lightning-solid
Berita :
Masyarakat Mainkan Peranan Minimumkan Kesan Kebakaran Dan Kemusnahan
Masyarakat Mainkan Peranan Minimumkan Kesan Kebakaran Dan Kemusnahan
Mohd Shahizam Salleh
12 Oct 25
50

KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Peranan komuniti dalam membantu pasukan bomba sangat penting bagi meminimumkan kesan kebakaran dan kemusnahan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Ahmad Shah Mohamed berkata, masyarakat perlu menjadikan keselamatan kebakaran sebagai budaya hidup yang perlu diamalkan setiap masa.

“Pencegahan kebakaran bukan hanya tanggungjawab bomba, tetapi tanggungjawab bersama seluruh masyarakat. 

“Bila kita tahu apa yang perlu dilakukan, insyaAllah nyawa dan harta benda dapat diselamatkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Pencegahan Kebakaran Peringkat Negeri Terengganu 2025 yang diadakan di Laman Payang, Pasar Payang, Kuala Terengganu, anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Terengganu.

Majlis yang berlangsung meriah itu turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran keselamatan kebakaran, demonstrasi menyelamat, serta pemeriksaan alat pemadam api. 

 

Ahmad Shah berkata, langkah pencegahan dan kesedaran masyarakat merupakan benteng utama dalam mengelakkan kejadian kebakaran.

“Seluruh lapisan masyarakat perlu terus memberikan sokongan padu kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, khususnya di negeri Terengganu. 

“Walaupun berdepan tugas hakiki yang mencabar, mereka turut memainkan peranan besar dalam mendekati masyarakat untuk menyampaikan mesej keselamatan kebakaran dengan lebih berkesan,” ujarnya.

Katanya, program ini diharap dapat memupuk budaya cakna keselamatan dalam kalangan rakyat Terengganu, sekaligus memperkukuh hubungan erat antara JBPM dan komuniti setempat dalam usaha mewujudkan negeri yang selamat dan sejahtera.

 


Tag :

Artikel Berkaitan