lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Sultan Mizan Berkenan Rasmi Sambutan 100 Tahun SMK Sultan Sulaiman
Sultan Mizan Berkenan Rasmi Sambutan 100 Tahun SMK Sultan Sulaiman
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober – Sejarah penuh makna terpahat di bumi Darul Iman apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Sambutan 100 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS) dalam majlis penuh istiadat yang berlangsung di Dataran Perdana sekolah berkenaan, hari ini. Keberangkatan baginda disambut dengan penuh penghormatan, diiringi oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, serta Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan paduka-paduka anakanda. Majlis bertambah seri dengan kehadiran Tengku Seri Bijaya Raja, Ahli Dewan Pangkuan Diraja Terengganu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia, serta Penasihat Undang-Undang Negeri, Nawawi Ismail. Acara dimulakan dengan persembahan pancaragam SMKSS, diikuti tarian selamat datang oleh penari Sutra Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, dan persembahan silat oleh Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia. Sejurus selepas itu, Tengku Seri Bijaya Raja mempersembahkan ucapan aluan, sebelum majlis diserikan dengan titah ucapan perasmian oleh Sultan Mizan. Usai bertitah, baginda berkenan menyempurnakan gimik perasmian dengan paluan gong, diiringi Yang Di-Pertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail, sebagai simbolik bermulanya lembaran baharu perjalanan kecemerlangan SMKSS dalam abad kedua penubuhannya. Majlis diteruskan dengan keberangkatan baginda menanam sepohon pokok Majesty Palm, tanda kelangsungan warisan pendidikan yang subur sepanjang zaman. Baginda kemudian berkenan melawat Galeri Junjungan Setangi yang memaparkan perjalanan sejarah 100 tahun SMKSS, sebelum berangkat ke majlis santapan diraja.  
02 Oct 25
1386
Dari Sekolah ke Dunia: I-DEWS Bukti Inovasi Pelajar Imtiaz Berimpak Global
Dari Sekolah ke Dunia: I-DEWS Bukti Inovasi Pelajar Imtiaz Berimpak Global
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Kejayaan pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu (IKT) meraih emas di pertandingan World Sustainable Development Goal Challenge 2025 (WSDG 2025) bukan sekadar pencapaian antarabangsa, malah membuka peluang untuk projek berimpak sosial itu dikembangkan lebih jauh. Rekaan Imtiaz Dual Eco Water System (I-DEWS) yang telah dibawa ke WSDG 2025 oleh tiga pelajar tingkatan dua – Aira Nur Maisarah Abdullah Fuad, Nur Aeisya Khadija Mohd Yazid dan Ummu Sofiyyah Abdul Mubin, merupakan cetusan idea guru IKT bidang TVET, Suryana Mat Husin. Dari kiri: Aira, Aeisya dan Ummu Pengetua IKT, Md Imran Md Nor, berkata pihaknya berhasrat untuk terus menaik taraf teknologi tersebut agar lebih praktikal dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat umum. "Ya, kami berfikir untuk menaik taraf unit penapisan yang sebelum ini menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti sabut kelapa, pasir halus dan arang buluh yang telah diklarifikasi oleh Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI), UNISZA.  "Kami bercadang untuk menambah baik unit penapisan sehingga air yang ditapis dapat diminum oleh manusia. Kami juga berfikir untuk menaik taraf sistem penjanaan elektrik.  "Selain itu, kami juga akan cuba menurunkan kos pembuatan supaya I-DEWS dapat dimiliki semua," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas dihubungi, baru-baru ini. Beliau turut menjelaskan bahawa integrasi kecerdasan buatan (AI) akan membantu menjadikan sistem lebih efisien dan bersifat automasi. "Dengan penambahbaikan AI dalam produk kami, AI dapat mengawasi sistem I-DEWS tanpa memerlukan pengawasan seseorang. Dengan ini, pengguna tidak perlu untuk mengendali secara manual kerana sifat 'autonomous' yang AI dapat berikan. "AI juga boleh memberi ramalan untuk sistem I-DEWS sekiranya terdapat perubahan dalam sistem ini secara keseluruhannya. Kesannya, pengguna mengetahui apa yang patut ditambah baik dan diubah," jelasnya. I-DEWS pada peringkat awalnya hanyalah sistem penapisan air, namun melalui penambahbaikan bersama pelajar IKT ia diinovasikan menjadi sistem penapisan air dan penjanaan tenaga yang menggunakan graviti serta turbin air dalaman. Pembentangan secara maya oleh pelajar IKT mengenai I-DEWS; bertajuk 'WSDG 2025 I-DEWA SM IMTIAZ YT KUALA TERENGGANU' di  laman sesawang Youtube "I-DEWS merupakan satu sistem air yang boleh mengitar semula air gunaan selain dari air kumbahan untuk kegunaan luaran seperti menyiram pokok, membasuh pinggan dan membasuh kereta. Air yang dikitar semula tidak boleh diminum terus setelah ditapis.  "I-DEWS juga menggunakan sistem hydroelectric untuk menjana tenaga hanya dengan menggunakan graviti. Air digerakkan secara automatik oleh graviti dan dapat bergerak tanpa henti. Teknik ini dinamakan teknik siphon," ulas Md Imran. Tambahnya, IKT turut merangkul satu lagi penghargaan emas dan satu penghargaan istimewa dalam penyertaan mereka WSDG 2025 yang telah berlangsung pada bulan lepas. Rekaan tersebut sebelum ini pernah meraih pingat perak dalam World Young Inventors Exhibition (WYIE) 2025, namun penambahbaikan berterusan menjadikan rekaan itu kini berjaya diiktiraf di peringkat antarabangsa. Katanya lagi, usaha tersebut membuktikan kreativiti dan inovasi pelajar IKT bukan sahaja mampu mengharumkan nama sekolah, malah mempunyai potensi untuk dimanfaatkan masyarakat dalam kehidupan harian.
02 Oct 25
7
MB Terengganu Kutuk Kekejaman Israel, Dua Anak Jati Negeri Antara Aktivis Ditahan
MB Terengganu Kutuk Kekejaman Israel, Dua Anak Jati Negeri Antara Aktivis Ditahan
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober- Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel yang jelas melanggar prinsip hak asasi manusia, undang-undang antarabangsa serta menafikan hak rakyat Palestin untuk menerima bantuan kemanusiaan. Katanya, tindakan tidak berperikemanusiaan itu sekali lagi memperlihatkan sikap angkuh rejim Zionis terhadap undang-undang dunia. "Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus berdoa demi keselamatan semua aktivis yang ditahan serta mendoakan agar kapal-kapal lain yang masih dalam perjalanan dapat selamat tiba ke Gaza dan menyalurkan bantuan kepada rakyat yang sedang menderita. "Solidariti kita bersama rakyat Palestin tidak akan pernah goyah. Doa, sokongan dan tekanan masyarakat dunia adalah kunci untuk memastikan misi kemanusiaan ini berjaya," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. Terdahulu, sekitar jam 8 pagi waktu Malaysia, seramai 12 orang rakyat Malaysia bersama aktivis antarabangsa lain telah disekat dan ditahan oleh rejim Israel sejak 2 pagi tadi waktu Malaysia ketika menyertai Misi Global Sumud Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza. "Antara aktivis Malaysia yang ditahan, termasuklah dua anak jati Terengganu iaitu Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Ruysdi Ramli, yang telah bersama-sama menyertai misi bersejarah ini demi membela nasib rakyat Palestin," ujarnya. Untuk perkembangan terkini berhubung misi ini, orang ramai boleh merujuk laman rasmi Global Sumud Flotilla melalui media sosial mereka.    
02 Oct 25
184
Masjid Dibaiki Pulih, Solat Jumaat Di Surau – MAIDAM
Masjid Dibaiki Pulih, Solat Jumaat Di Surau – MAIDAM
SETIU, 2 Oktober 2025 – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) membenarkan Surau Kampung Baru Penarik mendirikan solat Jumaat bermula 3 Oktober ini, sebagai langkah sementara berikutan kerja-kerja baik pulih Masjid Kampung Penarik yang sedang dijalankan. Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, M Rozi Bidin, menjelaskan bahawa keputusan ini dibuat setelah mengambil kira faktor keselamatan dan keperluan jemaah setempat. "Kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau berkenaan adalah bersifat sementara sahaja sehingga kerja-kerja baik pulih Masjid Kampung Penarik siap dilaksanakan sepenuhnya. "Kebenaran menggunakan bangunan surau berkenaan bagi solat fardhu dan Jumaat mulai Asar 26 September 2025," katanya dalam satu kenyataan rasmi baru-baru ini. Beliau menegaskan bahawa penggunaan surau ini bukan satu penggantian kekal, tetapi penyelesaian segera yang diperlukan demi kemaslahatan umat Islam di kawasan tersebut. "Kita melihat keperluan mendesak bagi menyediakan ruang ibadah yang selamat. "Penggunaan surau ini adalah langkah sementara dan telah dipersetujui selepas penilaian menyeluruh dilakukan," jelasnya. Pengerusi Masjid Kampung Penarik, Azri Yusof, menyambut baik keputusan MAIDAM dan memaklumkan keadaan bumbung masjid yang rosak kini tidak lagi selamat untuk digunakan. "Saya menyambut baik usaha semua pihak bagi kerja-kerja baik pulih memandangkan struktur bangunan masjid di bahagian bumbung tidak selamat digunakan. "Orang ramai dan masyarakat boleh bersama mengimarahkan Surau Kampung Baru Penarik yang berjarak 600 meter dari Masjid Kampung Penarik," kata beliau. Beliau turut menyeru masyarakat agar terus menghidupkan surau tersebut sebagai pusat ibadah utama sepanjang tempoh pembaikan. "Kita galakkan semua jemaah hadir ke surau dan meneruskan amalan seperti biasa. "Walaupun lokasi berubah buat sementara waktu, semangat kekitaan perlu terus diperkukuh," ujarnya Jelas Azri, hebahan rasmi telah dilakukan bagi memastikan seluruh komuniti mendapat makluman tepat dan tidak berlaku kekeliruan. "Perisytiharan dan pemakluman juga telah dibuat pada solat Jumaat baru-baru ini oleh Pegawai Agama Daerah mengenai kebenaran berkenaan. "Makluman telah disampaikan secara langsung kepada jemaah bagi mengelakkan sebarang salah faham," jelasnya. Sementara itu, rata-rata jemaah menyambut baik penyelesaian ini dan berharap agar kerja pembaikan masjid berjalan lancar serta selesai mengikut jadual. Mereka menzahirkan sokongan terhadap usaha MAIDAM dan kepimpinan tempatan yang proaktif dalam memastikan ibadah Jumaat tidak terhenti walau diuji dengan kesulitan.
02 Oct 25
46
LTdL : Aiman Hampir Buat Kejutan
LTdL : Aiman Hampir Buat Kejutan
KEMAMAN, 1 Oktober - Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Aiman Rosli hampir membuat kejutan apabila mendahului sebahagian besar Perlumbaan pada saingan peringkat empat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025. Nur Aiman walaupun terpaksa akur menamatkan perlumbaan di tempat ke-110 daripada 118 pelumba apabila ditewaskan kelompok utama yang pada awalanya mendahului sehingga tiga kilometer terakhir. Aiman untuk edisi pada kali ini telah dinobatkan sebagai peserta paling menyerlah hasil aksi penuh berani yang dipamerkan sejauh 141.5 Kilometer (KM) dari Kuala Terengganu ke Kemaman, hari ini. Katanya, kejayaan menguasai sebahagian besar perlumbaan pada hari ini merupakan strategi yang diatur dari awal untuk melepaskannya dalam kelompok 'breakaway'. "Saya berjaya kutip dua mata penuh di zon pecutan, memenangi zon pendakian di Kijal dan akhirnya dapat gelaran pelumba paling menyerlah, jadi bagi saya tugasan saya hari ini sudah selesai," katanya, ketika ditemui pihak media, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut, Nur Aiman berkata dia juga berusaha keras untuk melepasi zon pendakian terakhir di Kijal. "Malangnya hajat nak menang belum kesampaian, tapi saya puas hati dapat memcuba," ujarnya. Dalam pada itu, katanya dia tidak berputus asa tetap mengintai peluang untuk cabaran yang masih berbaki empat peringkat lagi dan menyasarkan untuk kembali mencabar di peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini. "Itu laluan laju (pecutan) dari awal, memang sesuai dengan cara saya. Insya-Allah jika ada peluang saya akan cuba lagi. "Mengenai cabaran Bukit Fraser itu merupakan medan untuk pendaki, kalau saya boleh terlepas dalam 'breakaway', saya cuba. Kalau tidak, kita serah kepada pakar pendakian TSG," ujarnya lagi.      
01 Oct 25
105
Pelumba Basikal Antarabangsa Puji Keindahan Terengganu
Pelumba Basikal Antarabangsa Puji Keindahan Terengganu
KEMAMAN, 1 Oktober - Peringkat keempat Le Tour De Langkawi (LTdL) 2025 dari Kuala Terengganu ke Kemaman bukan sahaja menyajikan saingan sengit , malah turut meninggalkan kenangan indah buat pelumba pasukan Polti VisitMalta, Manuel Penalver yang menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua.  Beliau menyifatkan laluan dalam persaingan tersebut sejauh 141.5 kilometer membuatkannya terpesona dan menyifatkan Terengganu merupakan laluan yang tercantik dalam pengalamannya menyertai acara berbasikal di peringkat dunia. "Sangat cantik sepanjang laluan pantai, dapat dinikmati keindahannya dalam cuaca yang baik. "Lebih menyeronokkan penonton bersorak untuk kami sepanjang perlumbaan dan ia benar-benar merupakan sebuah tempat yang menarik,"ujarnya ketika ditemui pihak media, di sini.  Katanya, seluruh dunia akan dapat menyaksikan keindahan Terengganu sekiranya melihat pemandangan dari atas melalui sisi pandang dron. "Ia akan dapat dilihat lebih indan dan cantik. "Selepas ini kami tidak berbasikal, dan akan ambil kesempatan untuk menikmati pemandangan yang cantik ini sebelum menghadapi perlumbaan seterusnya,"katanya.  
01 Oct 25
3248
Hospital Mesra Ibadah KMI Lantik Ustaz Khusus Bimbing Pesakit
Hospital Mesra Ibadah KMI Lantik Ustaz Khusus Bimbing Pesakit
Keunikan utama Hospital Mesra Ibadah (HMI) di bawah syarikat Kerajaan Negeri, TDM Berhad melalui anak syarikatnya, KMI Healthcare Sdn. Bhd. ialah pelantikan pegawai agama khusus serta kakitangan terlatih bagi membimbing pesakit dari aspek kerohanian, selain rawatan moden yang disediakan.
01 Oct 25
38
Selain Surau, KMI Tawar ‘Silent Room’ Buat Agama Lain
Selain Surau, KMI Tawar ‘Silent Room’ Buat Agama Lain
Pelancaran Hospital Mesra Ibadah (HMI) di bawah rangkaian TDM Berhad melalui anak syarikatnya, KMI Healthcare, menjadi mercu tanda baharu dalam sektor kesihatan apabila menggabungkan rawatan moden dengan pendekatan berteraskan Maqasid Syariah serta rahmatan lil ‘alamin.
01 Oct 25
54
Laluan Utama di Kuala Terengganu Ditutup Sementara Sempena LTdL
Laluan Utama di Kuala Terengganu Ditutup Sementara Sempena LTdL
KUALA TERENGGANU, 30 September - Beberapa jalan utama di sekitar daerah Kuala Terengganu akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada penganjuran Jelajah Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTDL) 2025, pada 1 Oktober ini (Rabu). Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Supt Wan Mohd Zaki Wan Ismail, penutupan itu bagi memastikan kelancaran peringkat keempat kejohanan berprestij tersebut yang bermula di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu sebelum berakhir di Kemaman. "Penutupan akan bermula jam 9.30 pagi dengan laluan konvoi pelumba dijangka melalui kawasan ini sekitar jam 10 pagi. "Laluan yang terlibat ialah Dataran Batu Buruk, Jalan Sultan Mahmud, Jambatan Kuala Ibai, Chendering dan Sempadan Marang. "Semua jalan akan dibuka semula setelah konvoi selesai melintasi kawasan terlibat," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal serta menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan dan kelewatan. Tambahnya lagi, pengguna jalan raya juga diminta mematuhi arahan anggota polis yang bertugas sepanjang laluan perlumbaan demi menjamin keselamatan pelumba, penonton serta masyarakat setempat. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Terengganu di talian 09-6322243.
30 Sep 25
7025
'Perlu Kelulusan PBT Sebelum Buat Apa-apa' - Exco Tegur Syarikat Swasta
'Perlu Kelulusan PBT Sebelum Buat Apa-apa' - Exco Tegur Syarikat Swasta
KUALA TERENGGANU, 30 September - Kerajaan negeri menegaskan bahawa mana-mana syarikat perlu mendapatkan kelulusan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang kerja atau pemasangan struktur di tapak mereka. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pemasangan palang parkir automatik di Pulau Warisan baru-baru ini jelas dilakukan tanpa sebarang kebenaran daripada MBKT. "Semua benda-benda yang melibatkan perkara-perkara yang seperti itu, projek-projek ataupun kerja-kerja seperti itu perlu mendapat kelulusan daripada Majlis Bandaraya. "Dalam bahasa mudah, tidak boleh sesenang-senangnya untuk pasang palang atau apa sahaja tanpa kebenaran MBKT," katanya. Wan Sukairi Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) Balai Besar Sejahtera, Dungun, di sini, hari ini. Tambah Wan Sukairi, tindakan segera telah diambil MBKT sebaik sahaja menerima maklumat berhubung isu tersebut dengan menyita palang terbabit dalam tempoh beberapa jam selepas aduan diterima. Katanya, walaupun tapak terbabit berada di bawah pajakan sebuah syarikat, ia tetap tertakluk kepada undang-undang pihak berkuasa tempatan. "Pemilik pajakan dinasihatkan untuk merujuk dan membuat permohonan kepada MBKT terlebih dahulu. "Hanya selepas mendapat kelulusan, barulah pihak majlis akan menilai sama ada sesuatu projek boleh diteruskan atau sebaliknya," jelasnya. Isu berkenaan menjadi perhatian selepas pemasangan palang automatik di Pulau Warisan, Kuala Terengganu tular di media sosial yang lalu sebelum MBKT mengambil tindakan penguatkuasaan. Menurut MBKT dalam satu kenyataan, perbuatan tersebut adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 46(1)(a), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
30 Sep 25
154