KUALA TERENGGANU, 25 September – Badan Bukan Kerajaan (NGO) berpuas hati dengan kemajuan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu yang kini mencapai 64.5 peratus siap di Stesen Kuala Terengganu, dengan operasi penuh dijangka bermula pada awal tahun 2027.
Pengerusi NGO Muafakat Sejahtera, Dato’ Yahaya Ali berkata, pihaknya bersama beberapa badan bukan kerajaan lain termasuk NGO Prihatin telah mengadakan lawatan tapak dan diberi taklimat mengenai perkembangan projek oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).
“Kami berpuas hati dengan kemajuan projek, terutama di Terengganu yang lebih cepat berbanding negeri lain.
“Berdasarkan taklimat, percubaan operasi dijangka bermula pertengahan 2026 sebelum beroperasi sepenuhnya awal 2027,” jelasnya ketika ditemui pihak media, semalam.
Menurut beliau, lawatan itu turut mewakili suara rakyat yang mahu mengetahui peluang dan manfaat projek berkenaan untuk jangka masa panjang, termasuk tambang ekonomi, dijelaskan tidak membebankan pengguna.

“Dengan siapnya projek ini, perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur hanya mengambil masa tiga jam melalui perkhidmatan ekspres.
“Ini bukan sahaja memudahkan rakyat malah membuka peluang baharu dalam sektor ekonomi,” ujarnya.
Beliau menegaskan, lawatan NGO ini juga berperanan sebagai pemerhati bagi memastikan projek mega tersebut tidak menimbulkan masalah sampingan yang menyusahkan orang ramai seperti kerosakan jalan, limpahan air, banjir dan tanah runtuh.
“Dengan siapnya projek ini nanti, ia menambahkan satu lagi jalan pengangkutan utama dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur (Pahang, Terengganu dan Kelantan) melalui jalan keretapi selain Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi di negeri ini,” tambah Yahaya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan MRL, khususnya Pengurus Projek Seksyen 3 (Kuala Terengganu), Md Daut Kanan dan kakitangan kerana memberi layanan mesra sepanjang lawatan.