MARANG, 23 September – Aroma kopi dan suasana menarik kafetaria baharu di Terengganu Skill berupaya menjadi tarikan bukan sahaja kepada para pelajar, malah juga orang luar untuk datang ke institusi pendidikan milik penuh kerajaan negeri itu.
Pengerusi Koperasi TESDEC Berhad (KOTESDEC), Abdul Majid Ahmad Mohamed berkata, beliau optimis dengan pembukaan kafetaria tersebut yang menurutnya menepati citarasa golongan muda masa kini.

Menurut beliau, sebelum ini ramai dalam kalangan staf mencadangkan agar diwujudkan satu tempat untuk bersantai dan berehat.
“Anak muda sekarang suka ‘healing’. Biasanya mereka ni memang nak kena ada kedai kopi. Jadi, kafetaria ini memang sangat sesuai.
“Alhamdulillah, apabila kami memohon geran, Suruhanjaya Koperasi Malaysia telah meluluskan sebanyak RM89,000 untuk membangunkan kafe ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis perasmian Kafetaria KOTESDEC, semalam.

Majlis perasmian kafetaria tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TESDEC, Sulaiman Sulong.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC Berhad, Mohd Rashdan Muda dan Timbalan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Terengganu, Puan Che Wan Soraya Che Wan Ibrahim.
Tambah beliau, Terengganu Skill yang dulunya dikenali sebagai Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) bukan sahaja menyediakan peluang pendidikan dan latihan kemahiran, tetapi juga menawarkan pelbagai kemudahan lain untuk keselesaan pelajar.
“Saya menjemput semua warga Negeri Terengganu untuk menyambung pengajian di Terengganu Skill. Kita ada kemudahan sukan seperti padang bola, padang futsal, padang takraw, asrama, surau, dan kini tempat ‘healing’ – kafe yang sangat menarik,” katanya.