lightning-solid
Berita :
Eratkan Ukhwah Melalui Program Bowling Mahabbah
Eratkan Ukhwah Melalui Program Bowling Mahabbah
Abdul Fattah Kamarudin
12 Oct 25
27

KUALA TERENGGANU, 12 Oktober – Program Bowling Mahabbah anjuran belia Bukit Jejulong yang berlangsung di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Ibai semalam bukan sekadar aktiviti riadah, malah menjadi platform mengeratkan hubungan antara golongan belia dan penduduk kampung.

Pengarah program, Muhammad Fadzly Jaafar berkata, objektif utama penganjuran adalah untuk memupuk semangat ukhwah dalam kalangan belia daripada Kampung Bukit Jejulong dan kampung sekitar.

“Matlamat kami adalah untuk merapatkan hubungan anak muda dari ketiga-tiga kampung yang terlibat iaitu Kampung Bukit Jejulong, Bukit Kulim dan Bukit Gading. Alhamdulillah, seramai 62 peserta hadir, termasuk mereka yang turut membawa anak dan isteri, menjadikan suasana lebih meriah dengan semangat kekeluargaan.

"Program ini adalah acara tahunan, kalau tak main di TER kami akan bermain di Arena Bowling Paya Bunga” katanya selepas acara pembahagian hadiah yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.

Sementara itu, AJK program, Tuan Mohd Rifai Tuan Mohd amat menghargai kehadiran ADUN Pengkalan Berangan itu untuk bertemu mata dengan anak muda.

“Walaupun terkejar-kejar ke tempat program selepas pulang dari merasmikan pertandingan silat di KTCC Mall, Ustaz tetap berusaha hadir untuk bertemu peserta.

Terima kasih kepada pihak PKM kerana hadir memberi sokongan kepada program anak muda” ujarnya lagi.

 


Tag :

Artikel Berkaitan