BESUT, 14 Oktober – Masalah bekalan air yang membelenggu pesawah di Baruh Gerong salah satu Jelapang Padi utama di Besut kini menjadi perhatian serius pihak berkuasa negeri.
Isu ini mendapat perhatian selepas seorang pesawah veteran, Abd Latif Majid, 75 menyuarakan kekecewaannya.
Dia mengadu nasib padi mereka tidak akan berubah selagi sumber air utama daripada Empangan Paya Peda tidak disalurkan ke kawasan sawah mereka.
"Masalah air dalam Baruh Gerong tidak akan selesai selagi air dari Empangan Paya Peda tidak sampai ke sini...," adunya, yang menggambarkan situasi kritikal yang dihadapi oleh komuniti pesawah.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim menegaskan bahawa aduan bekalan air ini perlu diambil serius.
"Masalah aduan bekalan air dari pesawah kita kena ambil tindakan serius. Saya akan panggil segera pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA Ketara) untuk melihat permasalahan ini dari punca dan sepanjang jajaran tali air," tegas beliau.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, penyelesaian perlu dicari di peringkat akar umbi.
“Ini kerana masalah perlu dikenalpasti dan diselesaikan dari puncanya.

''Baruh Gerong merupakan kawasan penting dalam pengeluaran padi negeri. Kegagalan bekalan air yang mencukupi terutamanya dari Empangan Paya Peda yang dibina untuk menampung keperluan pengairan boleh menjejaskan hasil tuaian dan mengancam jaminan makanan tempatan," katanya.
Penyiasatan oleh IADA Ketara dijangka akan menumpukan kepada punca kelewatan atau kekurangan air di Baruh Gerong sama ada disebabkan oleh masalah teknikal, penyenggaraan taliair atau isu lain sepanjang rangkaian pengairan dari Empangan Paya Peda.
Rakyat dan pesawah Baruh Gerong kini menanti penyelesaian tuntas daripada pihak berwajib.