lightning-solid
Berita :
Tepoh Lokasi Pembuka Tirai Karnival Indahnya Hidup Bersyariat di Kuala Nerus
Tepoh Lokasi Pembuka Tirai Karnival Indahnya Hidup Bersyariat di Kuala Nerus
Noraini Jusoh
24 Sep 25
68

Oleh : Syahida Mohd
Foto : Muhammad Fazlee Aziz

KUALA NERUS, 24 September - Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh menjadi lokasi pembuka tirai penganjuran Karnival Indahnya Hidup Bersyariat bagi daerah Kuala Nerus.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata, penganjuran karnival yang diadakan di Kampung Gemuroh itu telah berlangsung meriah pada 18 hingga 20 September lepas.

"Tepoh merupakan DUN pertama mengadakan karnival ini dan akan disusuli dengan DUN lain di Parlimen kita.

"Penduduk Kampung Gemuruh bertuah kerana kampung ini telah terpilih untuk dijadikan lokasi penganjuran karnival kali ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Peringkat DUN Tepoh 2025 yang diadakan di perkarangan Masjid Al-Mustaqim Kampung Gemuruh, baru-baru ini.

Tambah beliau, kerajaan negeri sudah memutuskan untuk mengadakan karnival ini di seluruh 32 DUN dalam Negeri Terengganu. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim menyatakan keterujaan beliau melihat jumlah penyertaan yang ramai dari seluruh masyarakat dalam karnival yang diadakan.

“Saya berbesar hati menyaksikan program yang dianjurkan sejak hari khamis lalu mendapat sambutan yang cukup baik dari semua lapisan penduduk untuk semua acara yang diadakan," ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Terengganu turut menekankan tujuan utama program ini adalah untuk membawa mesej keindahan hidup apabila masyarakat mula kembali kepada hidup bersyariat.

Pelbagai acara yang diadakan sepanjang karnival itu berlangsung antaranya acara sukan rakyat, malam solidariti Palestin, tukar minyak hitam percuma, bicara wanita, malam kesenian dan pelbagai lagi aktiviti yang disediakan untuk semua pengunjung yang hadir.


Artikel Berkaitan