Artikel "Pendidikan" Terkini
Dari Sekolah ke Dunia: I-DEWS Bukti Inovasi Pelajar Imtiaz Berimpak Global
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Kejayaan pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu (IKT) meraih emas di pertandingan World Sustainable Development Goal Challenge 2025 (WSDG 2025) bukan sekadar pencapaian antarabangsa, malah membuka peluang untuk projek berimpak sosial itu dikembangkan lebih jauh.
Rekaan Imtiaz Dual Eco Water System (I-DEWS) yang telah dibawa ke WSDG 2025 oleh tiga pelajar tingkatan dua – Aira Nur Maisarah Abdullah Fuad, Nur Aeisya Khadija Mohd Yazid dan Ummu Sofiyyah Abdul Mubin, merupakan cetusan idea guru IKT bidang TVET, Suryana Mat Husin.
Dari kiri: Aira, Aeisya dan Ummu
Pengetua IKT, Md Imran Md Nor, berkata pihaknya berhasrat untuk terus menaik taraf teknologi tersebut agar lebih praktikal dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat umum.
"Ya, kami berfikir untuk menaik taraf unit penapisan yang sebelum ini menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti sabut kelapa, pasir halus dan arang buluh yang telah diklarifikasi oleh Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI), UNISZA.
"Kami bercadang untuk menambah baik unit penapisan sehingga air yang ditapis dapat diminum oleh manusia. Kami juga berfikir untuk menaik taraf sistem penjanaan elektrik.
"Selain itu, kami juga akan cuba menurunkan kos pembuatan supaya I-DEWS dapat dimiliki semua," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas dihubungi, baru-baru ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa integrasi kecerdasan buatan (AI) akan membantu menjadikan sistem lebih efisien dan bersifat automasi.
"Dengan penambahbaikan AI dalam produk kami, AI dapat mengawasi sistem I-DEWS tanpa memerlukan pengawasan seseorang. Dengan ini, pengguna tidak perlu untuk mengendali secara manual kerana sifat 'autonomous' yang AI dapat berikan.
"AI juga boleh memberi ramalan untuk sistem I-DEWS sekiranya terdapat perubahan dalam sistem ini secara keseluruhannya. Kesannya, pengguna mengetahui apa yang patut ditambah baik dan diubah," jelasnya.
I-DEWS pada peringkat awalnya hanyalah sistem penapisan air, namun melalui penambahbaikan bersama pelajar IKT ia diinovasikan menjadi sistem penapisan air dan penjanaan tenaga yang menggunakan graviti serta turbin air dalaman.
Pembentangan secara maya oleh pelajar IKT mengenai I-DEWS; bertajuk 'WSDG 2025 I-DEWA SM IMTIAZ YT KUALA TERENGGANU' di laman sesawang Youtube
"I-DEWS merupakan satu sistem air yang boleh mengitar semula air gunaan selain dari air kumbahan untuk kegunaan luaran seperti menyiram pokok, membasuh pinggan dan membasuh kereta. Air yang dikitar semula tidak boleh diminum terus setelah ditapis.
"I-DEWS juga menggunakan sistem hydroelectric untuk menjana tenaga hanya dengan menggunakan graviti. Air digerakkan secara automatik oleh graviti dan dapat bergerak tanpa henti. Teknik ini dinamakan teknik siphon," ulas Md Imran.
Tambahnya, IKT turut merangkul satu lagi penghargaan emas dan satu penghargaan istimewa dalam penyertaan mereka WSDG 2025 yang telah berlangsung pada bulan lepas.
Rekaan tersebut sebelum ini pernah meraih pingat perak dalam World Young Inventors Exhibition (WYIE) 2025, namun penambahbaikan berterusan menjadikan rekaan itu kini berjaya diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Katanya lagi, usaha tersebut membuktikan kreativiti dan inovasi pelajar IKT bukan sahaja mampu mengharumkan nama sekolah, malah mempunyai potensi untuk dimanfaatkan masyarakat dalam kehidupan harian.
02 Oct 25
6
R&R@Masjid : UMT Adaptasi Kemesraan Terengganu Sambut Tetamu
KUALA NERUS, 30 September - Pendaftaran pelajar baharu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sesi 2025/2026, semalam bukan sahaja membuka lembaran dunia baharu kepada para penuntut, tetapi juga menyingkap wajah mesra universiti berkenaan dalam menyantuni kedatangan mereka ke sana.
Antara usaha yang dilakukan UMT menerusi Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) ialah mengadakan R&R (Rehat dan Rawat) @Masjid UMT.
Menurut Ketua PISM, Dr Kasyfullah Abdul Kadir, pelbagai kemudahan ditawarkan sebagai satu bentuk penghormatan kepada tetamu yang hadir ke UMT.
“Penganjuran R&R @Masjid UMT bertujuan menyantuni para ibu bapa dan menyambut pelajar baharu ke UMT selain meringankan beban keluarga dengan kemudahan yang disediakan.
“Usaha ini menjadikan masjid bukan sekadar tempat beribadah, tetapi juga pusat kebajikan dan ukhuwah.
"Kami mahu pelajar dan ibu bapa merasai bahawa mereka diraikan, diberi perhatian dan disambut dengan penuh kasih sayang," katanya.
Tambahnya, antara kemudahan yang disediakan ialah sarapan pagi percuma, makan tengah hari percuma, minuman serta kudapan ringan, di samping ruang rehat, ruang solat dan tandas yang selesa.
Selain menyediakan keperluan asas, program yang dianjurkan turut menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan antara warga masjid, pelajar dan keluarga.
Ia juga memperlihatkan peranan masjid sebagai pusat komuniti kampus yang hidup dan dinamik, serta membina masyarakat kampus yang harmoni, berakhlak dan sejahtera.
Melalui reaksi balas yang diterima di kalangan ibu bapa yang hadir, PISM merakamkan sekalung penghargaan kepada semua penyumbang serta berharap agar inisiatif berkenaan dapat diteruskan serta diperkasakan pada masa akan datang.
30 Sep 25
974
PSKT- UniSZA Bina Produk Makanan Sihat
KUALA TERENGGANU, 14 September - Usaha Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam mewujudkan rantaian makanan sihat perlu disokong sebaiknya.
Antara yang menjadi tumpuan kini adalah pembangunan pelbagai produk hiliran berasaskan ubi keledek vitato.
Ketua Penyelaras Unit Pemasaran Fakulti Biosumber dan Industri Makanan UniSZA, Dr Zarizal Suhaili menyifatkan, kerjasama yang dibangunkan mampu menawarkan manfaat besar kepada masyarakat.
"Menerusi kerjasama PSKT, apa yang kita dapat adalah pendedahan luas bagi setiap kepakaran yang dipindahkan yang mana apa-apa penyelidikan yang kita usahakan dapat dikembangkan kepada komuniti.
"Dalam projek ini, mereka wujudkan tapak untuk penyediaan kita punya sistem fertigasi, membolehkan kita laksanakan penanam 1,000 beg ubi vitato dalam keluasan setengah ekar tanah.
"Ini prototaip pertama kami dengan pembenihan bermula awal bulan Jun lalu yang mana kita telah tuai sebahagiannya sebanyak 30 kilogram," katanya ketika ditemui dalam program jualan sempena Kejohanan Terengganu Pushbike Cup 2025 di perkarangan PSKT, semalam.
Tambahnya, hasil tuaian sepenuhnya dijangka mampu mencapai sekitar 500 kg.
Selain itu, projek tersebut turut dijayakan dengan kerjasama pemain industri iaitu Warisan Kayana Group Sdn Bhd dalam usaha memastikan produk yang dihasilkan mampu bersaing dalam pasaran.
"Kini kita terdedah dengan makanan segera, namun untuk imbangi keadaan ini kita cuba wujudkan konsep makanan segera dengan kandungan yang sihat melalui produk dari ubi keledek vitato ini.
"Cabarannya besar, namun kita perlu cuba dapatkan pihak industri yang boleh keluarkan snek dengan kandungan sihat sebagaimana produk-produk pembangunan yang dikeluarkan universiti.
"Kerjasama ibu bapa, universiti, komuniti dan industri mampu meletakkan keutamaan generasi masa depan kepada pemakanan yang sihat," katanya.
14 Sep 25
1135
Sukan Pushbike, Lumba Sekadar Suka-suka?
KUALA TERENGGANU, 13 September - Terengganu Pushbike Cup 2025 yang membuka tirai kejohanan hari ini, menyaksikan seramai 315 pelumba cilik mengambil bahagian.
Berlangsung di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), sebanyak 21 kategori dipertandingkan selama dua hari kejohanan sehingga esok.
Namun, sejauh mana potensi dan hala tuju sukan ini yang menumpukan penyertaan seawal usia dua tahun hingga ke 12 tahun sahaja?
Pengarah Program Terengganu Pushbike 2025 merangkap wakil M8 Malaysia, Mohd Zul Fadhli Mohamed bagaimanapun menegaskan bahawa sukan pushbike bukan semata-mata sukan dua roda, sebaliknya ia merupakan platform pembinaan bakat pelbagai sukan lain.
Jelasnya, perkembangan sukan ini di kalangan peringkat awal kanak-kanak adalah satu perkara yang sangat baik.
"Sebenarnya sukan ini adalah salah satu implementasi sains sukan yang mana kita bina dan kembangkan bakat anak-anak ini sebagai persediaan ke sukan-sukan lain.
"Kita telah mula berkembang di Malaysia, namun di Indonesia dan Thailand lebih awal.
"Menerusi sukan pushbike, ia ada pembinaan disiplin, persediaan latihan, fokus, mentaliti juara. Bayangkan dalam umur tiga tahun, mereka boleh fokus dengar arahan.
"Kalau kata kita telah capai satu tahap matang, kita sebenarnya telah menyediakan satu kumpulan bakat untuk pelbagai sukan," katanya ketika ditemui di lokasi kejohanan, hari ini.
Tambahnya, ada beberapa pelumba pushbike telah berjaya menyertai sukan motosikal mini GP(mini moto) setelah tamat usia matang berlumba pushbike.
"Alhamdulillah, PSKT menyokong penuh sukan ini ditambah lagi dengan selaras kesesuaian sukan ini dalam pembangunan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sebab ia ada unsur fizik, aerodinamik dan sebagainya.
"Kita ada perbincangan dengan PSKT untuk adakan pushbike bertaraf antarabangsa di peringkat Terengganu dan ia masih di peringkat awal, bahkan pihak mereka turut menyatakan usaha untuk mewujudkan litar khusus buat sukan pushbike," ujarnya.
Dalam pada itu, ketua pegawai eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim turut bersetuju dengan kenyataan itu.
"Perancangan bersama penganjur M8 Bike sedang diusahakan untuk mengadakan litar tetap bagi latihan dan menganjurkan kejohanan.
"Kita bersama kerajaan negeri akan mengenalpasti lokasi yang menarik dan paling utama apabila melibatkan kanak-kanak, kita memerlukan satu litar dengan spesifikasi keselamatan yang terjamin," jelasnya.
Beliau menambah, pemilihan sukan pushbike sebagai antara tanda dagang (trademark) PSKT mempunyai beberapa sebab tersendiri.
"Sukan pushbike melibatkan koordinasi motor yang berkait rapat dengan biologi dari segi pergerakan ketika berlumba, tentang bagaimana mereka dapat mengawal sistem saraf secara harmoni.
"Apabila dilatih seawal usia dua tahun, kita berupaya melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dan berkualiti.
"Apabila kita bercakap untuk melahirkan kanak-kanak yang cergas dan cerdas, bukan itu sahaja.
"Kita juga ingin membantu kerajaan negeri menyediakan pelapis di peringkat negeri dan negara," katanya.
13 Sep 25
79
PSKT Dok Rilek, Himpun 315 Pelumba Cilik
KUALA TERENGGANU, 12 September - Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) kembali hangat minggu ini dengan kehadiran lebih 300 pelumba cilik dari dalam dan luar negara yang akan berentap bermula esok.
Kali ini, PSKT menjadi tuan rumah bagi kejohanan Piala Terengganu Pushbike 2025 yang menampilkan penyertaan dari (5 peserta) Indonesia, Thailand(23) dan Singapura(5).
Lebih menarik, sepanjang dua hari kejohanan PSKT menyediakan pakej istimewa memasuki galeri PSKT serendah RM15 sahaja.
Menurut pengarah program Terengganu Pushbike, Mohd Zul Fadhli Mohamed, sebanyak 315 peserta berumur antara dua hingga sembilan tahun akan bertanding dalam 21 kategori sepanjang dua hari kejohanan.
"Lapan kategori bagi hari pertama esok (campuran), manakala 13 kategori pada hari kedua.
"Tahun ini kita sediakan lebih kurang 300 meter bagi kategori empat tahun ke atas, tetapi untuk bawah tiga tahun kita akan pendekkan sedikit.
Antara pelumba yang mencuba litar sebelum kejohanan, hari ini.
"Paling menjadi tumpuan tentulah kategori terbuka dan biasanya lebih sengit kerana pelumba semua telah matang dan berkemahiran," katanya ketika ditemui selepas sesi percubaan litar, hari ini.
Dalam pada itu, seiring kejohanan ini turut diadakan pelbagai acara sampingan.
Antaranya ialah pertandingan mewarna, persembahan dikir barat, pertunjukan maskot, forum sains dan acara pentas yang menampilkan Sham Visa, Shidi DATA dan Ustaz Elyas Ismail.
Pertandingan mewarna menjadi salah satu acara sampingan yang diadakan.
12 Sep 25
264
Tingkat 48 Peratus Pelajar Baharu Bukti Masyarakat Yakin Terhadap UC TATI
KUALA TERENGGANU, 11 September – Universiti Kolej TATI (UC TATI) mencatatkan peningkatan kemasukan pelajar baharu sebanyak 48 peratus bagi ambilan Julai lalu, iaitu seramai 312 orang berbanding tahun sebelumnya.
Rektor Universiti College TATI (UC TATI) Prof. Ir. Dr Hairul Azhar Abdul Rashid berkata, peningkatan ini mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap keupayaan UC TATI sebagai institusi pendidikan tinggi yang menawarkan pengajaran berkualiti, suasana kampus kondusif dan program pengajian relevan dengan keperluan semasa.
“UC TATI terus mengukuhkan kedudukan apabila berjaya tersenarai dalam TOP 3 MQA Awards 2025 (Internal Quality Assurance) Higher Education Provider Excellence Award.
“Selain itu, UC TATI turut mendapat kelulusan untuk melaksanakan program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Kampus Bandaraya Kuala Terengganu dan program Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Teknologi Maklumat di Kampus Induk Kemaman,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini.
Selaras dengan visi, pelajar baharu diseru untuk membiasakan diri dengan budaya ilmu, menanam semangat ingin tahu dan berfikiran kritis.
Selain itu, mereka juga diingatkan agar menghormati pensyarah, menghargai rakan dan mengurus masa dengan bijak kerana kejayaan individu adalah sebahagian daripada kejayaan UC TATI.
“Teruskan berusaha dengan ilmu, integriti dan semangat perpaduan. Kekalkan budaya positif, saling menyokong, dan jadikan cabaran sebagai peluang untuk maju. Bersama kita angkat nama UC TATI ke peringkat lebih tinggi.
“UC TATI memberi fokus kepada pengajaran berkualiti, pembinaan karakter graduan yang seimbang, serta penerapan nilai profesionalisme,” tambah beliau.
Dengan komitmen berterusan terhadap peningkatan infrastruktur, kemudahan pembelajaran moden dan penekanan kepada nilai integriti serta perpaduan, justeru itu, UC TATI bertekad untuk terus melangkah sebagai sebuah institusi pengajian tinggi berprestij di peringkat nasional.
11 Sep 25
229
Kemasukan Tingkatan Satu Sekolah Agama Terengganu 2026 Dibuka
KUALA TERENGGANU, 10 September – Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) mengumumkan permohonan kemasukan murid Tingkatan Satu ke Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu (SMANT) bagi sesi persekolahan 2026 dibuka bermula 4 September hingga 4 Oktober 2025.
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan https://jpint.awfatech.com/daftar.php.
Menurut kenyataan JPINT, tawaran ini melibatkan dua kategori sekolah iaitu Sekolah Menengah Agama Berasrama Penuh dan Sekolah Menengah Agama Harian.
Sekolah Menengah Agama Berasrama Penuh iaitu Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk, Kuala Terengganu, Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI), Dungun, Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI), Besut, Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI), Kuala Nerus (Pengambilan Murid Lelaki Sahaja) dan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI), Hulu Terengganu (Pengambilan Murid Perempuan Sahaja).
Manakala Sekolah Menengah Agama Harian ialah Sekolah Menengah Agama Khairiah, Kuala Terengganu (Pengambilan Murid Perempuan Sahaja), Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin Ladang, Kuala Terengganu (Pengambilan Murid Lelaki Sahaja), Sekolah Menengah Agama Maarif, Besut, Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail, Dungun, Sekolah Menengah Agama Marang, Marang.
Selain itu, Sekolah Menengah Agama Al-Falah, Kemaman, Sekolah Menengah Agama Ittifakiah, Kuala Berang, Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, Hulu Terengganu dan Sekolah Menengah Agama Setiu, Setiu.
JPINT turut memaklumkan sebarang maklumat lanjut berkenaan kemasukan boleh diperoleh melalui laman rasmi Facebook Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu atau Info Kemasukan Murid Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu.
Dengan pembukaan permohonan ini, ibu bapa dan murid di seluruh Terengganu digalakkan membuat persediaan awal bagi memastikan peluang kemasukan ke sekolah agama negeri yang sentiasa menjadi pilihan utama masyarakat.
10 Sep 25
745
UC TATI Anjur Program 'CultureNConnect' Perkukuh Jalinan Antarabangsa
KEMAMAN, 10 September - University College TATI (UC TATI) telah menganjurkan program CultureNConnect sebagai usaha memperkasa hubungan antarabangsa melalui aktiviti pertukaran bidang dan bahasa bersama institusi luar negara.
Pendaftar UC TATI, Hanyza Ahmad berkata Program tersebut melibatkan seramai 13 peserta antarabangsa dari Mie University, Jepun serta 15 pelajar UC TATI yang bertindak sebagai peserta tempatan dan pengendali program sepanjang ia berlangsung.
"Dalam program yang diadakan ini para peserta telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk pembelajaran bahasa, pertukaran budaya dan lawatan kebudayaan sekitar Terengganu yang menekankan aspek kefahaman silang budaya," ujarnya ketika menyempurnakan perasmian program terbabit, di sini, baru-baru ini
Turut hadir, Profesor Emeritus Mie University, Prof. Dr.Masataka Kubo dan Profesor Fakulti Kemanusiaan, Undang-Undang dan Ekonomi Mie University, Prof. Dr. Hirokazu Ajiki.
Dalam pada itu, Hanyza berharap agar program tersebut berjaya mencapai matlamat dalam memperkukuh jaringan kerjasama akademik.
"Selain memupuk hubungan mesra antara UC TATI dan Mie University di peringkat antarabangasa," ujar beliau.
10 Sep 25
67
Home Guard Lambang Kesatuan Rakyat Gapai Kemerdekaan
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos - Kehadiran segerombolan Pasukan Kawalan Tempatan Persekutuan Tanah Melayu atau lebih dikenali sebagai 'Home Guard' ternyata mencuri tumpuan dalam Perarakan dan Perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 peringkat negeri Terengganu, hari ini.
Berkemeja putih dan berseluar coklat dengan lilitan lengan tertulis 'HG' yang ditampilkan kontinjen Pejabat Tanah dan Daerah Marang itu mengimbau kembali ingatan pengunjung yang hadir kepada penubuhan 'benteng pertahanan rakyat' itu sebelum merdeka.
Ditubuhkan oleh British pada tahun 1950, Home Guard merupakan pasukan sukarelawan yang berperanan mengawal keselamatan kawasan berisiko terutama perkampungan, penempatan semula dan kampung baru dari ancaman komunis ketika darurat.
Pasukan ini, meskipun sebuah unit keselamatan sukarela, namun dari segi pengurusan dan pengendalian pasukannya amat sistematik.
Sebagaimana kemasnya lilitan di lengan para Home Guard, begitu kemasnya amanah dan semangat yang disisipkan dalam setiap tugasan yang dilakukan.
Pada tahun 1950, terdapat 30,000 anggota Home Guard terdiri daripda 25,400 Melayu, 3,500 Cina, 800 India dan 300 orang dari lain-lain kaum.
Keanggotaan Home Guard mencapai 250,000 orang pada tahun 1953 melibatkan pelbagai kaum.
Sehingga 1958, seramai 221 komunis tumpas dan 110 daripadanya cedera di tangan pasukan ini. 123 komunis turut menyerah diri kepada Home Guard.
Ia dibubarkan pada 1 Julai 1959 setelah berkurangnya ancaman komunis yang membawa kepada pembubaran pengisytiharan darurat di Tanah Melayu pada tahun 1960.
Namun, Home Guard kembali diwujudkan bagi membantu agensi keselamatan menangani penyusupan dan pendaratan pihak Indonesia ketika Konfrontasi Indonesia-Malaysia pada tahun 1963 sehingga 1965, sebelum kembali dibubarkan.
Setelah peristiwa 13 Mei 1969, pihak kerajaan menyedari keperluan pasukan sukarelawan yang tetap untuk membantu menangani masalah dan ancaman keselamatan.
Hasilnya pada 1972, Ikatan Relawan Rakyat (RELA) ditubuhkan.
31 Aug 25
555
Pengorbanan, Air Mata Dua Anak Terengganu ke Beijing
KUALA TERENGGANU, 28 Ogos – Di sebalik senyuman dua anak muda Terengganu yang bakal berangkat menimba ilmu ke Beijing, tersembunyi kisah pengorbanan, doa dan air mata keluarga yang menjadi sumber kekuatan mereka.
Bagi Muhammad Harif Irfan M Anwar, 18, dari Kuala Nerus, langkahnya ke luar negara bukan sekadar kejayaan peribadi, sebaliknya hadiah buat ibu bapa yang tidak pernah jemu berkorban.
"Saya anak sulung daripada enam beradik. Jadi, apabila dapat peluang ke luar negara, rasa gembira itu bukan untuk saya seorang, tapi untuk mak ayah dan adik-adik.
"Harapan saya cuma satu, nak banggakan mereka dan jadikan diri saya contoh terbaik buat keluarga," jelasnya ketika ditemui selepas Majlis Penghantaran dan Penyerahan Pendahuluan Diri Pelajar Yayasan Terengganu ke BFSU di Dewan Besar Yayasan Terengganu, baru-baru ini.
Harif yang bakal melanjutkan pengajian di Beijing Foreign Studies University (BFSU) berazam menjadikan segala ilmu yang ditimba sebagai bekalan untuk memajukan negeri Terengganu dan Malaysia.
"Cabaran menuntut ilmu ini antaranya ialah mengawal diri daripada aktiviti yang tidak memberi faedah. Kita perlu konsisten untuk belajar dan menahan diri daripada perkara sia-sia," katanya.
Jika Harif menempuh cabaran sebagai anak sulung, kisah Rabiatul Anissa Mohammad Fousi, 18, dari Dungun pula sarat dengan ketabahan seorang anak bongsu yang tidak pernah patah semangat.
Ayahnya, Mohammad Fousi Rasheed, 56, menghidap sakit jantung kronik sejak beliau di sekolah rendah, manakala ibunya, Mazlina Abd Manan, bertugas sebagai jururawat di Hospital Dungun.
"Semangat saya datang daripada keluarga. Walaupun ayah sakit, mak tetap kuat. Abang dan kakak pula tidak pernah berhenti memberi dorongan. Saya pernah hampir putus asa untuk ambil peperiksaan HSK kerana rasa tak mampu, tapi mereka yakinkan saya.
"Hari ini saya dapat peluang ke China, semua ini kerana doa dan sokongan mereka," katanya penuh syukur.
Sejak kecil, Anissa sudah diasuh dengan bahasa Mandarin, bermula dari tadika hingga sekolah menengah, beliau terus gigih menguasainya sehingga akhirnya terpilih melanjutkan pengajian dalam bidang International Business di BFSU.
Kedua-dua pelajar ini mengakui, cabaran utama bukan sekadar di bilik kuliah, tetapi bagaimana menjaga diri, menahan godaan hiburan yang melalaikan dan mengekalkan disiplin untuk terus fokus pada ilmu.
Namun semangat mereka sama, mahu kembali ke tanah kelahiran, Terengganu, untuk menabur bakti.
Bagi ibu bapa mereka, kejayaan ini bukan sekadar tiket ke universiti ternama di Beijing, tetapi bukti bahawa doa, pengorbanan dan kasih sayang mampu mengubah dugaan hidup menjadi sebuah kejayaan yang membanggakan.
28 Aug 25
3372