HULU BESUT, 10 Sept – Pusat Khidmat Masyarakat (ADUN) Hulu Besut hari ini melancarkan projek perintis Laman Tani, tanaman timun batang, sebagai usaha memperkenalkan konsep “Satu Rumah, Satu Laman Tani.”
Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin yang turut memaklumkan bahawa inisiatif ini adalah bagi menyahut saranan Pengarah USWa Negeri Terengganu, Tuan Roslina Tuan Sulaiman, yang menggalakkan aktiviti bercucuk tanam dilaksanakan di setiap rumah.

Menurut Mohd Husaimi, projek perintis di PKM ini akan diperluas ke seluruh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN Hulu Besut, sebagai langkah memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pertanian kecil-kecilan di halaman rumah.
“Pendekatan ini bukan sahaja dapat menjimatkan kos sara hidup, bahkan memberi manfaat kepada kesihatan, kelestarian alam sekitar serta mengeratkan ukhuwah dalam komuniti,” katanya.
Dalam pada itu,beliau turut menyeru penduduk yang sudah mempunyai laman tani supaya meneruskannya, manakala yang belum bermula disaran mengambil contoh daripada projek ini.
