lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

RMK13: Wajar Fokus Sektor Berimpak Tinggi Pantai Timur- Amzad
RMK13: Wajar Fokus Sektor Berimpak Tinggi Pantai Timur- Amzad
KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menzahirkan penghargaan atas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri hari ini, namun dalam masa sama menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa keutamaan pembangunan yang tidak diberi perhatian sewajarnya, khususnya di Pantai Timur. Menurut beliau, antara kekecewaan utama ialah ketiadaan sebarang pengumuman berhubung projek Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) yang menghubungkan Gemuroh, Terengganu ke Kelantan, meskipun ia pernah diumumkan sebelum ini sebagai projek infrastruktur penting. “Setiap kali musim perayaan, pengguna dari Kelantan ke Kuala Lumpur terpaksa menempuh kesesakan teruk sebelum sampai ke Gemuroh. LPT3 sepatutnya menjadi keutamaan untuk mengurangkan beban perjalanan rakyat dan memacu sambungan antara negeri secara lebih efisien,” tegas beliau dalam satu kenyataan, hari ini. Selain itu, beliau turut menyentuh tentang keperluan kerajaan memberi fokus yang lebih menyeluruh terhadap sektor berimpak tinggi di Pantai Timur seperti tenaga boleh diperbaharui, pelabuhan perindustrian dan teknologi hijau, bukan sekadar menumpukan kepada sektor pertanian semata-mata. “Memang benar pertanian penting untuk sekuriti makanan negara, tetapi ia tidak cukup untuk mengangkat negeri seperti Terengganu dan Kelantan keluar daripada kelompok yang rendah sumbangan kepada KDNK negara,” katanya. Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketiadaan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan hab tenaga boleh diperbaharui di Terengganu yang pernah diumumkan Perdana Menteri sebelum ini. Begitu juga dengan peranan strategik Pelabuhan Kemaman yang dijangka menjadi kawasan pertumbuhan baharu apabila disambungkan dengan spurline ECRL, namun tidak disebut dalam pembentangan. “Malah, inisiatif berkaitan Carbon Capture and Utility Storage (CCUS) yang sebelum ini dibawa oleh Kementerian Ekonomi dan dikatakan mampu merancakkan pelaburan berimpak tinggi juga tidak dijelaskan. Sama juga halnya dengan potensi eksploitasi mineral nadir bumi – semuanya senyap tanpa penjelasan dalam RMK13,” jelasnya. Beliau menegaskan bahawa peluang pekerjaan bernilai tinggi perlu diperluas di Pantai Timur, memandangkan modal insan dari rantau tersebut sering membuktikan kecemerlangan dalam bidang akademik. “Tanpa sektor high-tech dan berpendapatan tinggi yang mampu menampung graduan tempatan, rakyat kita tiada pilihan selain berhijrah ke luar negeri. Sektor pertanian yang tidak diautomasikan hanya mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada pekerja asing,” katanya. Beliau berharap segala keperluan mendesak yang diketengahkan dapat dipertimbangkan secara serius dalam pelaksanaan RMK13 demi memastikan pembangunan yang lebih seimbang dan inklusif.
02 Aug 25
163
FOZ One Dipelawa Buka Kilang Pembuatan Moden di Terengganu
FOZ One Dipelawa Buka Kilang Pembuatan Moden di Terengganu
SENAI, 1 Ogos – Kerajaan Terengganu telah mengemukakan jemputan rasmi kepada FOZ One Sdn Bhd, sebuah syarikat pembuatan moden, untuk mempertimbangkan pembukaan kilang di negeri ini sebagai langkah memperluas ekosistem industri dan memperkasakan peluang pekerjaan tempatan. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, tawaran tersebut disampaikan semasa sesi lawatan dan rundingan awal bersama pihak pengurusan syarikat berkenaan telah menunjukkan reaksi positif terhadap cadangan tersebut. “Saya telah berbincang dengan pihak pengurusan tadi. Mereka menyatakan kesediaan namun masih perlu meneliti beberapa aspek berkaitan, terutamanya yang melibatkan rantaian bekalan. “Buat masa ini, belum ada keputusan muktamad dalam masa terdekat, tetapi mereka tidak menolak kemungkinan untuk membuka operasi kilang di Terengganu,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam. Mengulas lanjut katanya, Terengganu sentiasa berusaha dalam menarik pelaburan dalam memastikan peluang pekerjaan akan dapat disediakan untuk rakyat negeri ini dalam usaha memajukan negeri ini. Terdahulu, syarikat FOZ One yang dahulunya dikenali sebagai MyBrush Group merupakan syarikat pengeluar berus teknikal kepada entiti pembutan berteknologi tinggi yang memiliki potensi besar berkembang ke pasaran global telah diasaskan pada tahun 2004 oleh Datuk Lee Fook Yuen. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif Syarikat berkata syarikat itu bermula sebagai pengeluar khusus berus turfting berketepatan tinggi, memenuhi keperluan hampagas kediaman antarabangsa terkemuka. Terdahulu, lawatan tersebut turut disertai oleh wakil Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC), bertujuan memperkukuh usaha negeri dalam menarik pelaburan strategik yang mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. FOZ One Sdn Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai MyBrush Group, merupakan syarikat pengeluar berus teknikal untuk pelbagai entiti pembuatan berteknologi tinggi dan memiliki potensi besar dalam pasaran global. Ditubuhkan pada tahun 2004 oleh Datuk Lee Fook Yuen yang kini merupakan Pengerusi Eksekutif syarikat, FOZ One bermula sebagai pengeluar berus tufting berketepatan tinggi untuk jenama hampagas kediaman antarabangsa terkemuka. Ariffin turut menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa komited dalam usaha memperkukuh ekonomi dan pembangunan sumber manusia menerusi pelaburan berkualiti tinggi dan berimpak besar untuk masa depan rakyat Terengganu.  
01 Aug 25
937
Terengganu, FOZ One Perkukuh Kerjasama
Terengganu, FOZ One Perkukuh Kerjasama
SENAI, 1 Ogos - Kerajaan Terengganu memperkukuhkan kerjasama dengan syarikat pengeluar peralatan elektrik rumah, FOZ One dengan mengadakan lawatan industri ke syarikat terbabit semalam. FOZ One, yang dahulunya dikenali sebagai MyBrush telah menyediakan pekerjaan kepada 400 anak Terengganu melalui program padanan kerja yang diadakan pada tahun 2022. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata lawatan itu adalah bagi melihat sendiri keadaan kilang tersebut sekali gus menyantuni kesemua pekerja.  "Alhamdulillah, melalui program 'outreach' yang kita lakukan dahulu mereka telah memberi peluang pekerjaan yang sangat baik kepada anak Terengganu. "Jadi apa yang penting pada hari ini (semalam) adalah untuk kita melihat sendiri dari segi perjalanan operasi kilang ini serta kita hendak jumpa sendiri dengan anak Terengganu. "Dalam lawatan ini kita telah berpeluang melihat bagaimana kilang ini beroperasi dalam menghasilkan peralatan pembersihan berkualiti tinggi," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas mengadakan lawatan ke kilang tersebut bersama Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC). Turut hadir, Pegawai Eksekutif THRDC, Aminuddin Omar, Pengasas FOZ One, Datuk Lee Fook Yuen. Lawatan itu turut melibatkan Institusi Pengajian Tinggi dari Terengganu antaranya Universiti Malaysia Terengganu, Latihan Perindustrian (ILP) Terengganu, TESDEC, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, TATI UC, ADTEC Kemaman, Universiti Sultan Zaninal Abidin (UniSZA). Dalam pada itu, Ariffin berkata pihaknya juga turut berhasrat menyediakan lagi 300 orang anak Terengganu yang akan bekerja di syarikat terbabit melalui peluang yang disediakan. Sementara itu, anak Terengganu, Ridhwan Zulkifli, 28, dari Dungun yang bekerja di syarikat itu sangat bersyukur kerana ditempatkan untuk bekerja di syarikat itu setelah menghadiri program padanan kerja yang dilakukan oleh Terengganu pada tiga tahun yang lalu. "Alhamdulillah, saya diberikan gaji yang sangat baik serta kemudahan yang sangat lengkap dengan apa yang saya perolehi sekarang ini dapat membela nasib diri serta keluarga," ujarnya. Nor Fashilin Azhara, 31 dari Kuala Nerus pula berkat, a usaha Terengganu untuk menghantar lagi anak Terengganu berkerja di syarikat itu sangat-sangat dialu-alukan. "Mereka sangat menjaga kebajikan pekerja serta menyediakan ruang pekerjaan yang cukup selesa. "Hubungan baik antara kerajaan negeri dan syarikat FOZ One ini pula menjadi nilai tambah yang sangat bermakna buat kami anak Terengganu yang bekerja di sini," ujarnya.  
01 Aug 25
531
Terengganu Bangun Kolam Air Panas Kedua
Terengganu Bangun Kolam Air Panas Kedua
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Kerajaan negeri bakal membangunkan kolam air panas kedua dikenali sebagai Cek Mek Hot Spring selepas penemuannya di Ladang Cenderung Putera North, Ban Hol, Cerul, Kemaman awal tahun lalu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, selepas La Hot Spring di Besut, lokasi itu akan dibangunkan sebagai tarikan baharu pelancongan negeri. "Insya-Allah, kawasan ini boleh dibangunkan sebagai destinasi eko-pelancongan utama di Terengganu. Keindahan alam semula jadinya turut memberi pengalaman yang menenangkan kepada para pengunjung. "Sumber air panas semula jadi di sini sangat sesuai dijadikan lokasi santai dan rawatan kesihatan alternatif. Selain menarik minat pelancong, kawasan ini juga berpotensi membantu menjana ekonomi penduduk setempat," ujarnya. Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Renjer Sedunia 2025 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini. Menurut Razali, lokasi tersebut terletak kira-kira 20 kilometer dari kawasan hutan iaitu di ladang kelapa sawit dan hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda. "Kami telah meninjau sendiri keunikan dan potensi kawasan tersebut yang difahamkan menempatkan lebih 10 mata air aktif dan suhu air panasnya hampir sama dengan La Hot Spring," ujarnya. Jelas beliau lagi, kerajaan negeri kini sedang meneliti pihak-pihak berkepentingan termasuk pemegang taruh yang terlibat dalam kawasan tersebut sebelum sebarang pembangunan dimulakan. "Malah taklimat awal telah diberikan kepada Pejabat Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai langkah awal pembangunan," ujarnya.
31 Jul 25
2735
Tertinggi di Malaysia, Terengganu Catat 73,051 Pegangan Pertanian
Tertinggi di Malaysia, Terengganu Catat 73,051 Pegangan Pertanian
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan Terengganu memiliki 73,051 pegangan pertanian dengan sektor ternakan sebanyak 12,018 yang juga merupakan rekod tertinggi di Malaysia bagi tahun rujukan 2023. Jumlah tersebut merangkumi 99.1 peratus dimiliki individu dan hanya 0.9 peratus oleh pertubuhan dengan 58,435 melibatkan tanaman, diikuti ternakan (12,018), perikanan tangkapan (3,013), akuakultur (988), serta perhutanan dan pembalakan (195). Walau bagaimanapun, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim, angka tersebut tidak selari dengan peningkatan ekonomi pemain industri pertanian skala sara hidup, khususnya golongan B40. Dr. Azman ibrahim (kanan) dan Dr. Mohd Uzir (kiri) "Alhamdulillah, di Terengganu kita tengok dari segi individu yang terlibat dalam pertanian, dalam bidang penternakan, angka kita adalah besar. Tapi hasil kita tidak tinggi. Kita tidak berpuas hati dengan bilangan rakyat yang terlibat dalam sektor-sektor yang kita sebut tadi. "Kalau kita tengok dari segi data tanah sekalipun, di Terengganu ini kelompok yang berada dalam kelompok B40 boleh dikatakan semua ada tanah sekitar seekar sekeluarga. Tapi mereka masih berada dalam kelompok B40, kenapa?. "Kerana dulu orang-orang tua berfikir jika kita tanam serba sedikit cukup sekadar supaya anak cucu boleh makan. Tak payah beli. Hasil yang dapat, nak makan tak habis tetapi bila nak jual ianya terlalu sedikit," jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, semalam. Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin serta Pengarah DOSM negeri Terengganu, Marlini Sahul Hamid. Namun, beliau berkata, melalui data bancian terkini daripada DOSM yang lebih tepat, kerajaan negeri kini mampu untuk mentafsirkan data itu kepada pelaksanaan dasar yang lebih tepat serta bermanfaat kepada rakyat. "Data ini sebenarnya satu input yang sangat penting untuk kita nak merangka bagaimana kita nak meningkatkan ekonomi rakyat. "Dan mungkin selepas ini kita boleh libatkan syarikat-syarikat dalam bentuk 'anchor' Kemudian, rakyat kita bekerja di bawah dia dalam skala yang kita boleh kata skala komersial. "Sekurang-kurangnya pendapatan (golongan B40) itu akan meningkat di atas paras kemiskinan. Itu dia antara sumbangan awal yang saya boleh sebut bagaimana kita nak memanfaatkan data dalam bentuk tindakan. Dalam pada itu, Dr. Azman turut menyuarakan harapan beliau untuk membuang stereotaip umum yang beranggapan industri pertanian tidak menjamin masa depan, terutamanya dalam kalangan belia.    
31 Jul 25
3986
Terengganu-Gemilang Meterai Perjanjian Perlombongan, Sedia 200 Peluang Kerja
Terengganu-Gemilang Meterai Perjanjian Perlombongan, Sedia 200 Peluang Kerja
KUALA LUMPUR, 31 Julai – Semua hasil bumi negeri ini mesti dinikmati rakyat secara menyeluruh dengan pulangan ekonomi dikembalikan kepada komuniti setempat, tegas Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Kerajaan Terengganu menerusi Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) memeterai satu Perjanjian Pajakan Perlombongan bersama Gemilang Mining Sdn. Bhd. bagi membangunkan sektor perlombongan negeri secara tersusun dan berimpak tinggi kepada ekonomi rakyat. Menurut beliau, kerjasama ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk mengaktifkan semula kawasan berpotensi tinggi dalam sektor perlombongan, seterusnya menjana hasil dan manfaat langsung kepada rakyat. "Perjanjian ini membuka ruang kepada penerokaan dan pembangunan potensi sektor perlombongan di negeri ini secara tersusun. "Ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk menggerakkan semula kawasan berpotensi tinggi bagi menjana hasil dan manfaat kepada rakyat," katanya. Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan Perlombongan antara LTAWNT dan Gemilang Mining Sdn. Bhd., yang turut dihadiri kepimpinan tertinggi negeri, di sini semalam. Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa pentadbiran negeri berpegang kepada prinsip memastikan hasil bumi Terengganu memberi manfaat sebenar kepada rakyat. "Kerajaan Negeri akan terus memastikan hasil negeri dipacu ke arah pembangunan yang berkesan. "Kita tidak boleh biarkan peluang berlalu begitu sahaja. Apa yang ada di bumi Terengganu, mesti kembali kepada rakyat Terengganu," ujarnya. Tambahnya, projek ini juga dijangka membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan secara meluas, khususnya dalam kategori tenaga mahir seperti jurutera, ahli geologi dan operator loji. "Projek ini dijangka membuka peluang pekerjaan, dengan tumpuan kepada penglibatan rakyat Terengganu. "Syarikat turut menyasarkan penglibatan sekurang-kurangnya 80 peratus tenaga kerja tempatan," katanya lagi. Dalam masa sama, kerjasama strategik itu dijangka memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat sekitar kawasan operasi melalui pelibatan sektor makanan, peruncitan, penyediaan penginapan dan perkhidmatan berkaitan. "Kerjasama ini juga dijangka membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat sekitar, khususnya di kawasan operasi. "Sektor makanan dan minuman, peruncitan, penyediaan penginapan, perkhidmatan kenderaan serta pembekalan bahan binaan tempatan dijangka mendapat manfaat langsung daripada kehadiran projek ini," jelasnya. Beliau turut memaklumkan, syarikat pelaksana turut merancang membina kemudahan kediaman dan kantin bagi kakitangan projek sebagai sumbangan kepada pembangunan infrastruktur setempat. "Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan projek, syarikat turut merancang membina kemudahan kediaman dan kantin kakitangan. "Ia secara tidak langsung akan menyumbang kepada pembangunan infrastruktur setempat serta persekitaran kerja yang lebih teratur dan selamat," katanya. Langkah ini, jelasnya, selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memperkukuh ekonomi rakyat melalui pemerkasaan aset semula jadi negeri secara bertanggungjawab dan beretika.  
31 Jul 25
2667
Kenyir Rangers Kawal, Lindung Sumber Alam
Kenyir Rangers Kawal, Lindung Sumber Alam
KUALA TERENGGANU, 31 Julai – Pasukan Pemantauan Tasik Kenyir yang ditubuhkan pada tahun 1997 dijenamakan semula kepada nama baharu iaitu Kenyir Rangers. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, usaha tersebut mencerminkan keseriusan kerajaan negeri dalam melindungi dan memulihara khazanah biodiversiti di Tasik kenyir.  “Pemerkasaan pasukan Kenyir Rangers adalah berdasarkan justifikasi perubahan peranan agensi-agensi yang berada di bawah pasukan Kenyir Rangers sebelum ini. “Serta kewujudan agensi baharu di Tasik Kenyir seperti Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTNT) dan Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) yang juga memainkan peranan penting dalam usaha pengawalan dan perlindungan sumber alam,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Renjer Sedunia 2025 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini. Mengulas lanjut katanya, sehingga kini pasukan Kenyir Rangers dianggota oleh 16 agensi melibatkan MPTNT, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) serta LAUT. “Selain Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Pejabat Tanah Hulu Terengganu, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Terengganu, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.    “Termasuk juga, Jabatan PERHILITAN Negeri Terengganu, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Majlis Daerah Hulu Terengganu, Jabatan lmigresen Negeri Terengganu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Terengganu, Jabatan Kastam DiRaja Negeri Terengganu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan Tenaga Nasional Berhad (TNB),” ujarnya. Menurut Razali, pasukan Kenyir Rangers ditubuhkan bertujuan untuk mengadakan satu sistem kawalan bagi memastikan semua aktiviti pembangunan di Tasik Kenyir mengikut undang-undang dan syarat-syarat yang ditetapkan.    “Ia juga bagi mewujudkan satu sistem kawalan yang berkesan dan efektif supaya semua tindakan penguatkuasaan undang-undang di Tasik Kenyir dapat diselaraskan.    “Disamping memelihara khazanah negeri dan segala aset yang amat berharga di seluruh Tasik Kenyir supaya tidak dicerobohi,” ujarnya. Dalam pada itu, Razali berkata, pasukan Kenyir Rangers turut dibantu oleh dua Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebagai rakan teknikal iaitu Panthera dan Nature Based Solutions. “NGO ini berperanan mendapatkan maklumat yang memberikan perspektif yang menyeluruh merangkumi  pelbagai aspek berkaitan isu di Tasik Kenyir. “Sama ada daripada pangkalan data peronda SMART, data profil SMART mengenai pencerobohan, data perangkap kamera biologi, pemerhatian yang dibuat oleh peronda, laporan pencerobohan, temu bual yang dibuat antara agensi, temu bual yang dibuat kepada suspek dan temu bual dikalangan masyarakat setempat,” ujarnya.     
31 Jul 25
380
Terengganu FC Terima Bas Baharu
Terengganu FC Terima Bas Baharu
Terengganu FC (TFC) menerima sebuah bas rasmi serba baharu berwarna hitam daripada TRA Holidays Sdn Bhd, sekaligus mengukuhkan kerjasama jangka panjang lima musim antara syarikat pengangkutan dari Pulau Pinang itu dan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB). 
31 Jul 25
992
Aktiviti Pertanian Terpinggir Perlu Diangkat Dalam Statistik
Aktiviti Pertanian Terpinggir Perlu Diangkat Dalam Statistik
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Sebahagian besar realiti sektor pertanian di Terengganu masih belum terakam sepenuhnya dalam statistik rasmi, sekali gus membuatkan data semasa yang dikumpul tidak dapat memberi gambaran keseluruhan di lapangan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, meskipun data yang disediakan sebelum ini diperoleh daripada pelbagai jabatan dan agensi berkaitan, masih wujud ruang besar untuk diharmonikan agar gambaran sebenar di lapangan dapat ditampilkan secara menyeluruh. Katanya, laporan Interim Banci Pertanian Terengganu 2024 menunjukkan 73,051 pegangan pertanian yang direkodkan di Terengganu bagi tahun rujukan 2023 adalah 99.1 peratus (72,367) merupakan pegangan pertanian individu manakala hanya 0.9 peratus (684) pegangan pertanian milik pertubuhan. "Kita tidak kata data itu tidak tepat, tetapi masih ada banyak ruang untuk diharmonikan. Contohnya, kalau kita tanya berapa banyak lembu ada di Terengganu, pejabat veterinar bagi angka tertentu.  "Tetapi hakikatnya di negeri Terengganu ini hampir setiap rumah ada lembu yang tidak didaftarkan. Itu masih belum diambil kira lembu yang dilepaskan bebas ditepi jalan," katanya. Tambah beliau, aktiviti seperti mencandat sotong yang bermusim, pendaratan ikan oleh nelayan kecil, dan ternakan kecil-kecilan di rumah tidak selalu dimasukkan ke dalam rekod rasmi kerana ia tidak melalui saluran yang memerlukan pendaftaran. "Kalau kita pergi ke Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk dapatkan data dan jumlah pendaratan, biasanya yang lapor dari segi jumlah daratan hasil tangkapan ini ialah mereka yang nak dapat minyak bersubsidi, elaun sara hidup nelayan dan bantuan-bantuan yang lain. "Ramai lagi nelayan yang mendaratkan hasil tangkapan di tepi-tepi pantai yang tidak dilaporkan. Setiap tahun bila musim candat sotong, berapa orang mari mencandat sotong di Terengganu, balik dengan ratusan kilo (hasil tangkapan) tanpa direkod. "Jadi data yang telah kita dapat itu, ada ruang untuk diharmonikan lagi. Maknanya, Angka sebenar jauh lebih besar daripada angka yang berada di atas kertas. Dr. Azman (tengah), Dr. Mohd Uzir (kiri) dan Marlini (kanan) Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini semalam. Turut hadir, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin serta Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) negeri Terengganu, Marlini Sahul Hamid. Justeru, Dr. Azman menyambut baik usaha DOSM melalui Banci Pertanian 2024 yang melibatkan bancian rumah ke rumah untuk mendapatkan maklumat menyeluruh merentas sub-sektor tanaman, penternakan, perikanan dan perhutanan. "Di sinilah penghargaan kita kepada pihak DOSM yang bukan setakat bergelumang di lapangan malah bergelumang dengan angka-angka yang mungkin bagi sesetengah orang memeningkan mata. "Maknanya bukan semua orang ada kemampuan untuk menganalisa angka dan data yang meliputi semua lapisan masyarakat. "Sebab itulah saya sangat menghargai dan berterima kasih kerjasama pihak DOSM bersama dengan jabatan-jabatan yang terlibat, memang diakui bukan kerja yang mudah," ujarnya.  
31 Jul 25
174
TaniStats Solusi Lambakan Hasil Pertanian
TaniStats Solusi Lambakan Hasil Pertanian
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Kerajaan negeri mencadangkan penggunaan TaniStats atau sistem data pertanian bagi mengatasi masalah lambakan hasil pertanian tempatan yang bukan berpunca daripada kekurangan permintaan, tetapi kegagalan menyampaikan produk ke pasaran yang memerlukan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim menaruh harapan platform tersebut bakal merapatkan jurang antara permintaan dan pasaran berpotensi. Katanya, TaniStats dilengkapi data dari peringkat ladang sehingga peruncitan sekali gus menyediakan data pasaran yang lebih telus dan tepat di seluruh rantaian bekalan. "Lambakan ini bukan kerana produk tidak ada pembeli, tetapi kita tidak berjaya menyampaikan kepada tempat yang betul. "Contohnya duku Terengganu, hanya ada di Terengganu. Semasa di tempat kita harga dia 50 sen, di Lembah Klang, di Pulau Pinang dan di utara masih lagi hampir RM2.00 sekilo. "Maknanya ada tempat orang nak beli, tapi kita tidak berjaya nak menyampaikan ke tempat orang yang nak membeli. "Dan di sinilah kita harapkan dengan adanya TaniStats, kita boleh tengok keperluan di seluruh negara," beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin serta Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) negeri Terengganu, Marlini Sahul Hamid. Tambahnya, platform bersepadu itu turut dilengkapi ciri MyAgroPrice, yang memaparkan harga purata produk pertanian di peringkat ladang, pemborong dan runcit negeri‑negeri dalam Malaysia bagi tempoh 2020 hingga 2024. Dalam pada itu, Dr. Azman turut menegur pelaksanaan pengagihan bantuan pertanian yang bersifat 'lepas tangan' tanpa pemantauan menyeluruh bagi rantaian pengeluaran. "Satu ketika dahulu, bila buat program pertanian, kita beri sahaja anak pokok. Satu polibeg, dua polibeg seorang bawa balik. Bila kita minta laporan rupanya dah terlalu banyak anak pokok yang diagihkan, tetapi tidak menjadi pokok. "Mungkin kering di tepi tangga. Bermakna kita hanya lepas tangan (tidak melakukan pemantauan selepas bantuan pertanian diserahkan kepada penerima program). Itu bukan lagi cara bekerja yang betul. "Cara bekerja yang betul kita kena pastikan dalam rantaian pengeluaran itu semuanya lengkap dan bukan hanya sampai ke peringkat pemasaran sahaja tapi sampai ke peringkat kita menitik beratkan faktor persediaan, khususnya MyGAPS. MyGAP ataupun 'Amalan Pertanian Baik' adalah skim pensijilan yang komprehensif untuk sektor tanaman, akuakultur dan ternakan yang dilaksanakan berdasarkan piawaian Malaysian Standard (MS). Azman positif melalui persediaan itu, produk tempatan yang tidak kurang kualitinya berbanding produk pasaran luar mempunyai potensi tinggi untuk menembusi ruang-ruang pasaraya ternama.
31 Jul 25
96