MARANG, 23 September – Seramai 232 pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan menerima sumbangan awal sebagai persediaan untuk melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam dan luar negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, inisiatif tersebut merupakan tanda ingatan dan penghargaan daripada Pejabat Khidmat Masyarakat (PKM) kepada para pelajar yang bakal menyambung pengajian.
“Walaupun inisiatif ini tidaklah besar, namun ia merupakan tanda ingatan dan sokongan daripada kami kepada anak-anak yang akan melangkah ke alam pengajian tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan STPM/STAM dan Sumbangan Awal IPT 2025 DUN Pengkalan Berangan di Dewan Auditorium, Akademi Bomba Wilayah Timur, Wakaf Tapai, di sini, semalam.

Dalam ucapannya, Sulaiman turut menitipkan pesanan agar para pelajar sentiasa menjaga solat dan tidak melupakan asal-usul mereka.
“Jangan malu untuk mengaku dari kampung mana. Apabila ditanya, ramai hanya menjawab dari Terengganu atau Marang sahaja, sedangkan kampung kita itulah yang membentuk siapa kita hari ini,” ujarnya.
Sebelum itu pada 11 September lalu, seramai 14 pelajar telah menerima sumbangan lebih awal kerana perlu mendaftar ke universiti masing-masing terlebih dahulu.
Daripada jumlah itu, 11 orang melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK), manakala tiga pelajar lagi ke Universiti Al-Azhar, Mesir.