari segi prestasi, keselamatan dan kebolehpercayaan,” jelasnya. Sementara itu, Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata, inisiatif itu membuktikan komitmen PETRONAS menyokong aspirasi negara mempercepatkan peralihan tenaga. “Dengan kepakaran penyelidikan UMT, CEFORE mampu menjadi pemangkin pembangunan tenaga boleh diperbaharui sekali gus mengangkat kedudukan Malaysia dalam transformasi tenaga hijau di rantau ini. “Lebih penting, ia bukan sahaja menyumbang kepada matlamat neutral karbon negara, malah membawa manfaat nyata kepada komuniti tempatan,” katanya. Dalam masa sama, UMT turut mengumumkan program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui dengan pengambilan pertama seramai 40 pelajar bermula Oktober ini. Kewujudan CEFORE bukan sahaja memperkukuh penyelidikan, malah dijangka memberi kesan sosioekonomi positif kepada penduduk sekitar termasuk nelayan melalui pemindahan ilmu, pembangunan modal insan serta peluang edu-pelancongan. UMT optimis CEFORE akan menjadi pemangkin kepada sasaran negara mencapai neutral karbon menjelang 2050 serta mengangkat Terengganu sebagai hab kecemerlangan tenaga lestari serantau.
27 Sep 25
189
Kuala Terengganu Kuasai Gelanggang Silat SUTERA 2025 dengan Kutipan Emas Terbanyak
Kuala Terengganu Kuasai Gelanggang Silat SUTERA 2025 dengan Kutipan Emas Terbanyak
KUALA TERENGGANU, 27 September - Kontinjen Kuala Terengganu mengukuhkan reputasi sebagai kuasa besar dalam arena silat apabila muncul juara keseluruhan dengan kutipan pingat emas terbanyak dalam acara silat tanding pada Sukan Terengganu (SUTERA) 2025. Daripada lebih 10 kelas yang dipertandingkan, kontijen Kuala Terengganu berjaya mengungguli beberapa kategori utama termasuk Kelas A (Putra), Kelas C (Putra), Kelas F (Putra), Kelas Bebas (Putra), Kelas B (Putri) serta Kelas Bebas (Putri), menjadikan daerah itu mendahului senarai pungutan pingat emas.  Antara penyumbang utama kejayaan Kuala Terengganu ialah Muhammad Faris Aiman Husin (Kelas A Putra), Muhammad Najmi Ruslan Mohammad Rozaki (Kelas C Putra), Muhammad Daim Fakhri Mohd Asri (Kelas F Putra) serta Muhammad Adam Syukri Omar (Kelas Bebas Putra).  Turut menyumbang emas dalam kategori wanita ialah Nurul Ain Husna Razali (Kelas B Putri) dan Farah Fariena Mohd Zaih (Kelas Bebas Putri). Pencapaian ini membolehkan Kuala Terengganu meninggalkan cabaran Kemaman, Dungun serta Kuala Nerus yang turut mengutip pingat emas Secara keseluruhan, Kuala Terengganu muncul juara dengan kutipan enam pingat emas, diikuti Kemaman di tempat kedua dengan empat emas. Dungun dan Kuala Nerus pula masing-masing menamatkan saingan dengan dua emas, manakala Setiu dan Marang sekadar meraih satu emas. Selain kelas rasmi, terdapat beberapa kelas tambahan yang tidak dipertandingkan dalam temasya SUTERA 2025 tetapi tetap dianjurkan bagi memberi peluang penyertaan lebih luas. Bagi acara tambahan, kemenangan dicatatkan oleh Muhd Zakwan Zamri dari Kuala Terengganu dalam Kelas I Putra, manakala Kelas J Putra dimenangi Muhammad Hisyam Syahabudin Abdul Rahman dari Kemaman. Sementara itu, Muhammad Syawal Muhaimin Shishammudin, juga dari Kemaman, muncul juara dalam Kelas Bebas Putra. Dalam kategori wanita pula, emas acara tambahan menjadi milik Wan Nur Fatimah Isyrafina Wan Ahmad Amli dari Kuala Terengganu bagi Kelas D Putri, manakala Siti Norbatrisyia Putri Mohd Hizam dari Kemaman menjuarai Kelas F Putri. Acara tambahan ini diadakan sebagai nilai tambah dan tidak diambil kira dalam pengiraan kutipan pingat keseluruhan.
27 Sep 25
257
Dari Jaga Program, Jabatan Amal Alih-alih Bantu Padam Kebakaran
Dari Jaga Program, Jabatan Amal Alih-alih Bantu Padam Kebakaran
DUNGUN, 27 September – Tindakan awal Jabatan Amal Dungun bertindak segera memadam kebakaran kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang terbakar berhampiran kawasan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini hari ini, membantu mengawal keadaan panik di kalangan orang ramai. Menurut Komandan Jabatan Amal Dungun, Tarmizi Hilmi Mohamad Zuber, sebenarnya pihaknya ketika itu sedang mengawal Program Alam Ria PASTI Negeri Terengganu yang sedang berlangsung di lokasi terbabit. Melihat kejadian itu, beliau bersama beberapa anggota lain segera bertindak memadam kebakaran sementara menunggu ketibaan pihak berwajib. "Sebahagian dari kami pula mengawal lalu lintas bagi mengawal keadaan yang berlaku. "Alhamdulillah, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut," katanya. Tambahnya, Program Alam Ria PASTI tetap diteruskan seperti biasa selepas keadaan kembali terkawal.
27 Sep 25
66
Karnival Berakit 5.0 Hidupkan Warisan Sungai & Semangat Patriotisme
Karnival Berakit 5.0 Hidupkan Warisan Sungai & Semangat Patriotisme
HULU TERENGGANU, 27 September – Hampir 250 peserta dari empat mukim menyemarakkan Karnival Berakit 5.0 yang berlangsung di Dataran Sheikh Abdul Qahar, Kampung Dusun, bermula 25 hingga 27 September hari ini. Acara penuh warna-warni itu menampilkan ekspedisi rakit sejauh 12 kilometer dari Kampung Dusun ke Kampung Buluh yang mengambil masa hampir dua jam, selain pelbagai aktiviti berteraskan budaya dan warisan masyarakat Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato'  Ariffin Deraman berkata, program yang mula dimasukkan dalam kalendar sejak 2019 itu bukan sahaja menjadi tarikan pelancongan, malah menghidupkan kembali nostalgia rakit serta menyelami pengorbanan generasi terdahulu mempertahankan tanah air. “Selain menghargai keindahan sungai, karnival ini juga mengeratkan hubungan masyarakat. Semangat gotong-royong dan kebersamaan inilah yang ingin kita warisi. "Sungai bukan sahaja dilihat sebagai sumber ekonomi tambahan masyarakat, malah kini menjadi simbol kebersamaan serta warisan yang wajar dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya ketika merasmikan program Karnival tersebut di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahida dan ADUN Telemong, Zawawi Ismail. Program tiga hari tersebut merupakan cetusan idea Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong turut mendapat kerjasama dari pelbagai pihak termasuk Pejabat Daerah, Polis, Bomba dan agensi-agensi berkaitan. Antara pengisian lain ialah sukan tradisional, demonstrasi masakan, pertunjukan ayam jangok serta persembahan kebudayaan yang menambah seri karnival rakyat itu.  
27 Sep 25
555
Terengganu Sambut Baik Jadikan Sabtu Terakhir September Hari Cuci Malaysia
Terengganu Sambut Baik Jadikan Sabtu Terakhir September Hari Cuci Malaysia
KUALA TERENGGANU, 27 September - Kerajaan Terengganu menyambut baik pengisytiharan hari Sabtu sebagai Hari Cuci Malaysia yang bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kebersihan dengan melaksanakan aktivti gotong royong bersepadu yang diadakan serentak seluruh negara. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata,  program tersebut yang dianjurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah dilaksanakan melalui kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. Katanya, Hari Cuci Malaysia yang telah dilaksanakan sempena 'World Cleanup Day 2025' telah memasuki tahun kedua pelaksanaannya di seluruh negara. "Program ini bukan sekadar aktiviti mengutip sampah, tetapi ia adalah manifestasi semangat kesukarelawanan rakyat untuk bersama-sama memelihara kebersihan dan keindahan persekitaran. "Ia selaras dengan usaha kerajaan negeri yang sentiasa menekankan pentingnya nilai kebersihan, tanggungjawab sosial dan kesedaran sivik dalam kehidupan seharian. "Kita percaya bandar yang bersih dan indah bukan hanya mencerminkan imej negeri, tetapi turut memberi keselesaan kepada masyarakat serta menarik kehadiran pelancong," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Hari Cuci Malaysia 2025, Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Batu Buruk, di sini, hari ini. Dalam pada itu, Wan Sukairi turut menyeru agar semua pihak sama ada agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Badan Bukan Kerajaan (NGO), pihak swasta mahupun orang awam terus berganding bahu menjayakan program inisiatif kebersihan. "Kerana kebersihan ini bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau PBT sahaja, tetapi ia merupakan amanah yang perlu dipikul oleh setiap lapisan masyarakat. "Budaya menjaga kebersihan perlu diamalkan setiap hari dengan memastikan buang sampah di tempatnya, kurangkan penggunaan plastik sekali guna, menyokong kitar semula, sehinggalah menyertai program kesukarelawanan seperti yang kita jayakan pada pagi ini," ujarnya.  
27 Sep 25
719
Pemenang Pertandingan Video Kreatif Perarakan Bot Merdeka 2025 Terima Penghargaan
Pemenang Pertandingan Video Kreatif Perarakan Bot Merdeka 2025 Terima Penghargaan
KUALA TERENGGANU, 26 September – Seramai tujuh orang peserta telah menerima penghargaan dalam satu Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Video Kreatif sempena Perarakan Bot Merdeka 2025 Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta yang menyertai pertandingan tersebut. "Tahniah kepada semua pemenang dan peserta Pertandingan Video Kreatif sempena Perarakan Bot Merdeka 2025 Peringkat Negeri Terengganu yang telah menunjukkan kreativiti masing-masing. "Insya-Allah, program ini akan diteruskan setiap tahun sebagai platform untuk mencungkil bakat rakyat Terengganu serta menyemarakkan semangat cintakan tanah air," katanya dalam satu hantaran Facebooknya. Menurut beliau, penganjuran pertandingan itu telah diusahakan bersama Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Hadir sama, Pengarah UPDI, Mohd Harun Esa serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Ajijan dalam menyempurnakan majlis tersebut. Pertandingan yang bertemakan "Semarak Merdeka, Jiwa Patriotik" itu terbuka kepada rakyat Terengganu berumur 18 tahun ke atas, dengan syarat penyertaan hanya satu video bagi setiap peserta berdurasi 1 hingga 3 minit, menggunakan format ditetapkan dan resolusi minimum 1080p. Hadiah yang ditawarkan termasuk wang tunai RM500 untuk pemenang pertama, RM300 bagi tempat kedua, RM200 bagi tempat ketiga serta saguhati RM100 untuk empat pemenang.
26 Sep 25
58
Kemaman, Hulu Terengganu Juara Bola Tampar SUTERA 2025
Kemaman, Hulu Terengganu Juara Bola Tampar SUTERA 2025
KUALA NERUS, 26 September - Pasukan Kemaman (Lelaki) dan Hulu Terengganu (Wanita) masing-masing muncul juara acara bola tampar Sukan Terengganu (SUTERA) 2025 selepas menundukkan lawan pada perlawanan akhir yang berlangsung di UniSZA, hari ini. Dalam kategori lelaki, Kemaman melakar kemenangan dramatik 3–2 ke atas Setiu pada perlawanan akhir sebelah petang. Pasukan itu bermula garang dengan menguasai dua set awal, sebelum Setiu bangkit menyamakan kedudukan.  Namun, Kemaman berjaya menoktahkan kemaraan Setiu sekali gus memastikan kemenangan menjadi milik mereka selepas memuktamadkan set penentuan lantas dinobatkan sebagai juara. Terdahulu pada aksi separuh akhir sebelah pagi, Kemaman menewaskan Dungun 3–0, manakala Setiu menundukkan Besut dengan keputusan 3–0. Bagi kategori wanita, Hulu Terengganu membuktikan keampuhan apabila menewaskan Dungun 3–0 dalam aksi akhir, sekali gus membawa pulang gelaran juara. Hulu Terengganu mara ke pentas akhir selepas menewaskan Besut 3–0 pada separuh akhir, manakala Dungun menyingkirkan Kemaman 3–2. Sementara itu, Besut meraih gangsa dalam acara wanita selepas menundukkan Kemaman pada penentuan tempat ketiga dan keempat. Acara bola tampar SUTERA 2025 yang berlangsung pada hari keempat temasya ini menyaksikan pertarungan penuh semangat daripada atlet daerah, kini tiba di penghujungnya. Anjuran dwi tahunan kali ketiga itu, SUTERA 2025 yang mempertandingkan 13 acara dijadualkan berlangsung selama lima hari bermula selasa lalu bakal melabuhkan tirai penutup pada 27 September 2025 ini.
26 Sep 25
39
Nur Fara Syuhada Permata Baru Olahraga Terengganu
Nur Fara Syuhada Permata Baru Olahraga Terengganu
KUALA NERUS, 26 September - Nur Fara Syuhada Mat Razali, 15, menampilkan aksi cemerlang dengan menjuarai acara 3000 meter larian berhalangan wanita pada Sukan Terengganu (SUTERA) edisi ketiga di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, semalam. Meskipun tidak berjaya memperbaharui rekod peribadi (PB), Syuhada tetap melakar emas buat kontinjen Kuala Nerus dengan catatan masa 12:58.2s, mengatasi pesaing terdekat, Nur Ain Safiyyah Mohd Suhaimi dari Marang (15:10.00s) dan Nur Liyana Batrisya Khairol Azwan dari Kuala Terengganu (16:22.9s). "Saya sangat puas hati dengan pencapaian hari ini walaupun tidak dapat buat PB (rekod peribadi terbaik). Tiada saingan kuat jadi agak relaks, cuma dari segi masa tak dapat lebih baik daripada sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas perlumbaan. Nur Fara Syuhada Anak jati Kuala Nerus itu, sebelum ini pernah mencuri tumpuan di pentas antarabangsa apabila meraih emas dalam acara 3000 meter larian berhalangan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2025 (Malaysia Open), baru-baru ini. Menurut pelari cilik itu, trek larian Stadium Tuanku Syed Putra, Perlis, menjadi saksi larian berhalangan 3000 meter pertamanya dimana dia turut berjaya mencatat PB membanggakan dengan rekod 12:41.34s. Walaupun tewas dalam acara 2000 meter larian berhalangan di MSSM akibat masalah kesihatan (gastrik), Syuhada mengakui dirinya lebih serasi untuk beraksi dalam jarak jauh kerana faktor ketahanan. "Kalau saya pilih, saya pilih lagi jauh, 3000 meter. Saya memang berlatih pun untuk acara jarak jauh sebab 'endurance' lebih kuat," jelasnya yang kini sudah mempunyai empat tahun pengalaman dalam olahraga. Jurulatihnya yang berasal dari negeri Sembilan, Ahmad Luth Hamizan, 33, turut berpuas hati dengan prestasi anak didiknya meskipun kejohanan kali ini berlangsung dalam tempoh luar musim. Jurulatih kepada Syuhada, Ahmad Luth "Setakat ini saya tengok walaupun sekarang off season tapi sebenarnya membuatkan kejohanan tu menjadi lebih seronok. Kalau kita tengok, Terengganu ni untuk 'middle' dan 'long distance' bagi saya pesaing dia ramai. Pesaing ramai daripada sekolah sukan Bukit Jalil, daripada sekolah sukan Gambang dan juga sekolah sukan Malaysia Terengganu lah.  "Jadi kalau kita tengok, walaupun dia orang bersaing di peringkat negeri sekalipun dia masih rancak sebabnya ramai atlet daripada Terengganu. Jadi bila kita bertanding di sini walaupun atlet ini 'off season', lepas habis MSSM dia masih menunjukkan prestasi," katanya. Tambahnya, keputusan yang diperolehi oleh Syuhada semalam masih berada di tahap yang memuaskan dan mencapai ekspektasi walaupun mempunyai perbezaan masa hampir sebanyak lapan saat berbanding rekod peribadinya sebelum ini. Guru sukan itu turut mengungguli pingat emas dalam acara sama kategori lelaki di bawah kontijen Kuala Terengganu dengan rekod 10:21.4s, meninggalkan Kuala Nerus (10:35.4s) pada kedudukan perak dan Besut (10.49.7s) yang akur dengan gangsa. Ahmad Luth yang kini berkhidmat di Sekolah Sukan Malaysia Terengganu percaya Syuhada berpotensi menjadi bintang masa depan Terengganu, khususnya dalam acara jarak jauh. Dengan usia yang masih muda serta disiplin latihan berterusan, Syuhada dilihat mampu menjadi permata baharu olahraga Terengganu yang bakal menggalas cabaran negeri di pentas kebangsaan dan antarabangsa pada masa hadapan, sekali gus membuktikan SUTERA sebagai medan pembinaan bakat baru.
26 Sep 25
2413
Runtuhan Jalan Batu Rakit Tanggungjawab Kontraktor – JKR
Runtuhan Jalan Batu Rakit Tanggungjawab Kontraktor – JKR
KUALA TERENGGANU, 26 September – Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu menegaskan kerja membaik pulih runtuhan tebing di Jalan Mengabang Telipot, Kampung Tanjung, Batu Rakit pada Rabu lalu adalah sepenuhnya tanggungjawab kontraktor yang melaksanakan projek tersebut, tanpa melibatkan sebarang kos tambahan daripada kerajaan negeri. Pengarah JKR Negeri, Ir. Dr. Hasli Ibrahim berkata, projek sepanjang kira-kira 100 meter termasuk binaan penghadang ombak itu masih dalam pembinaan dan kontraktor dilantik telah diarahkan melaksanakan kerja pemulihan dengan segera. “Projek pembinaan jalan dan penghadang ombak di laluan sepanjang 280 meter yang runtuh disebabkan fenomena Monsun Timur Laut (MTL) sepatutnya siap pada November ini. “Sepatutnya laluan itu tidak dibuka kepada orang awam kerana tapak projek masih berstatus kawasan larangan, tetapi kita guna budi bicara atas permintaan penduduk tempatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurut beliau, projek pembinaan jalan terutama kerja memasang penghadang ombak sudah siap sepenuhnya, namun kerja penambakan pantai masih dilaksanakan. “Penghadang ombak dan jalan itu runtuh dibadai ombak ketika kontraktor masih melakukan kerja penambakan pantai. “Berdasarkan kontrak, kerja termasuk penambakan pantai sepatutnya siap sepenuhnya November ini dan bukannya bulan depan seperti didakwa,” jelasnya. Hasli menambah, kontraktor telah memulakan kerja baik pulih sejak semalam dan laluan berkenaan ditutup sementara bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. Semalam, Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar turun padang meninjau runtuhan projek baik pulih seorang diri tanpa protokol rasmi. Tindakan mengejut itu difahamkan bertujuan memastikan beliau mendapat gambaran sebenar keadaan di lokasi terbabit.
26 Sep 25
4086