Artikel "Semasa" Terkini
Ahmad Samsuri Yakin PN Kekal Utuh
KUALA NERUS, 5 Oktober – Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan sepakat untuk terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Katanya, beliau yakin seratus peratus bahawa parti komponen di bawah PN akan kekal utuh.
“Apa jua yang timbul itu saya difahamkan adalah masing-masing dengan hasrat memperkuatkan PN sebelum berdepan pilihanraya yang mungkin dalam tempoh setahun atau dua tahun akan datang.
“Lebih baik kita bincang sekarang ini walaupun nampak macam porak poranda, tetapi sebenarnya tidak, ini adalah perbincangan dalaman keluarga yang semuanya dalam ruang lingkup untuk memperkukuhkan PN. Jadi saya tidak ada kebimbangan tentang itu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai adakah PAS dan Bersatu akan kekal sebagai gabungan politik sehingga PRN-16 ekoran beberapa isu yang timbul termasuk berkaitan calon perdana menteri dan dana pilihan raya pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Kesejahteraan Pekerjaan & Keusahawanan Negeri Terengganu serta Pelancaran Pusat Cari Kerja @ Gerbang Kerjaya Negeri Terengganu, di Pusat Cari Kerja Terengganu, Jalan Lapangan Terbang, hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai persediaan PAS menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah setelah ada desas desus menyatakan berlaku pembubaran dalam masa terdekat, Ahmad Samsuri menyatakan PAS melalui PN telah mengadakan beberapa siri jelajah di Sabah.
“Ia bertujuan untuk menilai kekuatan dan menentukan kerusi mana yang akan ditandingi dalam pilihanraya yang mungkin diadakan dalam tempoh yang terdekat ini.
“Kita bersedia dan tengoklah macam mana, suasana potilik di Sabah sangat unik, dekat nak pilihanraya pun ada parti baru yang ditubuhkan,” ujarnya.
Tambah beliau, situasi tersebut merupakan perkara biasa di Sabah sejak puluhan tahun lalu.
“Politik Sabah sangat dinamik, walaupun begitu kita komited untuk bersama dalam pilihan raya di Sabah seterusnya bersama untuk melakukan polisi sekiranya menang dalam pilihan raya akan datang,” ujarnya.
05 Oct 25
117
THRDC Perkukuh Padanan Tenaga Kerja Rakyat Terengganu
KUALA NERUS, 5 Oktober – Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) melalui Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT) telah mengambil pendekatan yang menyeluruh dalam menangani aspek Demand and Supply (of Labour) dalam Pasaran Buruh.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dengan pendekatan pelbagai sudut, libat urus bersama dengan industri telah dilakukan untuk membawa peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu selain daripada membawa industri ke negeri ini.
“Insya-Allah, kerjaan negeri melalui pelbagai agensi THRDCC dan yang lain-lain, akan cuba ‘accommodate’ dan ‘facilitate’ apa jua keperluan daripada pihak industri untuk mendapatkan pekerja-pekerja daripada rakyat Negeri Terengganu.
“Kita berharap rakyat Negeri Terengganu juga jadilah pekerja yang tahan dengan ujian dan cabaran berbanding dengan apa yang berlaku pada waktu ini.
“Saya menyeru kepada semua rakyat Terengganu agar dapat memanfaatkan kemudahan pusat cari kerja yang telah disediakan ini sewajarnya,” ujar Ahmad Samsuri.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Karnival Kesejahteraan Pekerjaan & Keusahawanan Negeri Terengganu serta Pelancaran Pusat Cari Kerja @ Gerbang Kerjaya Negeri Terengganu, di Pusat Cari Kerja Terengganu, Jalan Lapangan Terbang, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, Kerajaan negeri menubuhkan THRDC bagi memberi fokus kepada agenda ini.
“Tahniah kepada THRDC atas penubuhan Pusat Cari Kerja Terengganu.
“Alhamdulillah, sehingga tamat penggal pertama pentadbiran iaitu pada tahun 2022, daripada tahun 2018 kita telah berjaya menunaikan janji ini dengan mencapai sebanyak 20,351 penempatan pekerjaan.
“Kadar pengangguran siswazah negeri juga semakin baik, pada tahun 2018 lalu kadar penggangguran siswazah Terengganu sebanyak 7.3 peratus menurun kepada 3.9 peratus pada tahun 2023,” ujarnya.
05 Oct 25
178
Sultan Terengganu Titah Masjid Santuni Anak Kecil, Remaja
Masjid-masjid khususnya di Terengganu disarankan untuk mempertingkat aktiviti yang melibatkan pelbagai segmen masyarakat.
05 Oct 25
18
Sultan Mizan Berkenan Rasmi Sambutan 100 Tahun SMK Sultan Sulaiman
Sejarah penuh makna terpahat di bumi Darul Iman apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Sambutan 100 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS) dalam majlis penuh istiadat yang berlangsung di Dataran Perdana sekolah berkenaan.
05 Oct 25
19
‘Masih Ada Yang Sayang’ Pulih hubungan Klien AADK Dengan Keluarga
Program Masih Ada Yang Sayang yang dianjurkan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTS) dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berjaya memberi sinar baharu buat klien dengan mengembalikan semula hubungan mereka bersama keluarga.
05 Oct 25
15
Kerajaan Terengganu Hargai Usaha Pembebasan 23 Sukarelawan GSF
KUALA NERUS, 5 Oktober – Kerajaan Terengganu menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha berterusan sehingga membawa kepada pembebasan 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) dan ditahan oleh tentera Israel sejak Khamis lalu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, menjadi tanggungjawab setiap negara untuk mengambil langkah sewajarnya sekiranya rakyat mereka berada atau ditahan di mana-mana tempat di seluruh dunia, bukan hanya di Israel, apabila sesuatu insiden berlaku.
“Setiap negara bertanggungjawab mengambil langkah bagi menyelamatkan atau mengeluarkan rakyat mereka daripada tempat kejadian.
“Ini pendekatan universal yang difahami oleh semua pihak, negara lain juga akan melakukan perkara yang sama.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan yang telah memainkan peranan penting, dan kita sama-sama mendoakan agar semua yang terlibat selamat tiba di tanah air pada Isnin atau Selasa ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan penahanan sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF, selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Karnival Kesejahteraan Pekerjaan & Keusahawanan Negeri Terengganu serta Pelancaran Pusat Cari Kerja @ Gerbang Kerjaya Negeri Terengganu, di Pusat Cari Kerja Terengganu, Jalan Lapangan Terbang, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri sentiasa berhubung dengan beberapa anak jati Terengganu yang turut menyertai misi bersejarah tersebut bagi membela nasib rakyat Palestin.
“Ada beberapa orang daripada Negeri Terengganu termasuk NGO dan juga personaliti.
“Alhamdulillah, mereka berada dalam keadaan sihat. Kita tunggu kepulangan mereka untuk mendengar sendiri kisah apa yang berlaku,” katanya.
05 Oct 25
113
MaluCelli Terus Kuasai LTdL Menang di Terengganu
Pelumba XDS Astana, Matteo Malucelli mengekalkan kedudukan selaku pendahulu keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 selepas muncul juara peringkat keempat dalam kayuhan di Kemaman.
05 Oct 25
20
Terengganu FC Benam Kelantan TRW 4-1 Di Laman Sendiri
KUALA NERUS, 3 Oktober - Terengganu FC (TFC) mempamerkan aksi bertenaga di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin apabila menundukkan Kelantan The Real Warriors FC (TRW) 4-1 dalam saingan Liga Super, sekali gus mengukuhkan kedudukan di kelompok teratas liga.
Skuad bimbingan Badrul Afzan Razali tidak menunggu lama untuk menguasai permainan apabila jaringan pembukaan hadir menerusi Diego Landis yang tenang menyudahkan peluang di depan gawang lawan.
Gol tersebut menjadi penyuntik semangat buat pasukan tuan rumah yang terus menggandakan asakan.
Hasilnya, Nurillo Tukhtasinov menambah gol kedua sebelum Yann Mabella melengkapkan babak pertama dengan jaringan ketiga buat TFC.
Namun, kemaraan tiga mata tuan rumah tidak mematahkan semangat Kelantan TRW, apabila mereka bangkit sebaik sahaja babak kedua bermula.
Usaha mereka berhasil apabila Saravanan Thirumurugan merapatkan kedudukan. Walau bagaimanapun, segala usaha untuk menambah jaringan termasuk dua sepakan penalti gagal membuahkan hasil.
TFC kemudian kembali menambah derita pelawat apabila Mabella sekali lagi meledak, kali ini untuk gol keempat tuan rumah, memastikan kemenangan bergaya 4-1 berpihak kepada skuad Penyu.
Jurulatih TFC, Badrul Afzan nyata berpuas hati dengan semangat juang dan prestasi anak buahnya pada malam ini.
"Pertama sekali syukur alhamdulillah, tiga mata berharga di tempat kita. Pemain-pemain melaksanakan apa yang dirancang, khususnya pada babak pertama. Kredit kepada mereka semua," katanya.
"Pertama sekali syukur alhamdulillah, tiga mata pertama yang berharga di tempat kita. Jadi, semangat juang pemain-pemain malam ni kalau kita tengok pada babak pertama dan babak kedua dari bermula wisel, kita mengasak apa yang kita rancang.
"Kita dapat 3-0 di babak pertama, jadi alhamdulillah, kredit kepada pemain-pemain," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Beliau turut menegaskan fokus pasukan adalah memastikan momentum kemenangan dikekalkan menjelang aksi Piala FA menentang Kuching City minggu depan.
Dengan kemenangan ini, TFC kekal di tangga ketiga liga dengan kutipan 13 mata, sementara Kelantan TRW kekal di pertengahan carta dengan lapan mata.
03 Oct 25
54
Dua Anak Muda Sasar Kedai Kopi Sebaris Jenama Tersohor
SETIU, 2 Oktober - Bermula dari sebuah gerai kopi kecil di Pantai Kampung Mangkok, dua anak muda, Rabiatull Adawiyyah Mohd Kahar dan Nur Nadirah Mat Yunus, masing-masing berusia 23 tahun, kini mengimpikan untuk membawa jenama SNA Coffee sebaris dengan jenama-jenama kopi terkenal di pasaran.
Pengusaha, Rabiatull Adawiyyah, berkata gerai mereka mula beroperasi tiga bulan lalu dengan menawarkan pelbagai pilihan minuman berasaskan kopi dan pencuci mulut.
"Kami memulakan gerai jualan kopi sebelah petang dengan pelbagai jenis kopi berperisa antaranya americano, latte, caramel macchiato, chocolate dan minuman berasaskan soda dan yogurt.
"Selain minuman berasaskan kopi, kita juga ada makanan lain seperti kek batik, kek coklat, chicken tender, kerabu maggi dan vietnam rolls," katanya.
Menurut beliau, harga ditawarkan antara RM7 hingga RM11 mengikut jenis minuman, dan sambutan pelanggan semakin menggalakkan.
"Harga bagi setiap cawan kopi bermula RM7.00 hingga RM11.00.
"Purata jualan pada hari biasa sekitar 30 hingga 50 cawan dan meningkat sehingga 80 cawan pada hari minggu," jelasnya.
Rabiatull berkata mereka bercita-cita untuk mengembangkan perniagaan dengan membuka kedai tetap yang lebih selesa dan strategik.
"Insya-Allah suatu hari nanti jika diizinkan, kami bercadang untuk membuka kedai yang lebih selesa.
"Orang ramai boleh menikmati kopi dengan suasana angin pantai," ujarnya.
02 Oct 25
182
Presiden PAS Kecam Sokongan AS kepada Israel
MARANG, 2 Oktober — Kira-kira 2,000 rakyat Terengganu berhimpun secara aman di perkarangan Masjid Rusila petang ini sempena Himpunan Solidariti Global Sumud Flotilla bagi menyatakan sokongan penuh terhadap perjuangan rakyat Palestin dan mengecam kezaliman rejim zionis Israel.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam ucapannya menegaskan bahawa penindasan terhadap rakyat Palestin berlaku dengan sokongan terang-terangan kuasa besar dunia, khususnya Amerika Syarikat.
“Mereka menipu untuk melindungi Israel. Mereka ini syaitan besar, termasuklah Donald Trump — itu syaitan besar,” tegas beliau di hadapan ribuan hadirin yang menyambut ucapan itu dengan takbir.
Beliau turut mengecam tindakan menggoda rakyat Palestin dengan habuan kewangan yang besar, hanya untuk menggadaikan tanah air mereka.
“Mereka menggoda rakyat Palestin dengan duit. Sanggup beri berapa triliun kepada orang Palestin, masyarakat orang Palestin,” ujarnya.
Kenyataan itu dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah mengesahkan kehadiran ke Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Asia Timur di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Himpunan ini mencerminkan kebersamaan rakyat Malaysia, khususnya di Terengganu, dalam solidariti kemanusiaan sejagat terhadap perjuangan membebaskan Palestin.
02 Oct 25
85