lightning-solid
Berita :
Ikhlas Dalam Khidmat, Cemerlang Dalam Keberkatan
Ikhlas Dalam Khidmat, Cemerlang Dalam Keberkatan
Amiirullah Mansor
15 Oct 25
39

KUALA TERENGGANU, 15 Oktober – Usaha yang dilakukan dengan penuh keikhlasan bukan sekadar menghasilkan kejayaan, bahkan membawa keberkatan dalam setiap langkah yang dilalui.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat, menzahirkan rasa bangga dan penghargaan terhadap komitmen warga Kolej Quran Terengganu (KQT) yang terus istiqamah menabur bakti di kolej tersebut.

“Kita bukan mencari pangkat atau pengiktirafan semata-mata, tetapi keberkatan dalam setiap khidmat yang diberi.

"Bila kerja dilakukan dengan ikhlas, hasilnya akan membawa manfaat bukan hanya kepada diri sendiri, tetapi juga kepada masyarakat dan ummah keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kolej Quran Terengganu (KQT) 2023/2024 di Dewan Bintang Laut, Sumai Hotel semalam.

Beliau turut menyeru semua penjawat awam khususnya warga pendidik agar menjadikan anugerah tersebut sebagai pemangkin semangat untuk terus meningkatkan kualiti kerja dan penghayatan terhadap amanah yang dipikul.

Kolej Quran Terengganu memainkan peranan besar dalam melahirkan generasi celik al-Quran dan berakhlak mulia. Oleh itu, setiap warga kolej perlu terus berusaha memperkukuh budaya kerja cemerlang berasaskan nilai Islam,” ujarnya lagi.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil dan cenderamata kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2023/2024, sebagai tanda penghargaan atas dedikasi mereka dalam mendidik dan membimbing pelajar.

 


Tag :

Artikel Berkaitan