lightning-solid
Berita :
26 PKM Kini Dilengkapi S@MPAI, Strategi Baharu Bantu Rakyat Dapat Kerja
26 PKM Kini Dilengkapi S@MPAI, Strategi Baharu Bantu Rakyat Dapat Kerja
Noraini Jusoh
08 Oct 25
692

KUALA TERENGGANU, 8 Oktober - Inisiatif Kerajaan Terengganu bagi memastikan rakyat negeri ini tidak terpinggir daripada peluang pekerjaan terus diperkasa apabila skrin Sistem Maklumat Pekerjaan Akar Umbi (S@MPAI) kini telah dipasang di 26 Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) seluruh negeri setakat September lalu.

S@MPAI merupakan platform penyampaian maklumat pekerjaan yang diperkenalkan melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC), dengan pendekatan visual grafik interaktif yang dikemas kini secara harian.

Ia menjadi saluran pilihan rakyat untuk mendapatkan maklumat pekerjaan dengan lebih cepat, tepat dan mesra pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, sistem berkenaan kini telah mula bersiaran setiap hari, menyalurkan pelbagai maklumat pekerjaan dalam dan luar negeri.

“Selain maklumat kerja kosong, S@MPAI turut memaparkan maklumat berkaitan program pembangunan sumber manusia, peluang melanjutkan pelajaran serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk hebahan program setempat,” ujarnya ketika dihubungi pemberita.

Menariknya, tambah beliau, beberapa buah masjid juga telah menyatakan minat untuk memasang sistem tersebut di lokasi masing-masing, menggambarkan penerimaan masyarakat terhadap pendekatan baharu ini.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata fungsi utama S@MPAI buat masa ini adalah untuk menyalurkan maklumat pekerjaan dan latihan kemahiran terus ke peringkat akar umbi, merangkumi daerah dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita berharap penyaluran maklumat ini dapat mengurangkan jurang maklumat (information gap) yang selama ini menjadi antara punca utama masalah pengangguran dalam kalangan rakyat,” jelasnya.

Menurutnya, bagi memastikan seluruh rakyat negeri menikmati manfaat kemudahan ini, paparan aplikasi S@MPAI akan diperluas ke semua DUN melalui Pusat Khidmat Masyarakat secara berperingkat dalam masa terdekat.

Langkah ini bukan sahaja memberi akses menyeluruh kepada maklumat kerjaya, malah selari dengan agenda pendigitalan Terengganu dalam memperkukuh sistem penyampaian maklumat secara inklusif dan efisien.

Dengan pemasangan S@MPAI di lokasi strategik seperti PKM dan masjid, rakyat kini mempunyai akses segera kepada maklumat kerja tanpa perlu menunggu hebahan konvensional.

Inisiatif ini dijangka memberi impak besar kepada pencari kerja, terutama golongan muda dan belia luar bandar, selain memperkukuh jaringan maklumat antara kerajaan negeri dan rakyat di peringkat akar umbi.


Artikel Berkaitan