lightning-solid
Berita :
TaniStats Solusi Lambakan Hasil Pertanian
TaniStats Solusi Lambakan Hasil Pertanian
Ahmad Zaeem Zainudin
31 Jul 25
90

KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Kerajaan negeri mencadangkan penggunaan TaniStats atau sistem data pertanian bagi mengatasi masalah lambakan hasil pertanian tempatan yang bukan berpunca daripada kekurangan permintaan, tetapi kegagalan menyampaikan produk ke pasaran yang memerlukan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim menaruh harapan platform tersebut bakal merapatkan jurang antara permintaan dan pasaran berpotensi.

Katanya, TaniStats dilengkapi data dari peringkat ladang sehingga peruncitan sekali gus menyediakan data pasaran yang lebih telus dan tepat di seluruh rantaian bekalan.

"Lambakan ini bukan kerana produk tidak ada pembeli, tetapi kita tidak berjaya menyampaikan kepada tempat yang betul.

"Contohnya duku Terengganu, hanya ada di Terengganu. Semasa di tempat kita harga dia 50 sen, di Lembah Klang, di Pulau Pinang dan di utara masih lagi hampir RM2.00 sekilo.

"Maknanya ada tempat orang nak beli, tapi kita tidak berjaya nak menyampaikan ke tempat orang yang nak membeli.

"Dan di sinilah kita harapkan dengan adanya TaniStats, kita boleh tengok keperluan di seluruh negara," beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin serta Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) negeri Terengganu, Marlini Sahul Hamid.

Tambahnya, platform bersepadu itu turut dilengkapi ciri MyAgroPrice, yang memaparkan harga purata produk pertanian di peringkat ladang, pemborong dan runcit negeri‑negeri dalam Malaysia bagi tempoh 2020 hingga 2024.

Dalam pada itu, Dr. Azman turut menegur pelaksanaan pengagihan bantuan pertanian yang bersifat 'lepas tangan' tanpa pemantauan menyeluruh bagi rantaian pengeluaran.

"Satu ketika dahulu, bila buat program pertanian, kita beri sahaja anak pokok. Satu polibeg, dua polibeg seorang bawa balik. Bila kita minta laporan rupanya dah terlalu banyak anak pokok yang diagihkan, tetapi tidak menjadi pokok.

"Mungkin kering di tepi tangga. Bermakna kita hanya lepas tangan (tidak melakukan pemantauan selepas bantuan pertanian diserahkan kepada penerima program). Itu bukan lagi cara bekerja yang betul.

"Cara bekerja yang betul kita kena pastikan dalam rantaian pengeluaran itu semuanya lengkap dan bukan hanya sampai ke peringkat pemasaran sahaja tapi sampai ke peringkat kita menitik beratkan faktor persediaan, khususnya MyGAPS.

MyGAP ataupun 'Amalan Pertanian Baik' adalah skim pensijilan yang komprehensif untuk sektor tanaman, akuakultur dan ternakan yang dilaksanakan berdasarkan piawaian Malaysian Standard (MS).

Azman positif melalui persediaan itu, produk tempatan yang tidak kurang kualitinya berbanding produk pasaran luar mempunyai potensi tinggi untuk menembusi ruang-ruang pasaraya ternama.


Artikel Berkaitan