lightning-solid
Berita :
Kerajaan Negeri Bantu Usahawan Wanita Manfaat Platform Digital
Kerajaan Negeri Bantu Usahawan Wanita Manfaat Platform Digital
Noraini Jusoh
08 Oct 25
116

HULU TERENGGANU, 8 Oktober – Usahawan wanita di negeri ini disaran mengambil kesempatan dengan manfaatkan teknologi terkini termasuk menggunakan platform digital sebagai medium bagi mengembangkan lagi perusahaan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, pengetahuan dan kemahiran berkaitan teknologi terkini sangat penting dalam memastikan mereka tidak ketinggalan.

Katanya, susulan itu Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu sentiasa memantau usahawan-usahawan ini termasuk menyediakan latihan, kursus, khidmat nasihat dan lain-lain agar mereka sentiasa berdaya saing.

“Bidang perniagaan adalah sesuatu yang sangat fleksibel, walaupun kita lihat ramai usahawan wanita telah berjaya tetapi mereka perlu sentiasa diberikan latihan dan bimbingan dari semasa ke semasa memandangkan perkembangan teknologi terkini yang sangat laju.

“Malah masih ada di kalangan usahawan wanita yang memerlukan bimbingan berterusan agar mereka bukan sekadar hanya berdaftar di platform digital tetapi juga mampu berjaya seperti orang lain dan inilah peranan kita untuk membantu mereka lebih maju ke hadapan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Jejak Usahawan yang menyertai Program Usahawan Belia Sejahtera (UBES) di Ajil, semalam.

Dalam pada itu, Ariffin turut menyeru usahawan Terengganu berdaftar dengan YPU walaupun sudah berbuat demikian menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi membolehkan mereka merebut pelbagai insentif yang disediakan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan.
 


Artikel Berkaitan