KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Kerajaan negeri bakal membangunkan kolam air panas kedua dikenali sebagai Cek Mek Hot Spring selepas penemuannya di Ladang Cenderung Putera North, Ban Hol, Cerul, Kemaman awal tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, selepas La Hot Spring di Besut, lokasi itu akan dibangunkan sebagai tarikan baharu pelancongan negeri.

"Insya-Allah, kawasan ini boleh dibangunkan sebagai destinasi eko-pelancongan utama di Terengganu. Keindahan alam semula jadinya turut memberi pengalaman yang menenangkan kepada para pengunjung.
"Sumber air panas semula jadi di sini sangat sesuai dijadikan lokasi santai dan rawatan kesihatan alternatif. Selain menarik minat pelancong, kawasan ini juga berpotensi membantu menjana ekonomi penduduk setempat," ujarnya.

Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Renjer Sedunia 2025 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
Menurut Razali, lokasi tersebut terletak kira-kira 20 kilometer dari kawasan hutan iaitu di ladang kelapa sawit dan hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
"Kami telah meninjau sendiri keunikan dan potensi kawasan tersebut yang difahamkan menempatkan lebih 10 mata air aktif dan suhu air panasnya hampir sama dengan La Hot Spring," ujarnya.
Jelas beliau lagi, kerajaan negeri kini sedang meneliti pihak-pihak berkepentingan termasuk pemegang taruh yang terlibat dalam kawasan tersebut sebelum sebarang pembangunan dimulakan.
"Malah taklimat awal telah diberikan kepada Pejabat Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai langkah awal pembangunan," ujarnya.