lightning-solid
Berita :
16 Pasangan Daerah Besut  Dirai Dalam Walimatulurus Perdana
16 Pasangan Daerah Besut  Dirai Dalam Walimatulurus Perdana
Rohayati Ripin
15 Sep 25
51

Oleh ; Mohd Hafizi

BESUT, 15 September – Seramai 16 pasangan pengantin diraikan dalam Program Walimatulurus Perdana Peringkat Parlimen Besut 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri Mohd Nurkhuzaini bin Ab. Rahman menegaskan bahawa perkahwinan adalah sunnah Rasulullah SAW yang menjadi asas pembinaan keluarga, masyarakat dan negara.

Katanya, acara yang dianjurkan di seluruh negeri terus menjadi agenda penting dalam usaha memperkukuh institusi kekeluargaan, apabila seramai 192 pasangan pengantin diraikan serentak pada hari yang sama di semua daerah.

“Setiap pasangan perlu menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan, serta menghayati nilai sabar, persefahaman dan kasih sayang dalam membina rumah tangga sakinah, mawaddah wa rahmah,” jelasnya.

Beliau yang juga ADUN Kota Putera berkata demikian ketika melancarkan Program Walimatulurus Perdana Tahun 2025 di Dewan Merdeka, Kota Putera Square, baru-baru ini.

Justeru itu, beliau berharap pasangan yang diraikan dikurniakan kebahagiaan, keberkatan dan kekal harmoni hingga ke akhir hayat.

Sementara itu, Pegawai Daerah Besut, Ahmad Rizal Mamat berkata, inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban pasangan pengantin, tetapi juga berperanan memastikan ikatan perkahwinan dimulakan dengan asas yang kukuh berteraskan nilai Islam.

"Sejak diperkenalkan pada tahun 2016, program walimatulurus perdana telah memberi manfaat kepada lebih 1,500 pasangan di Terengganu, dengan pelbagai insentif termasuk persalinan akad nikah, perkhidmatan jurunikah, dokumen nikah, pelamin, andaman, kad jemputan, jurugambar dan kursus perkahwinan," ujarnya.

Program kali ini menyaksikan penyertaan pasangan pengantin dari seluruh daerah Terengganu serta beberapa negeri luar, menjadikan suasana lebih meriah dan berwarna-warni dengan adat tradisi Melayu seperti perarakan kompang, bunga manggar dan persembahan silat.

Daripada 32 orang pengantin yang diraikan, seramai 19 orang berasal dari daerah Besut melibatkan tujuh orang dari DUN Kota Putera, lapan orang dari DUN Jerteh, dua orang dari DUN Kuala Besut, seorang dari DUN Hulu Besut dan seorang dari DUN Jabi.

Seorang lagi pengantin dari DUN Seberang Takir turut serta mewakili daerah Kuala Nerus.

Majlis itu juga meriah dengan penyertaan pengantin dari luar Terengganu iaitu lima orang dari Kelantan, masing-masing seorang dari Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Selangor, Perak dan Sabah.

Keseluruhannya, seramai 32 orang pengantin atau 16 pasangan diraikan pada majlis berkenaan.


Tag :

Artikel Berkaitan