lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Kerajaan Terengganu Tanggung Sehingga RM100,000 Kos Rumah Untuk Nelayan B40
Kerajaan Terengganu Tanggung Sehingga RM100,000 Kos Rumah Untuk Nelayan B40
KUALA TERENGGANU, 12 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu menanggung hampir RM100,000 kos pembinaan sebuah rumah bagi Skim Perumahan Penempatan Semula Nelayan (PSN) untuk diberikan kepada golongan nelayan berlesen B40 pada harga subsidi serendah RM54,000. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, kos sebenar pembinaan setiap unit rumah adalah hampir RM150,000. "Harga kos sebuah rumah adalah hampir RM150,000, tetapi Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan kepada nelayan yang layak pada harga RM54,000 sahaja. Baki kos pembinaan itu sepenuhnya akan ditanggung oleh kerajaan," katanya.  Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Projek Khas PSN di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Projek PSN melibatkan kos keseluruhan sekitar RM33 juta, dengan Kerajaan Negeri membiayai kira-kira RM20 juta dan dibantu dana Kerajaan Persekutuan sebanyak RM13 juta. "Kos keseluruhan ini tidak termasuk nilai tanah yang telah diberikan secara percuma oleh Kerajaan Negeri," tambah beliau. Menurut Dr Azman, terdapat tiga lokasi PSN yang sedang dibangunkan, iaitu di Pulau Skepeng Kemaman, Benting Lintang Besut, dan Seberang Penarik Setiu. "Dua projek iaitu PSN Kemaman dan PSN Besut telah siap sepenuhnya. Dalam mesyuarat hari ini, kita telah menerima senarai cadangan peserta daripada kalangan nelayan berlesen B40. Insya-Allah, majlis penyerahan kunci rumah-rumah ini dijadualkan pada awal Disember 2025," jelasnya.            
12 Oct 25
3244
Rawatan Syifa’ Suburkan Ketenangan Rohani Penduduk
Rawatan Syifa’ Suburkan Ketenangan Rohani Penduduk
DUNGUN, 11 Oktober – Program Rawatan Syifa’ anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura di Kampung Sungai Buaya menjadi ruang ketenangan buat penduduk yang berdepan tekanan hidup serta gangguan emosi, melalui pendekatan Islamik berasaskan doa dan ruqyah syariah. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin, yang turut hadir pada program berkenaan berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi membantu masyarakat menangani tekanan mental dan spiritual dengan cara yang selari dengan ajaran Islam. “Sebagai seorang doktor yang pernah bertugas di lapangan kesihatan awam, saya melihat ramai yang datang ke hospital bukan semata-mata kerana sakit fizikal, tetapi kerana jiwanya penat dan terbeban. Di sinilah peranan rawatan Syifa’ yang membantu mereka pulih dari dalam melalui doa dan keyakinan kepada Allah,” katanya kepada pemberita sewaktu ditemui di program berkenaan. Beliau berkata, keseimbangan antara rawatan moden dan pendekatan kerohanian perlu ditekankan supaya masyarakat bukan sahaja sihat tubuh badan, tetapi juga tenang hati dan fikiran. “Kita tidak menolak ubat moden, tetapi kita mengajak masyarakat untuk tidak melupakan ubat hati iaitu zikir, doa dan tawakal. Apabila jiwa kuat, insya-Allah tubuh juga akan menjadi lebih sihat,” ujarnya. Program yang diadakan di Surau Kampung Sungai Buaya itu menarik penyertaan ramai penduduk yang mendapatkan rawatan ruqyah serta mendengar perkongsian daripada perawat bertauliah.
11 Oct 25
60
Pertandingan Mengail Ikan Dalam Longkang Jadi Tarikan
Pertandingan Mengail Ikan Dalam Longkang Jadi Tarikan
DUNGUN, 11 Oktober – Pertandingan mengail ikan dalam longkang yang diadakan di Kampung Sungai Buaya berjaya mencuri tumpuan penduduk setempat apabila disertai pelbagai peringkat umur, sekali gus menghidupkan semula suasana kampung lama yang semakin jarang dilihat hari ini. Program yang dianjurkan sempena YB Cakna Komuniti Sejahtera DUN Sura itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah, malah mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat setempat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata pertandingan tersebut diadakan sebagai pendekatan santai untuk mendekatkan pemimpin dengan rakyat melalui aktiviti komuniti yang menyeronokkan. “Kadang-kadang perkara kecil seperti ini yang paling bermakna. Bila tengok orang tua, budak-budak sama-sama mengail, kita rasa suasana kampung yang dulu tu hidup balik,” katanya ketika ditemui pemberita usai program berkenaan. Beliau berkata, melalui program sebegini, masyarakat bukan sahaja dapat berhibur, malah dapat menzahirkan semangat kebersamaan dan gotong-royong yang menjadi identiti penduduk kampung. “Bukan semua aktiviti perlu formal. Yang penting rakyat rasa dekat, rasa dihargai. Inilah semangat yang kita nak kekalkan dalam komuniti DUN Sura,” ujarnya. Program berkenaan turut disertai penduduk setempat termasuk golongan belia, warga emas dan kanak-kanak yang memeriahkan suasana dengan gelak tawa dan sorakan setiap kali umpan mengena.  
11 Oct 25
74
Muara Sungai Terengganu Jadi Saksi Solidariti Untuk Palestin Terus Membara
Muara Sungai Terengganu Jadi Saksi Solidariti Untuk Palestin Terus Membara
KUALA TERENGGANU, 10 Oktober - Sekitar 300 bot pelbagai saiz memenuhi muara Sungai Terengganu, petang tadi bagi menzahirlan solidariti kepada perjuangan pembebasan Palestin. Penasihat Persatuan Belia Sahabat Sejahtera Negeri Terengganu (PBSSNT), Hamdi Harun menyifatkan, penganjuran perarakan itu menjadi simbol gelombang kebangkitan rakyat yang membuktikan bahawa walaupun jarak memisahkan, umat Islam di Malaysia tetap bersama dalam doa, sokongan dan perjuangan untuk membela bumi Al-Quds yang diberkati. "Melihat kepada sambutan dan semangat masyarakat, jumlah itu dijangka melebihi anggaran awal. Ramai pihak ingin turut serta sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin dan meraikan wira-wira Sumud Flotilla yang baru pulang ke tanah air. "Tujuan utama perarakan ini adalah untuk membakar semula semangat solidariti ummah terhadap perjuangan Palestin, di samping meraikan keberanian para wira yang menyertai misi Taufan Al Aqsa", katanya ketika dihubungi, hari ini. Jelasnya, perjuangan Palestin bukan isu bermusim, sebaliknya ia ujian keimanan dan maruah umat Islam.  "Ketika dunia semakin sunyi dan seolah-olah melupakan penderitaan Gaza, kita mesti terus menyemarakkan kesedaran agar umat tidak lalai. "Program seperti ini penting untuk memastikan api perjuangan tidak padam dan bukan sekadar dengan slogan, tetapi melalui tindakan, doa, infaq serta kesedaran berterusan. "Anak muda mesti dididik bahawa membela Palestin adalah sebahagian daripada tanggungjawab iman dan ukhuwah Islamiah," tambahnya.
10 Oct 25
68
Genjata senjata Gaza Kemenangan Hamas
Genjata senjata Gaza Kemenangan Hamas
MARANG, 10 Oktober – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa rejim Zionis Israel sedang mengalami kekalahan dalam peperangan semasa, meskipun dibantu oleh kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, Perancis, Britain dan Jerman. Dalam kuliah Dhuha yang disampaikan di Masjid Rusila pagi ini, beliau berkata kekuatan ketenteraan Israel hanyalah bersandarkan kepada bantuan senjata canggih dari kuasa besar, namun tetap gagal menundukkan pejuang Palestin di Gaza yang jauh lebih kecil dan serba kekurangan. “Slogan tentera Israel ialah ‘al-jaisu la yughla’ – tentera yang tidak boleh dikalahkan. Tetapi dengan pertolongan Allah S.WT, wilayah sekecil Gaza dari Marang ke Kemaman saja, mampu menggugat mereka,” katanya. Menurut beliau lagi, apa yang berlaku hari ini menunjukkan hakikat sebenar bahawa rejim Israel sedang terdesak dan mencari jalan keluar dengan memanggil negara-negara Islam dan kuasa besar untuk campur tangan. “Israel kalah, cuma mereka malu untuk mengaku. Mereka ajak Amerika, ajak negara Islam hentikan perang. Tapi realitinya mereka tidak mampu mengalahkan Gaza. Kemenangan berpihak kepada pejuang Hamas,” tegasnya lagi. Beliau turut menyeru umat Islam agar memahami politik semasa dengan pandangan yang lebih luas, dan tidak terpedaya dengan naratif yang dimainkan media antarabangsa. Kuliah tersebut dihadiri ribuan jemaah yang memenuhi ruang masjid, sekali lagi menunjukkan sokongan berterusan rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.
10 Oct 25
75
Bukan Islam, Tapi Setia Hadir Kuliah Dhuha
Bukan Islam, Tapi Setia Hadir Kuliah Dhuha
MARANG, 10 Oktober – Dalam suasana kuliah dhuha yang biasa dihadiri ribuan jemaah muslim di Masjid Rusila, kehadiran seorang bukan Islam menarik perhatian ramai. Alex Chan Foo Yew, 41, yang juga Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kuala Terengganu, bukan sahaja hadir, malah menjadi antara yang istiqamah mengikuti kuliah Tuan Guru Presiden PAS saban minggu. Dalam temu bual bersama media selepas kuliah pagi tadi, Alex yang juga AJK DHPP Pusat dan Timbalan DHPP Terengganu, menjelaskan bahawa beliau bukan hadir sebagai simbolik, tetapi benar-benar menjiwai nilai-nilai yang dikupas dalam kuliah tersebut. “Saya tertarik mengikuti kuliah Tuan Guru kerana mesejnya bukan sahaja menyentuh soal agama, tetapi nilai-nilai sejagat seperti keadilan, kejujuran dan tanggungjawab. "Nilai-nilai ini penting untuk semua manusia, tanpa mengira agama,” ujarnya. Beliau yang juga memegang jawatan sebagai Pengerusi JKKP Kampung Cina, Kuala Terengganu berkata, pendekatan Tuan Guru yang lemah-lembut, berhikmah dan tidak menghukum membuatkan beliau selesa mendengar dan belajar. “Saya tidak pernah rasa terasing. Malah saya percaya ramai bukan Islam akan lebih memahami Islam jika mereka hadir dan mendengar sendiri kuliah seperti ini. "Islam bukan agama yang menakutkan, bahkan menyeru kepada kesejahteraan dan kasih sayang," katanya. Alex berkata,  kehadirannya bukan untuk menukar agama, tetapi untuk menambah ilmu dan memahami prinsip perjuangan PAS serta konsep "Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera". “Ramai yang terkejut pada awalnya, tapi akhirnya mereka faham. Kuliah ini bukan hanya untuk umat Islam, tapi ruang untuk semua mengenal nilai kemanusiaan dan menjalin perpaduan," ujarnya. Beliau berharap agar lebih ramai masyarakat majmuk hadir ke majlis-majlis ilmu seperti ini untuk memperkukuh kefahaman dan keharmonian antara kaum di Malaysia.
10 Oct 25
213
Tanah Peneroka ‘Dirampas’ 2010, Kini Bakal Kembali Ke Pangkuan Rakyat
Tanah Peneroka ‘Dirampas’ 2010, Kini Bakal Kembali Ke Pangkuan Rakyat
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober – Isu tanah peneroka di Cakuh 9, Jerangau yang berlarutan lebih empat dekad kini kembali menunjukkan sinar penyelesaian apabila Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bersetuju membuka semula pelan penyerahan tanah kepada Kerajaan Negeri untuk diberi hak milik kepada peneroka asal yang telah meneroka tanah tersebut sejak tahun 1985. Menurut rekod, seramai 80 peneroka telah mengusahakan tanah seluas lima ekar setiap lot bagi tanaman sawit secara sah mengikut Peraturan Tanah Terengganu, namun pada tahun 2010, tanah berkenaan telah diberi milik kepada KETENGAH oleh kerajaan ketika itu, sekali gus menafikan hak peneroka asal yang telah berpuluh tahun membangunkan kawasan tersebut dari hutan tebal menjadi ladang sawit. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, menjelaskan bahawa kesilapan itu bukan berpunca daripada rakyat, sebaliknya daripada keputusan kerajaan terdahulu yang menyerahkan tanah rakyat kepada agensi. “Isu sebenar ialah bukan rakyat yang menceroboh tanah KETENGAH, tetapi hakikatnya KETENGAH yang tersilap mengambil tanah yang telah diterokai rakyat sejak berpuluh tahun lalu. “Sepatutnya para peneroka ini diberikan hak milik bagi tanah yang mereka telah terokai. Apatah lagi keluasan setiap lot adalah lima ekar mematuhi peraturan bagi kebun sawit. Dari segi moral, adalah silap apabila tanah ini diberi milik kepada KETENGAH. Ia satu bentuk kezaliman terhadap peneroka asal,” katanya menerusi laman sosialnya, kelmarin. Dr. Azman mendedahkan, ketika beliau berada dalam Lembaga Pengarah KETENGAH (BOD), satu keputusan telah dibuat untuk menyerahkan kembali tanah tersebut kepada Kerajaan Negeri supaya diagihkan semula kepada peneroka asal. Ujar beliau, sebagai gantinya Kerajaan Negeri akan memberi tanah lain kepada KETENGAH dengan keluasan yang sama. “Namun, pelan penyelesaian tersebut tergendala susulan pertukaran kepimpinan politik dan perubahan jawatan Pengerusi KETENGAH, menyebabkan keputusan itu dibatalkan. “Situasi menjadi tegang apabila pada Disember 2024, notis pengurusan baharu KETENGAH ditampal di ladang sawit Cakuh 9, mencetuskan konflik terbuka dengan peneroka. Tambah beliau, kini, selepas perubahan kepimpinan sekali lagi, KETENGAH bersetuju untuk menghidupkan semula pelan penyelesaian tersebut dengan kerjasama penuh Kerajaan Negeri bagi menamatkan kemelut yang telah berlarutan selama lebih 40 tahun. “Semasa saya dalam BOD KETENGAH dulu, pelan penyelesaian telah dibuka untuk dilaksanakan kembali. Kerajaan Negeri sedia membuka ruang sepenuhnya supaya ia dapat diselesaikan segera demi manfaat rakyat. “Dulu kami telah bekerja separuh jalan, tinggal sedikit sahaja lagi untuk disempurnakan. Terima kasih KETENGAH kerana kembali ke landasan yang betul. “Isu ini bukan salah pengurusan tetapi berpunca daripada mantan Pengerusi yang terlalu ghairah berpolitik tanpa mengira kepentingan rakyat. Alhamdulillah, beliau telah tiada lagi dalam posisi tersebut dan rakyat perlu pastikan orang sebegini tidak kembali,” tegas Dr. Azman.
08 Oct 25
17160
Wanita, Ibu Tunggal DUN Ladang Didedah Potensi Keusahawanan Agro
Wanita, Ibu Tunggal DUN Ladang Didedah Potensi Keusahawanan Agro
SETIU, 9 Oktober – Usaha memperkasakan wanita dan ibu tunggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang diteruskan apabila seramai 36 peserta dibawa melawat ke dua lokasi pertanian dan pemprosesan makanan di Setiu bagi membuka peluang keusahawanan baharu. Program anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Terengganu itu bertujuan memberi pendedahan sebenar kepada peserta terhadap potensi bidang agro makanan dan perusahaan kecil sederhana (PKS). Zuraida berkata, lawatan tersebut diharap menjadi pencetus semangat kepada golongan wanita untuk meningkatkan taraf hidup melalui bidang keusahawanan. “Semoga pengalaman ini menjadi pencetus semangat kepada peserta untuk berusaha memajukan diri dan keluarga,” katanya. Dalam program berkenaan, peserta melawat Pusat Pemprosesan, Pembungkusan dan Pemasaran (3P) Langkap, yang menempatkan operasi usahawan tempatan, Puan Norainii, yang berjaya mengkomersialkan produk makanan tradisional. Peserta turut mengikuti demonstrasi penyediaan kuih akok dan bahulu. Rombongan turut dibawa ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rhu Tapai, yang mengusahakan ladang betik seluas 10 ekar dengan lebih 5,000 pokok varieti Amira milik seorang anak muda tempatan.   
08 Oct 25
17
18 Keluarga Dapat Rumah Baharu Selepas 15 Tahun Tersisih
18 Keluarga Dapat Rumah Baharu Selepas 15 Tahun Tersisih
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober – Isu penempatan 18 keluarga di Kampung Habib Mohsen, Kuala Kemaman yang berlarutan lebih 15 tahun akhirnya menemui penyelesaian apabila mereka bakal menerima rumah baharu hasil inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Hanafiah Mat, berkata projek pembinaan rumah bagi keluarga terbabit kini telah memasuki fasa kedua dengan kemajuan kerja sebanyak 50 peratus. “Alhamdulillah, inilah 18 buah rumah yang akan diberikan kepada penduduk yang terjejas. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan MAIDAM atas usaha menyelesaikan masalah rakyat ini selepas lebih tiga tahun tertangguh. “Doakan semoga semua proses berjalan dengan lancar,” katanya ketika dihubungi hari ini. Beliau menjelaskan, nama-nama penduduk yang masih belum menerima penempatan telah dibawa ke Pejabat Daerah dan MAIDAM untuk tindakan lanjut. Langkah ini membuka ruang penyelesaian selepas sekian lama mereka hidup dalam ketidakpastian. Hanafiah turut yakin projek ini bakal menamatkan episod panjang penantian sejak 2009, sekali gus memberikan kehidupan lebih stabil kepada keluarga terlibat. Projek pembinaan rumah tersebut melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM2.1 juta. Menurut rekod sejarah, Kampung Habib Mohsen mula didiami lebih 50 tahun lalu, apabila penduduk asal berpindah dari pesisir Kuala Kemaman akibat hakisan ombak. Selepas Pilihan Raya Umum ke-10 pada tahun 1999, Kerajaan Negeri Terengganu yang ditadbir oleh PAS telah memindahkan sebahagian besar penduduk ke Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Fikri dan RTB Paya Berenjut, sebahagian lagi tidak berpindah. Kehidupan penduduk berjalan seperti biasa sehinggalah pada 11 Jun 2009, ketika pemerintahan kerajaan terdahulu, mereka menerima notis amaran pengosongan tanah selepas waris pemilik asal menuntut semula kawasan tersebut bagi tujuan pembangunan. Ratusan penduduk telah dipindahkan ke penempatan semula RTB, namun 18 keluarga masih kekal di kawasan asal. Mereka kemudian diarahkan oleh pihak Mahkamah untuk mengosongkan tapak tanah tersebut kepada pemilik asal. Bagi menyelesaikan isu ini, hasil beberapa siri mesyuarat antara Kerajaan Negeri dan MAIDAM, dipersetujui untuk membiayai pembinaan rumah baharu di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). 
07 Oct 25
2312
Rakyat Terengganu Kembali Terima Manfaat Kad Sejahtera
Rakyat Terengganu Kembali Terima Manfaat Kad Sejahtera
MARANG, 7 Oktober – Program Kad Sejahtera yang pernah dihentikan tahun lalu akibat kekangan kewangan negeri kini kembali diteruskan bagi memberi kemudahan rawatan kesihatan kepada rakyat berpendapatan rendah. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Dato’ Ariffin Deraman meluahkan rasa syukur dan gembira apabila bantuan Kad Sejahtera kini disambung semula oleh Kerajaan Negeri Terengganu. “Pemberian Kad Sejahtera terpaksa dihentikan tahun lalu susulan sekatan terhadap royalti negeri yang menyebabkan kekangan sumber kewangan negeri. “Namun, pada tahun ini kerajaan negeri tetap berusaha untuk membantu rakyat,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri. Ariffin berkata demikian ketika berucap di Majlis Taklimat Kad Sejahtera Fasa Ke-5 Tahun 2025/2026 yang diadakan di Dewan Sivik Bukit Payung, semalam. Sementara itu, Pegawai Penyelidik Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS), Shamsul Bahri Salleh, menjelaskan bahawa manfaat Kad Sejahtera sehingga RM500 setahun yang sebelum ini diterima oleh rakyat berpendapatan rendah terpaksa dikurangkan. “Penerima yang layak boleh mendapatkan rawatan di klinik panel terpilih di seluruh negeri Terengganu dengan nilaian RM200 untuk tempoh enam bulan, bermula 1 Oktober 2025 hingga 31 Mac 2026,” katanya.
07 Oct 25
5296