lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

HEBAT 2.0 Sasar Kehadiran 15,000 Belia
HEBAT 2.0 Sasar Kehadiran 15,000 Belia
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Setelah lima tahun berlalu, Karnival  Himpunan Belia Terengganu (HEBAT) kembali diadakan pada 24 hingga 26 Oktober ini, bertempat di Kompleks Sukan Negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim, merakamkan ucapan tahniah kepada Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT) atas kejayaan merealisasikan karnival tersebut buat kali kedua ini. "Alhamdulillah, kita telah pun menganjurkan Karnival HEBAT pada tahun 2019, selepas itu kita terhenti akibat banyak faktor terutamanya kewangan kerana kita memerlukan sumber kewangan yang banyak untuk mengadakan program sebesar ini. "Bermula tahun lepas, dengan usaha gigih yang dilakukan UBSNT, kita dapat merealisasikan HEBAT buat kali kedua. Pada kali ini, kita memilih Kompleks Sukan Negeri Terengganu sebagai tapak program dengan jangkaan kehadiran seramai 10,000 ke 15,000 pengunjung sepanjang tiga hari ia berlangsung," katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman, hari ini. Jelasnya, HEBAT merupakan salah satu dari program untuk melahirkan generasi belia rabbani menerusi objektif yang disusun melalui Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030. "Kita tidak buat secara semberono tetapi ada objektif yang digariskan termasuklah segmen belia.  "Antara komponennya adalah mengadakan karnival yang kita cuba tarik semua belia dengan kesedaran beragama, kesedaran bersosial, kesedaran gaya hidup sihat sebagaimana dipelopori dalam ajaran agama. "Selain karnival belia, kita tambah kesedaran kepada semua peringkat belia negeri Terengganu tentang kebersamaan kita bersama Palestin, ada satu malam yang kita khususkan untuk pendedahan dan kesedaran berkenaan keperluan bersama umat Islam di Palestin dan saya kira ini himpunan yang juga besar di Terengganu yang juga akan membariskan sukarelawan yang telah menyertai Global Sumud Flotilla (GSF). "Itu antara agenda yang telah kita tambah untuk kali ini," tambahnya. HEBAT menawarkan pelbagai aktiviti dan pengisian antaranya ialah pertandingan e-sports, bengkel kemahiran kecerdasan buatan, ekspo kerjaya, sukan rakyat dan pertandingan bola tampar pantai.   
15 Oct 25
510
70 Petani Lega Jalan Konkrit Siap Sebelum Musim Menuai
70 Petani Lega Jalan Konkrit Siap Sebelum Musim Menuai
BESUT, 14 Oktober – Kira-kira 70 orang petani di Baruh Padi Gong Nibong, Jabi kini boleh menarik nafas lega apabila projek pembinaan jalan konkrit sepanjang 700 meter dijangka siap sepenuhnya sebelum musim menuai tiba, sekali gus memudahkan aktiviti pertanian mereka. Jalan pertanian yang mempunyai lebar 12 kaki itu bakal memberi manfaat besar kepada pengurusan kira-kira 240 hektar kawasan sawah padi di kampung berkenaan, dengan kemudahan infrastruktur yang lebih kukuh dan efisien. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata projek penting itu dibina menggunakan peruntukan bajet negeri bagi memastikan hasil tuaian petani dapat diangkut keluar dengan lebih mudah dan teratur. “Saya bercita-cita nak tengok semua jalan pertanian seperti ini, namun kekangan bajet membataskan hasrat tersebut. “Oleh itu, kita melaksanakan secara berfasa dengan mengutamakan kawasan yang paling penting. Jalan pertanian Baruh Padi Gong Nibong ini dibina sepenuhnya menggunakan peruntukan negeri,” katanya. Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, jalan konkrit tersebut direka dengan teliti menggunakan dua lapis BRC (Bent Reinforced Concrete) bagi memastikan ia cukup kuat dan tahan lasak menampung pergerakan jentera berat pertanian, terutama ketika musim hujan. Beliau turut memaklumkan bahawa projek kini berada di peringkat akhir, dengan hanya baki 150 meter pembinaan yang belum disiapkan. Projek ini diharap dapat mengatasi masalah jalan tanah liat yang sering becak dan sukar dilalui semasa musim tengkujuh, selain meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kos pengangkutan hasil pertanian. “Walaupun cuaca hujan sedikit mengganggu kelancaran kerja-kerja pembinaan, saya mohon semua bersabar. Kerja sedang giat dijalankan dan, insya-Allah, jalan ini boleh digunakan sebelum musim menuai tiba,” jelasnya.    
15 Oct 25
149
Hari Bertemu Pelanggan Perkukuh Komunikasi Dua Hala
Hari Bertemu Pelanggan Perkukuh Komunikasi Dua Hala
DUNGUN, 15 Oktober – Program Hari Bertemu Pelanggan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sura terus menjadi platform utama dalam memperkukuh komunikasi dua hala antara pemimpin dan masyarakat setempat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, sesi bersemuka seperti ini memberi ruang kepada rakyat untuk meluahkan masalah dan pandangan mereka secara lebih terbuka serta mudah difahami. “Kadang tidak semua masalah boleh diselesaikan atas kertas. Bila bersemuka, rakyat lebih senang meluahkan dan kita pun lebih mudah membantu atau memberi pandangan yang sesuai. Ada antara mereka sebenarnya hanya perlukan bimbingan atau panduan untuk menyelesaikan sesuatu urusan,” katanya kepada pemberita sewaktu ditemui pada program berkenaan.   Menurut beliau, antara isu yang sering dikemukakan oleh penduduk ialah berhubung permohonan bantuan kebajikan, aduan kerosakan jalan, peluang pekerjaan, serta urusan pentadbiran berkaitan kesihatan, perumahan dan perniagaan kecil. Katanya, tidak kurang juga peniaga kecil yang berkongsi cabaran mereka seperti kekurangan tapak niaga, kos operasi yang meningkat serta keperluan sokongan untuk memperluaskan perniagaan. “Isu peniaga kecil ini juga penting kerana mereka sebahagian daripada nadi ekonomi tempatan. Bila mereka terjejas, tempiasnya dirasai oleh ramai,” jelas beliau. Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin yang juga seorang doktor berpengalaman dalam bidang kesihatan awam berkata, pendekatan bersemuka turut membantu beliau memahami dengan lebih dekat keadaan kesihatan dan kesejahteraan komuniti setempat. “Kadang ada yang datang bukan semata nak adu masalah fizikal, tapi kerana tertekan dengan keadaan hidup. Di sinilah pentingnya kita hadir sebagai wakil rakyat, bukan sekadar mendengar, tapi cuba menenangkan dan mencari jalan penyelesaian bersama,” ujarnya. Program Hari Bertemu Pelanggan itu akan diteruskan secara berkala sebagai sebahagian daripada komitmen Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sura untuk memastikan keperluan dan suara rakyat terus didengar serta diberi perhatian sewajarnya.
15 Oct 25
19
Besut Siapsiaga Hadapi Monsun Timur Laut
Besut Siapsiaga Hadapi Monsun Timur Laut
Oleh : Nor Amira Amijudin BESUT, 15 Oktober – Daerah Besut memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 menerusi penganjuran Simulasi Pengurusan Banjir dan Pengendalian Bot yang diadakan di Agro Darau, Hulu Besut, semalam. Program tersebut menghimpunkan pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta BESTRAC, di samping penglibatan kepimpinan komuniti dari seluruh daerah Besut. Simulasi itu memberi fokus kepada latihan keselamatan air, teknik menyelamat, serta pengurusan kecemasan bagi memastikan semua pihak bersedia menghadapi kemungkinan banjir ketika musim tengkujuh tiba kelak. Menurut Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad@Abu, pendekatan kesiapsiagaan awal amat penting bagi memastikan tindakan lebih pantas dan berkesan dapat dilaksanakan sekiranya bencana berlaku.  “Kita tak boleh elak banjir, tapi kita boleh bersedia menghadapinya,” katanya ketika ditemui selepas program Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, YB Mohd Husaimi Hussin, yang menzahirkan penghargaan kepada semua agensi terlibat atas komitmen mereka dalam memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan. Beliau turut menegaskan bahawa program seumpama ini wajar diteruskan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap langkah-langkah keselamatan dan peranan masing-masing ketika menghadapi bencana.
15 Oct 25
297
8,000 Benih Ikan Baung Dilepaskan Di Sungai Pengkalan Berangan
8,000 Benih Ikan Baung Dilepaskan Di Sungai Pengkalan Berangan
MARANG, 14 September – Sebanyak 8,000 benih ikan baung dilepaskan ke Sungai Pengkalan Berangan dalam usaha memulihara dan meningkatkan sumber perikanan nelayan setempat. Ketua Perikanan Marang, Maidatul Suhana Mohd berkata, program pelepasan benih ikan tersebut bertujuan meningkatkan sumber ikan di sekitar Kampung Pengkalan Berangan. “Hari ini kami dari Pejabat Perikanan Negeri Terengganu melepaskan sebanyak 8,000 benih ikan baung yang bernilai kira-kira RM11,280 untuk nelayan di sekitar Kampung Pengkalan Berangan. "Program pelepasan ikan di perairan umum ini dilaksanakan susulan permohonan daripada pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan sendiri, Sulaiman Sulong. Jadi kami rasa mahu menyumbang ikan ini untuk kebaikan dan manfaat nelayan Sungai di Kawasan ini," ujarnya kepada pemberita selepas acara pelepasan benih ikan tersebut.  Sementara itu, Sulaiman amat menghargai sumbangan berkenaan. “Ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan, Industri Asas Tani dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim atas penganjuran program pelepasan benih ikan hari ini," ujarnya. Terdahulu, sebanyak 33,300 benih dilepaskan termasuklah spesies ikan baung (5,000), ikan siakap (3,300) dan udang galah (25,000) di sungai yang sama pada 25 Ogos tahun lepas. Pada majlis yang sama turut diadakan penyerahan sijil penyertaan kepada wakil peserta Program Peningkatan Kemahiran Teknikal Teknologi Perikanan Pembaikan Bot Gentian Kaca (IN-SITU).  
14 Oct 25
45
Pesawah Baruh Gerong Mengeluh, Nasib Jelapang Padi Terancam
Pesawah Baruh Gerong Mengeluh, Nasib Jelapang Padi Terancam
BESUT, 14 Oktober – Masalah bekalan air yang membelenggu pesawah di Baruh Gerong salah satu Jelapang Padi utama di Besut kini menjadi perhatian serius pihak berkuasa negeri. Isu ini mendapat perhatian selepas seorang pesawah veteran, Abd Latif Majid, 75 menyuarakan kekecewaannya. Dia mengadu nasib padi mereka tidak akan berubah selagi sumber air utama daripada Empangan Paya Peda tidak disalurkan ke kawasan sawah mereka. "Masalah air dalam Baruh Gerong tidak akan selesai selagi air dari Empangan Paya Peda tidak sampai ke sini...," adunya, yang menggambarkan situasi kritikal yang dihadapi oleh komuniti pesawah. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim menegaskan bahawa aduan bekalan air ini perlu diambil serius. "Masalah aduan bekalan air dari pesawah kita kena ambil tindakan serius. Saya akan panggil segera pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA Ketara) untuk melihat permasalahan ini dari punca dan sepanjang jajaran tali air," tegas beliau. Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, penyelesaian perlu dicari di peringkat akar umbi. “Ini kerana masalah perlu dikenalpasti dan diselesaikan dari puncanya. ''Baruh Gerong merupakan kawasan penting dalam pengeluaran padi negeri. Kegagalan bekalan air yang mencukupi terutamanya dari Empangan Paya Peda yang dibina untuk menampung keperluan pengairan boleh menjejaskan hasil tuaian dan mengancam jaminan makanan tempatan," katanya.  Penyiasatan oleh IADA Ketara dijangka akan menumpukan kepada punca kelewatan atau kekurangan air di Baruh Gerong sama ada disebabkan oleh masalah teknikal, penyenggaraan taliair atau isu lain sepanjang rangkaian pengairan dari Empangan Paya Peda. Rakyat dan pesawah Baruh Gerong kini menanti penyelesaian tuntas daripada pihak berwajib.
14 Oct 25
56
278 Pelajar Cemerlang SRIDI Dirai
278 Pelajar Cemerlang SRIDI Dirai
KUALA NERUS, 13 Oktober - Seramai 278 pelajar daripada 12 buah Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) seluruh negeri yang mencapai keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) Tahun 2024 dirai sempena Majlis Haflu Takrim Syahadah Ibtidaiyyah Darul Iman yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Ahmad Shah Mohamed, berkata majlis tersebut diadakan bagi mengiktiraf usaha gigih para pelajar serta sokongan padu ibu bapa dan guru. "Kita mengiktiraf kejayaan dan kecemerlangan anak-anak pelajar yang telah berusaha gigih dalam pelajaran mereka. "Kejayaan ini bukan sahaja hasil usaha pelajar yang tidak pernah putus asa tetapi juga berkat doa ibu bapa serta bimbingan guru-guru yang tidak pernah jemu mendidik dan membimbing," ujarnya. Menurut beliau, kejayaan melahirkan generasi rabbani yang berilmu, beriman dan berakhlak merupakan matlamat utama sistem pendidikan Islam negeri, seiring dengan hasrat melahirkan masyarakat berilmu dan berdaya saing berteraskan nilai Islam. Katanya, Majlis Haflu Takrim Syahadah Ibtidaiyyah Darul Iman dianjurkan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) bukan sahaja untuk mengiktiraf kecemerlangan pelajar tetapi berusaha melahirkan generasi rabbani yang seimbang dari segi ilmu dunia dan akhirat.
13 Oct 25
60
Tanam Sendiri, Jimat Belanja
Tanam Sendiri, Jimat Belanja
Oleh: Nor Amira Amijudin BESUT, 12 Oktober – Inisiatif pertanian komuniti melalui projek “Tanaman Bira Rumoh” yang dilaksanakan di perkarangan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Hulu Besut mencuri perhatian apabila berjaya memberi manfaat secara langsung kepada kakitangan setempat. Program ini merupakan usaha menyahut seruan Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWA), Puan Tuan Roslina Tuan Sulaiman, dalam Program Lamanita beberapa bulan lalu yang menggalakkan masyarakat memanfaatkan ruang tanah sedia ada untuk aktiviti bercucuk tanam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, berkata pelaksanaan projek ini bukan sahaja membekalkan sumber makanan segar kepada kakitangan, malah turut membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat. “Selain menjimatkan perbelanjaan, projek ini juga meningkatkan kesedaran tentang pentingnya pertanian komuniti dalam menjamin bekalan makanan tempatan. Terima kasih kepada USWA kerana sentiasa menggerakkan inisiatif bermanfaat untuk rakyat,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui di sini, kelmarin Menurutnya, pelbagai tanaman dapur ditanam di kawasan tersebut dan hasilnya diagihkan serta digunakan secara bersama oleh warga PKM dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) DUN Hulu Besut. Beliau berkata, projek ini juga dilihat sebagai model kecil kepada usaha kerajaan negeri dalam menggalakkan rakyat menanam sendiri bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran luar.
12 Oct 25
10863
Eratkan Ukhwah Melalui Program Bowling Mahabbah
Eratkan Ukhwah Melalui Program Bowling Mahabbah
KUALA TERENGGANU, 12 Oktober – Program Bowling Mahabbah anjuran belia Bukit Jejulong yang berlangsung di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Ibai semalam bukan sekadar aktiviti riadah, malah menjadi platform mengeratkan hubungan antara golongan belia dan penduduk kampung. Pengarah program, Muhammad Fadzly Jaafar berkata, objektif utama penganjuran adalah untuk memupuk semangat ukhwah dalam kalangan belia daripada Kampung Bukit Jejulong dan kampung sekitar. “Matlamat kami adalah untuk merapatkan hubungan anak muda dari ketiga-tiga kampung yang terlibat iaitu Kampung Bukit Jejulong, Bukit Kulim dan Bukit Gading. Alhamdulillah, seramai 62 peserta hadir, termasuk mereka yang turut membawa anak dan isteri, menjadikan suasana lebih meriah dengan semangat kekeluargaan. "Program ini adalah acara tahunan, kalau tak main di TER kami akan bermain di Arena Bowling Paya Bunga” katanya selepas acara pembahagian hadiah yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong. Sementara itu, AJK program, Tuan Mohd Rifai Tuan Mohd amat menghargai kehadiran ADUN Pengkalan Berangan itu untuk bertemu mata dengan anak muda. “Walaupun terkejar-kejar ke tempat program selepas pulang dari merasmikan pertandingan silat di KTCC Mall, Ustaz tetap berusaha hadir untuk bertemu peserta. Terima kasih kepada pihak PKM kerana hadir memberi sokongan kepada program anak muda” ujarnya lagi.  
12 Oct 25
26
Masyarakat Mainkan Peranan Minimumkan Kesan Kebakaran Dan Kemusnahan
Masyarakat Mainkan Peranan Minimumkan Kesan Kebakaran Dan Kemusnahan
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Peranan komuniti dalam membantu pasukan bomba sangat penting bagi meminimumkan kesan kebakaran dan kemusnahan. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Ahmad Shah Mohamed berkata, masyarakat perlu menjadikan keselamatan kebakaran sebagai budaya hidup yang perlu diamalkan setiap masa. “Pencegahan kebakaran bukan hanya tanggungjawab bomba, tetapi tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.  “Bila kita tahu apa yang perlu dilakukan, insyaAllah nyawa dan harta benda dapat diselamatkan,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Pencegahan Kebakaran Peringkat Negeri Terengganu 2025 yang diadakan di Laman Payang, Pasar Payang, Kuala Terengganu, anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Terengganu. Majlis yang berlangsung meriah itu turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran keselamatan kebakaran, demonstrasi menyelamat, serta pemeriksaan alat pemadam api.    Ahmad Shah berkata, langkah pencegahan dan kesedaran masyarakat merupakan benteng utama dalam mengelakkan kejadian kebakaran. “Seluruh lapisan masyarakat perlu terus memberikan sokongan padu kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, khususnya di negeri Terengganu.  “Walaupun berdepan tugas hakiki yang mencabar, mereka turut memainkan peranan besar dalam mendekati masyarakat untuk menyampaikan mesej keselamatan kebakaran dengan lebih berkesan,” ujarnya. Katanya, program ini diharap dapat memupuk budaya cakna keselamatan dalam kalangan rakyat Terengganu, sekaligus memperkukuh hubungan erat antara JBPM dan komuniti setempat dalam usaha mewujudkan negeri yang selamat dan sejahtera.  
12 Oct 25
49