lightning-solid
Berita :
Guru Al-Quran Dihargai
Guru Al-Quran Dihargai
Norekwan Mamat
15 Oct 25
68

HULU BESUT, 15 Oktober — Peranan guru al-Quran dalam membentuk masyarakat berakhlak dan berilmu tinggi amat besar nilainya dalam membina generasi Islam yang berpegang teguh kepada ajaran al-Quran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut,  Mohd Husaimi Hussin berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penghargaan kepada para guru al-Quran dalam satu majlis yang diadakan hari ini.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua guru al-Quran yang selama ini mencurahkan masa, tenaga dan ilmu bagi mendidik masyarakat mengenal Kalamullah.

 “Tuan-tuan dan puan-puanlah sebenarnya pewaris para nabi dalam menyampaikan cahaya ilmu dan hidayah kepada umat,” ujar beliau dalam majlis yang diadakan itu

Tambah beliau lagi, guru al-Quran bukan sekadar mengajar huruf dan tajwid, tetapi berperanan besar dalam membentuk jiwa serta akhlak masyarakat.

 “Melalui tuan-tuanlah, anak-anak kecil kita mengenal huruf pertama dalam hidup mereka alif, ba, ta yang akhirnya membuka jalan kepada cinta terhadap kitab Allah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan hasrat kepimpinan Hulu Besut untuk melahirkan masyarakat yang bukan sahaja tahu membaca al-Quran, tetapi juga hidup berlandaskan ajaran al-Quran dalam setiap aspek kehidupan termasuk rumah tangga, pekerjaan dan pergaulan seharian.

Sementara itu, beliau turut menzahirkan komitmen pihak kepimpinan Hulu Besut untuk memperkukuh jaringan guru-guru al-Quran di bawah seliaan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta institusi masjid.

 “Kita mahu pastikan tidak ada satu pun kampung di Hulu Besut yang tidak mendengar suara al-Quran,” katanya lagi.

Pada majlis tersebut, seramai 102 guru al-Quran menerima sumbangan penghargaan sebagai tanda ingat-ingatan atas jasa dan pengorbanan mereka dalam mendidik masyarakat.

“Sumbangan yang disampaikan ini mungkin tidak seberapa, namun ia sebagai tanda penghargaan atas jasa besar tuan-tuan dan puan-puan dalam memartabatkan pendidikan al-Quran di Hulu Besut,” ujar beliau.

Beliau turut menyeru semua pihak termasuk guru, JPKK, masjid dan masyarakat untuk terus berganding bahu dalam menyebarkan nur al-Quran di bumi Hulu Besut.

Di akhir ucapannya, Mohd Husaimi mendoakan agar semua guru al-Quran terus diberikan kekuatan dan kesabaran dalam melaksanakan tugas mulia tersebut.

“Semoga setiap huruf yang diajarkan menjadi amal jariah yang berkekalan hingga ke akhirat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan sabda Rasulullah SAW:

 “Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.”
(Riwayat al-Bukhari)

 


Tag :

Artikel Berkaitan