Artikel "Utama" Terkini
Exco Kedah Tersentuh Lihat Anak Taman Sinar Harapan
KUALA TERENGGANU, 30 Julai - "Yang pentingnya agama," itu luahan tulus Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat dan Perpaduan Kedah, Dato' Halimaton Shaadiah Saad.
Beliau berkata demikian ketika menzahirkan rasa terkesan dengan kunjungan beliau ke Taman Sinar Harapan Kuala Terengganu (TSHKT), Kampung Bukit Besar, kelmarin.
"Taman Sinar Harapan ini adalah merupakan salah satu daripada institusi kerajaan untuk kita bagi perlindungan kepada kanak-kanak di sini.
Halimaton Shaadiah.
"Alhamdulillah, hari ini kita 'touching' (tersentuh hati) sedikit, dengan kehadiran anak-anak (penghuni TSHKT) kita yang mana kita tahu bermacam-macam masalah yang mereka hadapi.
"Jadi Kak Ton berharaplah, semoga anak-anak yang ditempatkan di sini mempunyai jati diri, seterusnya mereka diasuh dengan didikan agama. Yang pentingnya agamalah.
"Insya-Allah, segala cabaran yang akan mereka hadapi itu kita akan dapat kurangkan," katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Terengganu atas komitmen dalam menyantuni penghuni institusi di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat itu.
"Terima kasih juga kepada YB Exco kerajaan Terengganu yang banyak membantu Pusat Sinar Harapan ini," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Lawatan bersama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga Dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim, tersebut merupakan sebahagian daripada program tinjauan delegasi Kerajaan negeri Kedah.
Jelasnya, ia merupakan satu langkah bagi memperkukuh dasar kebajikan dan wanita, termasuk dalam aspek penjagaan dan pemulihan golongan kanak-kanak istimewa.
Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Terengganu, Dr. Nurhayati Mohamad, TSHKT menempatkan 67 kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) berumur antara 0 hingga 14 tahun, khususnya kategori masalah pembelajaran.
Terdahulu, delegasi Kedah turut mengadakan lawatan ke Pusat Autisme Sejahtera Terengganu (PAUT) pagi tadi, yang menurut Halimaton memberi kesedaran mendalam mengenai pentingnya intervensi awal dalam mengenal pasti anak-anak istimewa di peringkat awal.
"Kita rasa banyak kepentingan untuk kita santuni mereka-mereka yang kelainan upaya ini.
"Perlu ada lagi usaha untuk kita menghebahkan kepada perbadanan bukan kerajaan (NGO) dan orang-orang perseorangan, untuk tampil ke hadapan.
"Untuk tampil ke hadapan ini bermaksud kita kena tunjuk bahawa autisme ni sebenarnya, satu kelainan upaya yang mana kita kena mendekati mereka daripada awal lagi," katanya.
Dalam masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam juga mengucapkan rasa syukur apabila semakin ramai penjaga tampil untuk membuat pemeriksaan awal bagi autisme.
Menurutnya, banyak manfaat boleh diperoleh oleh penjaga dan anak-anak OKU sekiranya mereka berdaftar dengan JKM dan memiliki kad OKU, termasuk kemudahan rawatan dan akses kepada sokongan kerajaan.
30 Jul 25
873
1 Ogos Larangan Vape Berkuatkuasa di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 30 Julai - Kerajaan negeri menyatakan kesiapannya untuk melaksanakan penguatkuasaan penuh terhadap larangan penjualan rokok elektronik atau vape di seluruh negeri bermula 1 Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan itu muktamad dilaksanakan selepas tempoh peralihan selama tiga bulan yang diberikan akan berakhir tidak lama lagi.
"Kerajaan negeri telah bersetuju untuk mengekalkan dasar sedia ada dengan tidak meluluskan lesen perniagaan kepada mana-mana premis yang menjual produk rokok elektronik atau vape.
"Selain itu, kerajaan negeri juga telah bersetuju tidak akan menerima sebarang bentuk tajaan daripada mana-mana syarikat pengeluar atau pengedar produk vape bagi sebarang program anjuran Kerajaan.
"Larangan ini telah diumumkan sejak 1 Mei 2025 sebagai satu langkah memberi tempoh masa peralihan kepada semua peniaga bagi menghentikan aktiviti penjualan produk vape secara berperingkat sebelum penguatkuasaan sepenuhnya bermula Ogos," katanya.
Dalam memastikan kelancaran pelaksanaan, penguatkuasaan akan dilakukan secara serentak dan menyeluruh di kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Terengganu, dengan tumpuan terhadap premis-premis yang masih menjual vape secara terbuka.
Antara bentuk tindakan yang akan dikenakan termasuklah kompaun RM1,000 di bawah Undang-Undang Kecil PBT, dan sekiranya kesalahan terus berulang, premis terlibat boleh disita dan barang-barang yang dijual akan dirampas.
Wan Sukairi.
Mengulas lebih lanjut, walaupun keterbatasan kerajaan negeri hanya terhad kepada premis di bawah jagaan PBT sahaja, pihaknya turut mengambil langkah kehadapan bagi menyekat penjualan vape secara atas talian.
"Kerajaan negeri melalui PBT mempunyai bidang kuasa yang terhad iaitu berkaitan hanya boleh mengambil tindakan terhadap peniaga vape yang mempunyai premis sahaja.
"Namun begitu, kerajaan negeri akan bekerja sama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengatasi perniagaan vape secara atas talian di negeri Terengganu.
Wan Sukairi berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman dalam satu kenyataan ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya lagi, orang awam turut digalakkan memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan sebarang aktiviti penjualan vape secara terbuka mahupun tersembunyi.
"Orang awam boleh menyalurkan aduan melalui talian hotline PBT, aplikasi aduan awam, atau hadir ke kaunter penguatkuasa di pejabat PBT masing-masing.
"Aduan tersebut akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan diambil," tegasnya.
Kerajaan negeri turut memaklumkan bahawa operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara bersepadu bersama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), sebagai bukti komitmen kerajaan dalam memastikan persekitaran bebas vape dan melindungi kesihatan masyarakat, khususnya generasi muda.
30 Jul 25
1533
Taman Sinar Harapan Kuala Terengganu Perlu Tambahan Kakitangan
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Kekurangan kakitangan penjagaan dan fasiliti asas di institusi kebajikan Taman Sinar Harapan Kuala Terengganu (TSHKT) di bawah Kerajaan Persekutuan merupakan antara isu utama dihadapi oleh institusi tersebut.
Hal tersebut telah dibangkitkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat dan Perpaduan Kedah, Dato' Halimaton Shaadiah Saad, semasa lawatannya ke TSHKT, semalam.
Beliau menyifatkan situasi semasa di pusat jagaan itu memerlukan perhatian segera kerajaan Persekutuan, khususnya dari sudut penambahan perjawatan dan penyelenggaraan kemudahan sedia ada.
Halimaton.
"Bila kita buat perjumpaan dengan pengetua (Sinar Harapan) dia tadi, beliau mengatakan bahawa satu pegawai ataupun satu kakitangan yang nisbahnya seorang pegawai untuk 20 orang kanak-kanak, amat sukar untuk mereka membuat pemantauan kepada kanak-kanak yang tinggal di sini.
"Kami berharap kerajaan Persekutuan akan adakan bajet untuk menempatkan kakitangan di sini supaya anak-anak ini terbela," tegasnya.
Halimaton turut meninjau keadaan sekitar pusat termasuk kawasan permainan kanak-kanak yang dilihat tidak lagi selamat dan memerlukan pembaikan segera.
"Dari lawatan kami tadi Kita ada dapat kesan, contohnya, di taman permainan kanak-kanak tersebut perlu diperbaiki.
"Bila kita tanya macam mana nak dapatkan peruntukan, ini ada (dapat) sumbangan dari pihak-pihak NGO dan perseorangan. Jadi kita harap kerajaan Persekutuan mengambil perhatian dalam bahagian ini juga.
Halimaton yang mengetuai delegasi kerajaan negeri Kedah bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Seputih, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media.
Perkara itu juga disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga Dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim, yang turut hadir dalam lawatan itu.
Tambah beliau, kanak-kanak berumur antara 0 hingga 14 tahun yang ditempatkan di TSHKT bukan sahaja perlu diberi perlindungan, malah perlu dirangsang melalui aktiviti riadah dan pembangunan kendiri yang konsisten agar mereka mampu belajar dan berdikari.
TSHKT, yang ditubuhkan sejak 1984, kini menempatkan seramai 67 penghuni OKU kategori masalah pembelajaran, dan merupakan salah satu daripada tujuh institusi Taman Sinar Harapan di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara.
Sebelum ini, institusi tersebut turut diklasifikasikan sebagai Tempat Selamat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016) serta Tempat Perlindungan Sementara mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, menjadikannya pusat penting dalam jaringan keselamatan sosial negara.
29 Jul 25
1668
Terengganu FC Terima Bas Baharu
KUALA NERUS, 29 Julai – Terengganu FC (TFC) menerima sebuah bas rasmi serba baharu berwarna hitam daripada TRA Holidays Sdn Bhd, sekaligus mengukuhkan kerjasama jangka panjang lima musim antara syarikat pengangkutan dari Pulau Pinang itu dan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB).
Bas tersebut tiba ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pagi ini selepas merentasi Banjaran Titiwangsa, simbol komitmen dan semangat untuk TFC menjelang sepak mula Liga Malaysia Ogos nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim yang juga Pengerusi TFCSB, menyifatkan kerjasama ini sebagai satu langkah penting memperkukuh logistik pasukan.
"Pagi ini menandakan satu lagi urusan penting dalam usaha memperkukuhkan struktur dan keperluan logistik pasukan," katanya dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara TFCSB dan syarikat TRA Holidays Sdn Bhd di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan TRA HOLIDAYS SDN BHD, Danial Tan Abdullah, Ahli Lembaga Pengarah TFCSB, Tengku Seri Bijaya Raja, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Mohd Syahrizan Mohd Zain.
Beliau turut memaklumkan bahawa TRA Holidays dilantik sebagai penaja kategori Silver dan penyedia perkhidmatan pengangkutan rasmi pasukan bagi tempoh lima musim.
"Kami amat berbesar hati dan mengalu-alukan TRA Holidays Sdn Bhd sebagai rakan penaja kategori Silver bagi musim 2025/2026.
"Kita mengharapkan TRA Holidays akan jadi penyedia perkhidmatan pengangkutan rasmi pasukan bagi tempoh lima musim ke hadapan," ujarnya.
Tambah Hishamuddin, TRA Holidays turut dikenali sebagai penaja pengangkutan rasmi Penang FC, dan kini mengorak langkah ke Pantai Timur bersama skuad Hitam Putih. Perlawanan pertama TFC akan bermula pada 10 Ogos menentang Penang FC di tempat lawan, sebelum kembali ke SSMZA bertemu PDRM FC lima hari kemudian. TFC juga bakal bertemu Imigresen FC dalam pusingan 16 Piala FA.
Kerjasama ini turut diiktiraf sebagai bukti sokongan bukan sekadar kepada sukan, tetapi kepada semangat yang mendasarinya.
"Kerjasama ini mencerminkan kesungguhan pelbagai pihak dalam menyokong pembangunan sukan bola sepak negeri.
"Saya percaya melalui sokongan padu daripada syarikat seperti TRA Holidays, TFC mampu mara bukan sahaja dari segi pencapaian tetapi juga kestabilan pengurusan dan kewangan," tambah beliau.
Sementara itu, Pegawai Operasi TRA Holidays Sdn Bhd, Nur Safwan Md Salleh menyampaikan penghargaan kepada seluruh warga Terengganu.
"Petang semalam kami bertolak daripada Pulau Pinang, membelah Banjaran Titiwangsa untuk berada di majlis pagi ini, itu satu kebanggaan kami untuk Terengganu FC" katanya.
Beliau menjelaskan bahawa penajaan ini bukan sekadar urusan di atas kertas tetapi satu ikatan emosional bersama penyokong.
"Penajaan ini bukanlah hanya satu kerjasama di atas kertas atau jersi, tapi ia adalah komitmen jangka masa panjang.
"Kami percaya bila kita sokong pasukan seperti TFC, kita bukan sahaja sokong sukan, tapi sokong semangat, perjuangan dan harapan yang dibawakan oleh pemain dan penyokong," jelasnya.
29 Jul 25
335
Mushroom : 'Order Online', Titis Dalam Vape Kemudian Khayal
KUALA TERENGGANU, 29 Julai – Ibu bapa disaran lebih peka terhadap aktiviti anak-anak, walaupun mereka berada di dalam bilik, susulan kebimbangan terhadap penularan penyalahgunaan dadah sintetik yang kini mudah diperoleh secara atas talian tanpa perlu berjumpa pengedar.
Pengurus Pusat Pemulihan Dadah Holistik Kerajaan Terengganu, Alif Mahari, berkata antara trend yang semakin membimbangkan ketika ini ialah penggunaan ‘vape cendawan’, sejenis cecair psikedelik yang menyebabkan halusinasi serta gangguan mental.
Menurutnya, bahan terlarang itu biasanya dijual dalam botol kecil tanpa label jelas dan sering disangka sebagai cecair biasa, seperti pemanis stevia.
“Anak ‘order online’, barang sampai depan rumah. Emak tak syak apa-apa, letak di atas peti ais. Esoknya, anak titis dalam vape, sedut perlahan-lahan.
“Selepas itu, mereka masuk ke dunia yang mak ayah tak mampu faham bercakap seorang diri, bergaduh dengan pintu, menjerit ke arah siling.
“Inilah racun zaman baharu. Vape mushroom tak nampak seperti dadah biasa, muat dalam poket, tetapi cukup untuk merosakkan otak, menghancurkan hidup dan masa depan. Semuanya hanya dengan akses internet, tanpa perlu ke lorong gelap atau bertemu tokan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Justeru, beliau menegaskan, ibu bapa perlu segera mengambil serius perubahan tingkah laku anak-anak dan tidak memandang ringan tanda-tanda awal.
“Ramai ibu bapa masih belum sedar, merasakan ‘anak aku okay je kot’.
“Tolonglah, pandang mata anak, jenguk bilik mereka, cari kembali suara anak sebelum mereka hilang walaupun jasadnya masih ada di depan mata,” ujarnya.
29 Jul 25
107
MP Besut Suarakan Kebimbangan Cadangan Luaskan PKW Kepada Pesalah Jenayah Berat
KUALA LUMPUR, 29 Julai - Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menyuarakan kebimbangan mengenai cadangan kerajaan bagi meluaskan pelaksanaan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) sehingga melibatkan pesalah jenayah berat menerusi pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perintah Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 2025 yang dibahaskan di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap pindaan Seksyen 5(1) RUU itu kerana memperuntukkan kelayakan PKW kepada pesalah yang berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun, berbanding sebelum ini yang hanya terhad kepada kesalahan ringan.
“Kalau dulu PKW hanya untuk kesalahan kecil, sekarang nak diperluas sampai melibatkan cubaan membunuh bawah Seksyen 307 dan kes keselamatan bawah Seksyen 130ZA Kanun Keseksaan. Ini pindaan yang terlalu drastik,” tegasnya.
Katanya lagi, langkah tersebut bukan sahaja boleh menjejaskan prinsip keadilan, malah turut berisiko melemahkan elemen pencegahan dalam sistem perundangan negara. Katanya, konsep zajr atau pencegahan dalam Islam amat penting dalam memastikan sesuatu hukuman memberi kesan mendidik dan memberi pengajaran kepada pelaku jenayah.
Beliau turut mempertikaikan kewajaran menjadikan PKW sebagai pengganti sepenuhnya kepada hukuman penjara, denda atau penalti lain, walaupun memahami keperluan kerajaan mengurangkan kadar kesesakan penjara.
“Kalau PKW dilaksana sebagai ganti sepenuhnya, ia boleh melemahkan elemen pengajaran dan pembalasan. Dalam banyak kes jenayah, ada mangsa. Kita tak boleh abaikan hak moral mereka untuk mendapat keadilan,” katanya.
Jelasnya lagi, sebarang pelaksanaan PKW perlu seimbang dengan prinsip islah atau pemulihan, dan tidak boleh terlalu ringan sehingga menafikan hak mangsa.
Beliau mencadangkan agar pelaksanaan PKW dilakukan sebagai sebahagian daripada hukuman campuran, contohnya dengan mewajibkan pesalah menjalani tempoh minimum penjara terlebih dahulu sebelum dipertimbangkan untuk PKW sebagai fasa pemulihan.
Selain itu, Che Mohamad Zulkifly turut mencadangkan agar program PKW merangkumi modul pendidikan, kaunseling serta bimbingan agama khususnya kepada pesalah Muslim, dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.
Pendekatan menyeluruh ini katanya akan memastikan prinsip keadilan Islam yang menyeimbangkan antara pencegahan dan pemulihan benar-benar diterapkan.
Beliau turut mempersoalkan sejauh mana keberkesanan pelaksanaan PKW sejak ia diperkenalkan, termasuk status pusat-pusat PKW yang diwujudkan.
Menurut beliau, pada tahun 2022, Ketua Pengarah Penjara pernah memaklumkan bahawa hanya terdapat 52 pusat PKW.
“Sekarang dah tiga tahun, berapa yang telah dibina? Dah capai sasaran 100 pusat ke belum? dan adakah kesesakan penjara benar-benar satu isu berskala nasional, atau hanya tertumpu kepada negeri-negeri tertentu?,” soalnya.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu mengemukakan data dan statistik rasmi bagi menyokong pindaan undang-undang ini agar ia tidak dilihat sebagai tergesa-gesa tanpa asas yang kukuh.
Menutup ucapannya, beliau secara berseloroh menyentuh perhimpunan aman yang dianjurkan pembangkang baru-baru ini sambil memuji perubahan pendekatan yang ditunjukkan para peserta.
“Alhamdulillah, tidak berlaku kereta terbalik, tidak disembur ‘water canon’. Kita telah mendidik mereka untuk berdemonstrasi secara aman,” katanya.
Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai tanda kematangan demokrasi dalam kalangan rakyat dan berharap ia menjadi contoh kepada semua pihak yang mahu menyuarakan pandangan secara tertib dan bertanggungjawab.
29 Jul 25
84
110 Ahli MPBN Bersidang Bincang Hala Tuju Belia Negara
KUALA TERENGGANU, 28 Julai – Seramai 110 Ahli Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Terengganu memulakan persidangan mereka di Dewan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Terengganu hari ini, bagi membincangkan hala tuju pembangunan belia di negeri dan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, berkata MPBN yang ditubuhkan sejak 1971 oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berperanan sebagai wadah utama menyuarakan inspirasi serta pandangan belia, sekali gus menjadi platform penting untuk menyelaras dasar pembangunan generasi muda.
“Majlis ini bukan sekadar pertemuan rasmi, tetapi satu sesi libat urus dan persidangan intelektual yang menggabungkan kerjasama serta sinergi antara kerajaan dengan kepimpinan pertubuhan belia.
“Melalui platform ini, setiap pandangan, idea, teguran dan cadangan daripada golongan belia dapat disalurkan secara berkesan, sekali gus diterjemahkan kepada dasar dan tindakan yang lebih dinamik,” katanya ketika merasmikan MPBN Peringkat Negeri Terengganu, Sidang Pertama Penggal Ke-35 Sesi 2025–2026, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu, Dato’ Abdul Kahar Abdul Latif; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Asmadi Mohamad; serta Presiden Majlis Belia Negeri Terengganu, Anas Hazizul Muhamad.
Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, MPBN terbukti berkesan memainkan peranan dalam merangka hala tuju pembangunan belia sejak penubuhannya.
“Bagi memperkukuh peranan tersebut, MPBN turut diperluas ke peringkat daerah bagi meneliti secara lebih dekat intipati, permasalahan serta idea berkaitan pembangunan belia di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kerja MPBN yang terdiri daripada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, badan gabungan dan urus setia persidangan yang telah memastikan kelancaran penganjuran.
“Saya ucapkan tahniah kepada semua pihak yang telah merancang dan menjayakan persidangan yang penuh bermanfaat ini,” katanya.
28 Jul 25
103
Aspirasi Bandar Pintar Diperkukuh Melalui Pembangunan Intelligent Pole
KUALA TERENGGANU, 28 Julai - Usaha menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri pintar kini memasuki fasa baharu apabila pembinaan replika 'Intelligent Pole' berada di peringkat akhir, sebagai persediaan untuk pelaksanaan projek perintis dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian & Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, struktur itu dibangunkan oleh Colla Connecting Edge bersama vendornya sebagai rujukan awal sebelum pelaksanaan sepenuhnya dijalankan.
"Saya berkesempatan melawat replika Intelligent Pole yang kini berada di fasa akhir pembinaannya di negeri Terengganu.
"Setelah mendengar penerangan secara terperinci, Intelligent Pole adalah satu inisiatif yang sangat baik untuk dilaksanakan di negeri Terengganu. Intelligent Pole tidak hanya berfungsi sebagai menara telekomunikasi yang biasa.
"Ia juga dilengkapi dengan lampu jalan pintar, antena telekomunikasi, pembesar suara (public announcement), skrin digital pengiklanan dan kamera CCTV yang boleh mengambil data secara terus dengan adaptasi kecerdasan buatan Artificial Intelligent (AI).
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang telah dimuatnaik dalam satu hantaran Facebook rasminya.
Tambahnya, setiap kelengkapan itu berfungsi secara serentak dalam satu struktur, sekali gus membolehkan proses pengumpulan data, komunikasi, keselamatan dan pengiklanan dilaksanakan dengan lebih cekap dan pintar.
Jelasnya lagi, sekiranya projek perintis ini berjaya, Terengganu akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang memiliki teknologi sedemikian.
"Pilot project dijangka akan bermula dalam masa terdekat. Sekiranya berjaya, Terengganu akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang memiliki Intelligent Pole seumpama ini.
"Ini satu lagi langkah ke hadapan dalam merealisasikan aspirasi menjadikan Terengganu sebuah negeri yang selamat, cekap dan berdaya saing dalam era digital," ulasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memohon sokongan semua pihak agar inisiatif tersebut dipermudahkan dan dapat memberi manfaat besar kepada rakyat negeri ini dalam jangka masa panjang.
28 Jul 25
169
Graduan INSTEP Mahu Bantu Keluarga
KUALA NERUS, 28 Julai – Rata-rata graduan program Technical Energy Enrichment Programme (TEP) Plus- Upstream ambilan Januari 2024 berharap akan memperoleh pekerjaan yang bersesuaian setelah berjaya menamatkan pengajian di Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP).
Bagi Muhammad Iman Zulhaqim Mohd Sukizam, 24, dari Paka, Dungun berkata, dia mula mengenali tentang program TEP Plus melalui rakan dan kenalan yang sering bermain sukan bersama, selain jiran tetangga di kawasan perumahan mereka.
Malah jelasnya, lokasi kediaman yang berdekatan dengan kawasan operasi PETRONAS di Paka telah menimbulkan minatnya terhadap industri tenaga.
“Sebagai anak tunggal, dengan ayah yang bekerja jauh sebagai pengawal keselamatan di Kuala Lumpur, saya rasa tanggungjawab besar untuk menyokong ibu dan keluarga saya.
“Kehidupan yang dekat dengan operasi PETRONAS di Paka telah menimbulkan minat saya terhadap industri tenaga. Melalui program TEP Plus, saya berharap dapat memperolehi kemahiran yang diperlukan untuk membina masa depan yang lebih baik untuk kami sekeluarga,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Riduan Azman, 26, dari Kampung Tanggol, Kuala Berang mengakui, hanya melalui pendidikan dan kerja keras, dia mampu mengubah nasib keluarga.
Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, asbab dibesarkan dalam keluarga berpendapatan rendah dengan ayahnya bekerja ‘kampung’ dan ibunya bekerja sebagai tukang cuci di SJK(C) Chong Hwa Wakaf Tapai menjadikannya kuat.
“Ada hari dapat wang saku, ada hari tak. Kalau tak ada, saya bawa bekal dari rumah. Keluarga saya bukan senang, tapi kami sentiasa bersyukur,” ujar Riduan.
Kunjungannya ke reruai PETRONAS semasa karnival kerjaya membuka peluang baharu dalam hidupnya apabila diperkenalkan kepada program INSTEP.
Tanpa berlengah, beliau memohon dan akhirnya terpilih sebagai peserta Program TEP-Plus, khusus dalam bidang ‘Production’.
“Saya ada diploma dalam bidang elektronik dari Sekolah Vokasional Wakaf Tembesu. Apabila tahu pasal program ni, saya nekad nak cuba. Saya anak sulung, tanggungjawab saya besar, saya nak bantu keluarga,” ujarnya.
TEP Plus mencerminkan komitmen berterusan INSTEP dan PETRONAS dalam memperkukuh bakat teknikal tempatan serta membina ekosistem tenaga yang mampan.
Program selama 18 bulan yang ditaja oleh PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) itu merupakan inisiatif tajaan pra-pekerjaan yang direka untuk merapatkan jurang kemahiran antara pemegang diploma dan keperluan sebenar industri.
28 Jul 25
85
"Langkah Kecil, Harapan Besar" - Dr. Sam
KUALA TERENGGANU, 27 Julai - Walaupun berdepan pelbagai keterbatasan, kerajaan negeri terus mencari ruang untuk membantu rakyat yang sedang berusaha memperbaiki kehidupan, dengan memperkenalkan Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal tanpa faedah.
Menyifatkan inisiatif ini sebagai 'langkah kecil, harapan besar', Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan bernilai RM844,000 ini mungkin kecil dari segi angka, namun cukup besar maknanya buat mereka yang bergantung kepada motosikal untuk menjana pendapatan.
"Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal tanpa faedah ini mungkin kelihatan kecil pada angka, tetapi cukup besar maknanya buat mereka yang bergantung kepada motosikal untuk mencari rezeki, tak kira sebagai penghantar makanan, kurier, penjaja kecil, dan pekerja sektor e-dagang.
"Sebanyak RM844,000 telah diperuntukkan bagi membantu 160 orang di seluruh negeri. Lima orang di setiap DUN akan dikenal pasti, bukan kerana keistimewaan mereka, tetapi kerana kesungguhan mereka untuk bangkit dan berdikari.
"Bagi kerajaan negeri, motosikal ini bukan sekadar kenderaan. Ia adalah alat usaha. Ia melambangkan harapan. Ia membawa makna bahawa walau kecil sumbangan kami, kami tetap mahu berdiri di sisi rakyat yang tidak pernah putus asa.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan melalui akaun Facebook rasminya, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri tetap akan berusaha menyalurkan apa yang termampu dengan penuh tanggungjawab.
Dalam pada itu, Samsuri turut mengucapkan penghargaan kepada rakyat Terengganu yang terus memberikan kepercayaan dan ruang kepada pihak kerajaan negeri.
"Insya-Allah, kami akan terus berusaha menambah baik apa yang termampu, selagi diberi amanah," ujarnya.
Terdahulu, kerajaan Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah memperuntukkan RM844,000 bagi Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal tanpa faedah untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki motosikal bagi tujuan perniagaan dan pekerjaan.
Perkara itu telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato' Ariffin Deraman pada 20 Julai yang lalu.
27 Jul 25
246