KUALA TERENGGANU, 25 September – Penjawat awam di negeri ini digalak membuat bayaran zakat secara berjadual kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melalui gaji yang diterima.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Nara Setia berkata, beliau difahamkan kadar agihan zakat kini telah melebihi 100 peratus daripada jumlah kutipan, justeru sumbangan kakitangan awam mampu membantu mengurangkan kadar kemiskinan di Negeri Terengganu.

”Mudah-mudahan ia dihitung Allah S.W.T sebagai amal yang baik demi meraih keredaanNya,” ujarnya.
Beliau berkata demikan ketika berucap menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Dan Penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang (APC) Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman (WDI) di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
Pada majlis tersebut, seramai 42 orang penerima APC Bulanan WDI yang terdiri daripada pelbagai jabatan, bahagian dan unit dalam Wisma Darul Iman menerima insentif kecemerlangan sebanyak RM500 berserta sijil penghargaan.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar penjawat awam mempertimbangkan untuk membuat potongan gaji bulanan kepada Tabung Darul Iman.
“Ia sebagai satu lagi inisiatif kebajikan membantu golongan yang memerlukan, khususnya dalam kalangan rakyat Terengganu.
“Sumbangan berterusan ini bukan sahaja menyemai semangat solidariti, malah memberi impak besar kepada pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat,” ujarnya.

Menurut beliau, Tabung Darul Iman membiayai pelbagai jenis bantuan antaranya dalam kategori bantuan perubatan dan juga bencana alam.
“Kedua-dua potongan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat namun layak mendapat pengecualian cukai selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” jelasnya.