KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan Terengganu memiliki 73,051 pegangan pertanian dengan sektor ternakan sebanyak 12,018 yang juga merupakan rekod tertinggi di Malaysia bagi tahun rujukan 2023.
Jumlah tersebut merangkumi 99.1 peratus dimiliki individu dan hanya 0.9 peratus oleh pertubuhan dengan 58,435 melibatkan tanaman, diikuti ternakan (12,018), perikanan tangkapan (3,013), akuakultur (988), serta perhutanan dan pembalakan (195).
Walau bagaimanapun, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim, angka tersebut tidak selari dengan peningkatan ekonomi pemain industri pertanian skala sara hidup, khususnya golongan B40.
"Alhamdulillah, di Terengganu kita tengok dari segi individu yang terlibat dalam pertanian, dalam bidang penternakan, angka kita adalah besar. Tapi hasil kita tidak tinggi. Kita tidak berpuas hati dengan bilangan rakyat yang terlibat dalam sektor-sektor yang kita sebut tadi.
"Kalau kita tengok dari segi data tanah sekalipun, di Terengganu ini kelompok yang berada dalam kelompok B40 boleh dikatakan semua ada tanah sekitar seekar sekeluarga. Tapi mereka masih berada dalam kelompok B40, kenapa?.
"Kerana dulu orang-orang tua berfikir jika kita tanam serba sedikit cukup sekadar supaya anak cucu boleh makan. Tak payah beli. Hasil yang dapat, nak makan tak habis tetapi bila nak jual ianya terlalu sedikit," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, semalam.
Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin serta Pengarah DOSM negeri Terengganu, Marlini Sahul Hamid.

Namun, beliau berkata, melalui data bancian terkini daripada DOSM yang lebih tepat, kerajaan negeri kini mampu untuk mentafsirkan data itu kepada pelaksanaan dasar yang lebih tepat serta bermanfaat kepada rakyat.
"Data ini sebenarnya satu input yang sangat penting untuk kita nak merangka bagaimana kita nak meningkatkan ekonomi rakyat.
"Dan mungkin selepas ini kita boleh libatkan syarikat-syarikat dalam bentuk 'anchor' Kemudian, rakyat kita bekerja di bawah dia dalam skala yang kita boleh kata skala komersial.
"Sekurang-kurangnya pendapatan (golongan B40) itu akan meningkat di atas paras kemiskinan. Itu dia antara sumbangan awal yang saya boleh sebut bagaimana kita nak memanfaatkan data dalam bentuk tindakan.
Dalam pada itu, Dr. Azman turut menyuarakan harapan beliau untuk membuang stereotaip umum yang beranggapan industri pertanian tidak menjamin masa depan, terutamanya dalam kalangan belia.
