Artikel "Utama" Terkini
Jalur Gemilang Lusuh Perlu Ditukar
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos – Kerajaan negeri menegaskan bahawa pemasangan Jalur Gemilang sempena sambutan bulan kemerdekaan perlu dibuat dengan betul, manakala bendera yang koyak atau lusuh mesti segera diganti bagi memelihara maruah simbol negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, tindakan itu mencerminkan sikap bertanggungjawab dan penghormatan terhadap lambang kedaulatan negara.
"Kalau ada bendera yang koyak, itu minta ditukar.
"Adapun bendera yang koyak dan lusuh dan tidak menurunkan bendera tersebut, itu kita serahkan kepada pihak penguatkuasaan,” tegasnya.
Menurut beliau, kerajaan negeri ketika ini masih mengambil pendekatan berhemah dengan memberi nasihat dan pendidikan terlebih dahulu kepada para peniaga sebelum tindakan diambil.
"Mulanya kita beri nasihat dahulu, jika tidak kita akan buat penguatkuasaan.
"Kita beri pelajaran, dan dalam masa yang sama, kita mahu semua faham erti kemerdekaan," tambahnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Walkabout bersama peniaga Pasar Payang dan Majlis Agihan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-48, di sini semalam.
Razali turut menjelaskan bahawa agihan Jalur Gemilang secara percuma merupakan salah satu cara menyemarakkan semangat patriotisme dan menanam rasa cinta negara dalam kalangan rakyat.
"Kerajaan negeri mengambil kesempatan untuk membahagi-bahagikan bendera Malaysia, supaya kita menyedarkan orang ramai tentang bulan kemerdekaan.
"Pemasangan Jalur Gemilang ini bukan hanya setakat di bulan kemerdekaan sahaja, ia akan berterusan di bulan lain," jelasnya.
04 Aug 25
64
TKPM Peradong Optimis Capai Pengeluaran 80,000 Kilogram Melon
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Peradong, Manir di sini optimis mampu mencapai sasaran pengeluaran hasil Melon Manis Terengganu (MMT) sebanyak 80,000 kilogram menjelang hujung tahun ini.
Pegawai Pertanian Daerah Kuala Terengganu, Nurul Hazila Abdul Ghani berkata, perkara tersebut tidak mustahil memandangkan sehingga Julai lalu, jumlah pengeluaran hasil yang berjaya dicapai adalah sebanyak 40,000 kilogram.
“Setakat ini, terdapat lima peserta yang menyertai projek tanaman MMT di TKPM Peradong yang berada di bawah kelolaan di bawah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu dengan tanaman tiga kali setahun.
“Kita baru lepas dua musim, Insyaallah sekiranya MMT yang ditanam selepas ini mendapat penjagaan rapi, tidak diserang penyakit dan serangga perosak, buah yang besar dengan warna serta kulit yang cantik digredkan sebagai buah premium dapat dihasilkan dengan dijual pada harga runcit sekitar RM13 hingga RM15 sekilogram,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di TKPM Peradong, baru-baru ini.
Mengulas lanjut katanya, pelbagai insentif dan bimbingan disediakan oleh Jabatan Pertanian kepada peserta di TKPM Peradong.
“Di sini, kita hanya fokus kepada tanaman MMT dan antara yang kita bantu termasuklah memberi khidmat nasihat kepada peserta, mengadakan kursus-kursus berkaitan fertigasi, penjagaan MMT dan sebagainya.
“Untuk tahun lepas pihak jabatan juga telah menaik taraf Rumah Pelindung Hujan (RPH) di TKPM ini. Malah, jabatan juga menyediakan bantuan dari segi input dan peralatan ladang.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi Pengusaha Melon Manis Terengganu Berhad (KPMMTB) Tengku Norulhuda Tengku Muhammad yang lebih dikenali dengan gelaran Pok Ku berkata, dia merupakan antara peserta terawal projek MMT yang merupakan buah ikonik Terengganu.
“Pok Ku usahakan tanaman MMT di sini sejak 2016 lagi. Setiap peserta diberikan empat unit RPH di mana setiap unit RPH mampu menampung 1,500 pokok.
“Alhamdulillah, sekarang kami dapat menikmati hasil dari apa yang diusahakan oleh Jabatan Pertanian Negeri Terengganu memandangkan MMT sentiasa mendapat permintaan tinggi di pasaran,” ujarnya.
04 Aug 25
192
Isu Gelandangan: Kerajaan Negeri Ambil Tindakan
KUALA TERENGGANU, 5 Ogos – Kerajaan Terengganu mengambil pendekatan penuh berhemah dalam menangani isu gelandangan yang tular di pusat bandar Kuala Terengganu, dengan menekankan penyelesaian berbentuk kebajikan, bukan pengusiran.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris menegaskan bahawa kes yang berlaku adalah terpencil dan tidak menggambarkan wajah sebenar bandar raya pesisir yang berteraskan nilai budaya.
"Kes ini hanyalah kes terpencil, jika ianya wujud di sini, kita akan ambil dia melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Kita bukan bandar metropolitan, kita bandar budaya, kita bandaraya pesisir air, tak sesuai dengan pihak gelandangan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Program Walkabout bersama para peniaga Pasar Payang dan Majlis Agihan Jalur Gemilang bagi menyambut Hari Kemerdekaan ke-48 di sini semalam.
Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Jusman Ibrahim dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan.
Menurut beliau, kerajaan negeri prihatin terhadap nasib golongan ini, khususnya jika melibatkan warga emas yang tidak sepatutnya terabai oleh keluarga sendiri.
"Kita akan bincang dengan keluarga dia, sebab saya lihat gambar itu orang tua dan berusia, bukan orang muda.
"Kita tak tahu apa sebabnya dia jadi gelandangan, sama ada mungkin anak-anak dia tak ambil hal, tak ambil cakna atau sebagainya," tambahnya.
Tambah beliau, usaha akan dibuat untuk mendidik dan menyedarkan waris melalui sesi pemahaman, agar tanggungjawab terhadap ibu bapa tidak diabaikan.
"Kita akan panggil untuk sesi pemahaman kepada anak-anak dia.
"Gelandangan ini sangat tidak sesuai di sini, tapi walau bagaimanapun kita ambil berat," ujarnya.
04 Aug 25
187
Pasar Payang Jadi Pentas Budaya Terengganu
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos – Pasar Payang bukan lagi sekadar pusat jual beli, sebaliknya bakal menjadi pentas hidup yang mempamerkan kekayaan budaya dan identiti Terengganu kepada pelancong dari seluruh pelusuk dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, elemen seni dan warisan akan diterapkan secara menyeluruh di sekitar kawasan Pasar Payang bagi mengangkat budaya tempatan ke tahap yang lebih tinggi.
"Kita akan mewujudkan persembahan 100 peratus kebudayaan setempat, lagu-lagu Terengganu, budaya Terengganu, makanan tradisional Terengganu.
"Makanan Terengganu ini ada lebih 70 jenis, dan semuanya sedap jika nak dibandingkan dengan tempat lain," katanya ketika sidang media, dalam sesi walkabout di Pasar Payang sempena agihan Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-48, di sini semalam.
Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Jusman Ibrahim, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan.
Menurut beliau, usaha ini selari dengan portfolio beliau dalam pelancongan dan kebudayaan yang menuntut penerapan nilai tempatan sebagai daya tarikan utama pelawat.
"Itulah tujuan saya datang ke sini selaku Portfolio Pelancongan dan Kebudayaan, untuk menerapkan nilai-nilai budaya.
"Maksudnya ada stage persembahan, ada nyanyian lagu tradisi Terengganu," jelasnya.
Beliau percaya pendekatan ini bukan sahaja mampu menyemarakkan suasana di sekitar Pasar Payang, malah turut memberi peluang ekonomi kepada para penggiat seni dan pengusaha makanan tradisional.
"Saya yakin ia akan menambahkan lagi keceriaan dan memberi pendapatan yang lebih kepada pengusaha.
"Kita mahu pelancong bukan sekadar membeli, tetapi merasai sendiri pengalaman budaya Terengganu," tambahnya.
Pendekatan ini akan dilaksanakan seiring dengan pelan perluasan operasi pasar hingga ke waktu malam, menjadikan Pasar Payang bukan hanya hidup di siang hari, tetapi turut bernyawa di malam hari dengan denting gamelan dan aroma juadah warisan.
04 Aug 25
639
Terengganu, FOZ One Perkukuh Kerjasama
Kerajaan Terengganu memperkukuhkan kerjasama dengan syarikat pengeluar peralatan elektrik rumah, FOZ One dengan mengadakan lawatan industri ke syarikat terbabit.
03 Aug 25
49
Kedah Perkasa Dasar Wanita, Terengganu Jadi Rujukan
Kedah sedang merangka pelaksanaan Dasar Wanita Negeri Kedah yang dijadual dilancarkan pada penghujung tahun ini, dengan mengambil kira pelbagai input dan pengalaman terbaik hasil lawatan kerja ke Terengganu selama dua hari.
03 Aug 25
35
Pasar Payang Bakal Beroperasi Hingga 12 Malam
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos – Langkah menjadikan Pasar Payang sebagai lokasi pelancongan malam dijangka membuka lembaran baharu dalam usaha memperkasa ekonomi tempatan dan menyemarakkan nilai budaya negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kerajaan negeri bercadang memanjangkan waktu operasi Pasar Payang sehingga jam 12 malam sebagai usaha memenuhi permintaan pelancong dan rakyat.
"Kita minta dan mencadangkan supaya buat jualan sehingga jam 12 malam, selama ini setakat jam 6 petang sahaja.
"Disebabkan ada permintaan yang luar biasa, kita bakal buka dalam masa seminggu dua lagi setelah jabatan pelancongan menyediakan pencahayaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media, dalam sesi walkabout di Pasar Payang sempena agihan Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-48, yang turut dihadiri bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Jusman Ibrahim, di sini hari ini.
Menurut beliau, inisiatif ini bakal dimulakan secara berperingkat pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad dengan kerjasama padu antara MBKT dan para peniaga.
"Apabila kita tanya kepada para peniaga, mereka boleh bersedia.
"Pihak kerajaan memang menyokong penuh untuk beri pendapatan lebih kepada pekedai dan akan dibimbing sisi oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu," jelasnya lagi.
Razali berkata, pelaksanaan waktu malam ini akan melibatkan kedua-dua Pasar Payang 1 dan Pasar Payang 2, demi memastikan limpahan manfaat dirasai secara menyeluruh oleh para peniaga.
"Kita akan cadang kepada kedua pasar, Pasar Payang 1 dan Pasar Payang 2.
"Saya sendiri dapat lihat, memang begitu ceria sekali para peniaga, dan ramai yang sudah berniaga hingga 30-40 tahun serta diwarisi anak cucu," ujarnya.
03 Aug 25
1594
Taman Sinar Harapan Kuala Terengganu Perlu Tambahan Kakitangan
Kekurangan kakitangan penjagaan dan fasiliti asas di institusi kebajikan Taman Sinar Harapan Kuala Terengganu (TSHKT) di bawah Kerajaan Persekutuan merupakan antara isu utama dihadapi oleh institusi tersebut.
03 Aug 25
151
Exco Kedah Tersentuh Lihat Anak Taman Sinar Harapan
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat dan Perpaduan Kedah, Dato' Halimaton Shaadiah Saad menekan perlu mengutamakan kepentingan agama.
03 Aug 25
24
UBSNT Sokong Usaha Wujudkan Padanan Kerja Tangani Pengangguran
SENAI, 3 Ogos – Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT) menyatakan sokongan penuh terhadap usaha berterusan Kerajaan Terengganu dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia melalui program padanan kerja bersama pelbagai pihak industri.
Pengarah UBSNT, Muhammad Irsyad Syafiq berkata, program padanan kerja yang dilaksanakan menerusi Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) sejak penubuhannya pada tahun 2019 telah membuktikan keberkesanan dalam menangani masalah pengangguran di negeri ini.
Menurut beliau, ramai anak muda Terengganu telah berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor termasuk industri berteknologi tinggi seperti di Syarikat FOZ One yang beroperasi di Johor.
“Kerajaan negeri melalui pelbagai agensi terus memainkan peranan secara aktif dan menyeluruh dalam mencari serta mencipta peluang pekerjaan kepada anak-anak muda Terengganu.
“Kita tidak hanya tertumpu kepada sektor pekerjaan tradisional, sebaliknya turut memberi perhatian terhadap bidang baharu seperti teknologi digital, industri kreatif, keusahawanan sosial dan ekonomi gig yang kian berkembang,” katanya baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata kejayaan program padanan kerja yang telah membolehkan seramai 400 anak Terengganu bekerja di syarikat tersebut menjadi bukti bahawa golongan muda negeri ini berpotensi besar untuk menguasai pelbagai bidang pekerjaan sekiranya diberikan pendedahan dan peluang secukupnya.
“Usaha ini bukan sekadar menyediakan peluang pekerjaan, malah membuka minda mereka terhadap dunia luar serta memperkukuh kemahiran agar mereka mampu menjadi pemimpin dan mencorakkan masa depan negeri,” jelas beliau.
03 Aug 25
175