lightning-solid
Berita :
Terengganu-Gemilang Meterai Perjanjian Perlombongan, Sedia 200 Peluang Kerja
Terengganu-Gemilang Meterai Perjanjian Perlombongan, Sedia 200 Peluang Kerja
Zahid Mustafar
31 Jul 25
2661

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Semua hasil bumi negeri ini mesti dinikmati rakyat secara menyeluruh dengan pulangan ekonomi dikembalikan kepada komuniti setempat, tegas Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Kerajaan Terengganu menerusi Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) memeterai satu Perjanjian Pajakan Perlombongan bersama Gemilang Mining Sdn. Bhd. bagi membangunkan sektor perlombongan negeri secara tersusun dan berimpak tinggi kepada ekonomi rakyat.

Menurut beliau, kerjasama ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk mengaktifkan semula kawasan berpotensi tinggi dalam sektor perlombongan, seterusnya menjana hasil dan manfaat langsung kepada rakyat.

"Perjanjian ini membuka ruang kepada penerokaan dan pembangunan potensi sektor perlombongan di negeri ini secara tersusun.

"Ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk menggerakkan semula kawasan berpotensi tinggi bagi menjana hasil dan manfaat kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan Perlombongan antara LTAWNT dan Gemilang Mining Sdn. Bhd., yang turut dihadiri kepimpinan tertinggi negeri, di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa pentadbiran negeri berpegang kepada prinsip memastikan hasil bumi Terengganu memberi manfaat sebenar kepada rakyat.

"Kerajaan Negeri akan terus memastikan hasil negeri dipacu ke arah pembangunan yang berkesan.

"Kita tidak boleh biarkan peluang berlalu begitu sahaja. Apa yang ada di bumi Terengganu, mesti kembali kepada rakyat Terengganu," ujarnya.

Tambahnya, projek ini juga dijangka membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan secara meluas, khususnya dalam kategori tenaga mahir seperti jurutera, ahli geologi dan operator loji.

"Projek ini dijangka membuka peluang pekerjaan, dengan tumpuan kepada penglibatan rakyat Terengganu.

"Syarikat turut menyasarkan penglibatan sekurang-kurangnya 80 peratus tenaga kerja tempatan," katanya lagi.

Dalam masa sama, kerjasama strategik itu dijangka memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat sekitar kawasan operasi melalui pelibatan sektor makanan, peruncitan, penyediaan penginapan dan perkhidmatan berkaitan.

"Kerjasama ini juga dijangka membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat sekitar, khususnya di kawasan operasi.

"Sektor makanan dan minuman, peruncitan, penyediaan penginapan, perkhidmatan kenderaan serta pembekalan bahan binaan tempatan dijangka mendapat manfaat langsung daripada kehadiran projek ini," jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, syarikat pelaksana turut merancang membina kemudahan kediaman dan kantin bagi kakitangan projek sebagai sumbangan kepada pembangunan infrastruktur setempat.

"Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan projek, syarikat turut merancang membina kemudahan kediaman dan kantin kakitangan.

"Ia secara tidak langsung akan menyumbang kepada pembangunan infrastruktur setempat serta persekitaran kerja yang lebih teratur dan selamat," katanya.

Langkah ini, jelasnya, selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memperkukuh ekonomi rakyat melalui pemerkasaan aset semula jadi negeri secara bertanggungjawab dan beretika.
 


Artikel Berkaitan