lightning-solid
Berita :
Pusat Sains Terengganu Ambil Inisiatif Pupuk Kesedaran Berkaitan Gempa Bumi
Pusat Sains Terengganu Ambil Inisiatif Pupuk Kesedaran Berkaitan Gempa Bumi
Mohd Irsyadi Abu Bakar
07 Oct 25
208

KUALA TERENGGANU, 8 Oktober - Berikutan tular berita tentang negeri Terengganu sebagai salah satu negeri yang berisiko mengalami gempa bumi baru-baru ini, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) mengambil langkah memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bencana itu.

Ketua pegawai eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, sebagai pusat pengembangan ilmu sains, teknologi dan inovasi tempatan, pihaknya telah memulakan kempen dan penyebaran ilmu tentang bencana alam lebih awal kepada rakyat negeri itu, terutama pelajar dan golongan muda.

"Antara usaha yang dilakukan adalah melalui Sciences Journey Carnival (SJC) 2025 yang diadakan di Bandar Al Muktafi Billah Shah, di Hulu Dungun, hujung minggu lalu.

Simulasi letusan gunung berapi turut diadakan.

"Salah satu acara pentas utama dalam karnival itu adalah Bicara STEM yang bertajuk Gempa Bumi dan Keselamatan Diri yang disampaikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, selain pameran tentang peralatan untuk mengesan gempa dan tsunami yang memberikan lebih maklumat kepada pelajar-pelajar yang hadir.

"Usaha ini adalah kolaborasi PSKT bersama pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Petronas dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) sebenarnya," katanya.

Jelasnya, penganjuran SJC sedikit sebanyak membantu memberikan kesedaran kepada masyarakat luar bandar tentang bahaya bencana itu serta langkah-langkah menghadapinya.

"Sebenarnya karnival ini merupakan kali pertama diadakan dengan berskala besar sebegini.

"Dengan jumlah penyertaan yang kami terima memberi inspirasi dan aspirasi untuk melihat aktiviti, kempen kesedaran dan penyebaran maklumat seumpama ini dapat diadakan dari masa ke masa, insya-Allah," ujarnya.

PSKT yang bertempat di Kampung Laut, Kuala Terengganu mempunyai ruang pameran interaktif khusus berkaitan bencana alam yang bukan sahaja menyampaikan maklumat, bahkan menyediakan simulasi skala kecil sesuatu bencana alam yang berlaku supaya ia lebih difahami oleh para pengunjung yang hadir.

 


Tag :

Artikel Berkaitan