SETIU, 8 September – Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir terus komited mendekati masyarakat apabila meneruskan siri bulanan Kaunter Aduan Rakyat yang kali ini berlangsung di Balairaya Kampung Bukit Kecil.
Katanya, program yang menjadi platform langsung antara wakil rakyat dengan penduduk itu membolehkan pelbagai isu dan keluhan disampaikan secara terus.
Jelas beliau, antara aduan yang diketengahkan termasuk permohonan guru al-Quran, masalah jalan raya, isu berkaitan tanah, serta bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menariknya tambahnya, sesi kali ini turut menarik kehadiran penduduk dari luar kawasan seperti Kampung Sungai Lerek dan Kampung Telaga Papan, membuktikan keberkesanan program tersebut dalam memberi manfaat tanpa mengira sempadan.
Menurut Shaharizukirnain, penganjuran program itu adalah sebahagian daripada amanah dan tanggungjawab beliau terhadap masyarakat.
“Amanah yang digalas di bahu tidak membataskan kami untuk terus berkhidmat. Kami sedia mendengar setiap aduan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Selain mendengar aduan, beliau turut berkesempatan menyampaikan sumbangan pek makanan kepada 40 penerima daripada Kampung Bukit Putera, Kampung Bukit Kecil, Kampung Bukit Layat, dan Kampung Jelapang.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak JPKK yang sentiasa memberi kerjasama erat dalam menjayakan program ini.