KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Sebahagian besar realiti sektor pertanian di Terengganu masih belum terakam sepenuhnya dalam statistik rasmi, sekali gus membuatkan data semasa yang dikumpul tidak dapat memberi gambaran keseluruhan di lapangan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, meskipun data yang disediakan sebelum ini diperoleh daripada pelbagai jabatan dan agensi berkaitan, masih wujud ruang besar untuk diharmonikan agar gambaran sebenar di lapangan dapat ditampilkan secara menyeluruh.
Katanya, laporan Interim Banci Pertanian Terengganu 2024 menunjukkan 73,051 pegangan pertanian yang direkodkan di Terengganu bagi tahun rujukan 2023 adalah 99.1 peratus (72,367) merupakan pegangan pertanian individu manakala hanya 0.9 peratus (684) pegangan pertanian milik pertubuhan.

"Kita tidak kata data itu tidak tepat, tetapi masih ada banyak ruang untuk diharmonikan. Contohnya, kalau kita tanya berapa banyak lembu ada di Terengganu, pejabat veterinar bagi angka tertentu.
"Tetapi hakikatnya di negeri Terengganu ini hampir setiap rumah ada lembu yang tidak didaftarkan. Itu masih belum diambil kira lembu yang dilepaskan bebas ditepi jalan," katanya.
Tambah beliau, aktiviti seperti mencandat sotong yang bermusim, pendaratan ikan oleh nelayan kecil, dan ternakan kecil-kecilan di rumah tidak selalu dimasukkan ke dalam rekod rasmi kerana ia tidak melalui saluran yang memerlukan pendaftaran.
"Kalau kita pergi ke Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk dapatkan data dan jumlah pendaratan, biasanya yang lapor dari segi jumlah daratan hasil tangkapan ini ialah mereka yang nak dapat minyak bersubsidi, elaun sara hidup nelayan dan bantuan-bantuan yang lain.
"Ramai lagi nelayan yang mendaratkan hasil tangkapan di tepi-tepi pantai yang tidak dilaporkan. Setiap tahun bila musim candat sotong, berapa orang mari mencandat sotong di Terengganu, balik dengan ratusan kilo (hasil tangkapan) tanpa direkod.
"Jadi data yang telah kita dapat itu, ada ruang untuk diharmonikan lagi. Maknanya, Angka sebenar jauh lebih besar daripada angka yang berada di atas kertas.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin serta Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) negeri Terengganu, Marlini Sahul Hamid.
Justeru, Dr. Azman menyambut baik usaha DOSM melalui Banci Pertanian 2024 yang melibatkan bancian rumah ke rumah untuk mendapatkan maklumat menyeluruh merentas sub-sektor tanaman, penternakan, perikanan dan perhutanan.
"Di sinilah penghargaan kita kepada pihak DOSM yang bukan setakat bergelumang di lapangan malah bergelumang dengan angka-angka yang mungkin bagi sesetengah orang memeningkan mata.
"Maknanya bukan semua orang ada kemampuan untuk menganalisa angka dan data yang meliputi semua lapisan masyarakat.
"Sebab itulah saya sangat menghargai dan berterima kasih kerjasama pihak DOSM bersama dengan jabatan-jabatan yang terlibat, memang diakui bukan kerja yang mudah," ujarnya.
