lightning-solid
Berita :
Tanah Peneroka ‘Dirampas’ 2010, Kini Bakal Kembali Ke Pangkuan Rakyat
Tanah Peneroka ‘Dirampas’ 2010, Kini Bakal Kembali Ke Pangkuan Rakyat
Rohayati Ripin
08 Oct 25
17159

KUALA TERENGGANU, 8 Oktober – Isu tanah peneroka di Cakuh 9, Jerangau yang berlarutan lebih empat dekad kini kembali menunjukkan sinar penyelesaian apabila Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bersetuju membuka semula pelan penyerahan tanah kepada Kerajaan Negeri untuk diberi hak milik kepada peneroka asal yang telah meneroka tanah tersebut sejak tahun 1985.

Menurut rekod, seramai 80 peneroka telah mengusahakan tanah seluas lima ekar setiap lot bagi tanaman sawit secara sah mengikut Peraturan Tanah Terengganu, namun pada tahun 2010, tanah berkenaan telah diberi milik kepada KETENGAH oleh kerajaan ketika itu, sekali gus menafikan hak peneroka asal yang telah berpuluh tahun membangunkan kawasan tersebut dari hutan tebal menjadi ladang sawit.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, menjelaskan bahawa kesilapan itu bukan berpunca daripada rakyat, sebaliknya daripada keputusan kerajaan terdahulu yang menyerahkan tanah rakyat kepada agensi.

“Isu sebenar ialah bukan rakyat yang menceroboh tanah KETENGAH, tetapi hakikatnya KETENGAH yang tersilap mengambil tanah yang telah diterokai rakyat sejak berpuluh tahun lalu.

“Sepatutnya para peneroka ini diberikan hak milik bagi tanah yang mereka telah terokai. Apatah lagi keluasan setiap lot adalah lima ekar mematuhi peraturan bagi kebun sawit. Dari segi moral, adalah silap apabila tanah ini diberi milik kepada KETENGAH. Ia satu bentuk kezaliman terhadap peneroka asal,” katanya menerusi laman sosialnya, kelmarin.

Dr. Azman mendedahkan, ketika beliau berada dalam Lembaga Pengarah KETENGAH (BOD), satu keputusan telah dibuat untuk menyerahkan kembali tanah tersebut kepada Kerajaan Negeri supaya diagihkan semula kepada peneroka asal.

Ujar beliau, sebagai gantinya Kerajaan Negeri akan memberi tanah lain kepada KETENGAH dengan keluasan yang sama.

“Namun, pelan penyelesaian tersebut tergendala susulan pertukaran kepimpinan politik dan perubahan jawatan Pengerusi KETENGAH, menyebabkan keputusan itu dibatalkan.

“Situasi menjadi tegang apabila pada Disember 2024, notis pengurusan baharu KETENGAH ditampal di ladang sawit Cakuh 9, mencetuskan konflik terbuka dengan peneroka.

Tambah beliau, kini, selepas perubahan kepimpinan sekali lagi, KETENGAH bersetuju untuk menghidupkan semula pelan penyelesaian tersebut dengan kerjasama penuh Kerajaan Negeri bagi menamatkan kemelut yang telah berlarutan selama lebih 40 tahun.

“Semasa saya dalam BOD KETENGAH dulu, pelan penyelesaian telah dibuka untuk dilaksanakan kembali. Kerajaan Negeri sedia membuka ruang sepenuhnya supaya ia dapat diselesaikan segera demi manfaat rakyat.

“Dulu kami telah bekerja separuh jalan, tinggal sedikit sahaja lagi untuk disempurnakan. Terima kasih KETENGAH kerana kembali ke landasan yang betul.

“Isu ini bukan salah pengurusan tetapi berpunca daripada mantan Pengerusi yang terlalu ghairah berpolitik tanpa mengira kepentingan rakyat. Alhamdulillah, beliau telah tiada lagi dalam posisi tersebut dan rakyat perlu pastikan orang sebegini tidak kembali,” tegas Dr. Azman.


Tag :

Artikel Berkaitan