KUALA NERUS, 5 Oktober – Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan sepakat untuk terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Katanya, beliau yakin seratus peratus bahawa parti komponen di bawah PN akan kekal utuh.
“Apa jua yang timbul itu saya difahamkan adalah masing-masing dengan hasrat memperkuatkan PN sebelum berdepan pilihanraya yang mungkin dalam tempoh setahun atau dua tahun akan datang.
“Lebih baik kita bincang sekarang ini walaupun nampak macam porak poranda, tetapi sebenarnya tidak, ini adalah perbincangan dalaman keluarga yang semuanya dalam ruang lingkup untuk memperkukuhkan PN. Jadi saya tidak ada kebimbangan tentang itu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai adakah PAS dan Bersatu akan kekal sebagai gabungan politik sehingga PRN-16 ekoran beberapa isu yang timbul termasuk berkaitan calon perdana menteri dan dana pilihan raya pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Kesejahteraan Pekerjaan & Keusahawanan Negeri Terengganu serta Pelancaran Pusat Cari Kerja @ Gerbang Kerjaya Negeri Terengganu, di Pusat Cari Kerja Terengganu, Jalan Lapangan Terbang, hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai persediaan PAS menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah setelah ada desas desus menyatakan berlaku pembubaran dalam masa terdekat, Ahmad Samsuri menyatakan PAS melalui PN telah mengadakan beberapa siri jelajah di Sabah.
“Ia bertujuan untuk menilai kekuatan dan menentukan kerusi mana yang akan ditandingi dalam pilihanraya yang mungkin diadakan dalam tempoh yang terdekat ini.
“Kita bersedia dan tengoklah macam mana, suasana potilik di Sabah sangat unik, dekat nak pilihanraya pun ada parti baru yang ditubuhkan,” ujarnya.
Tambah beliau, situasi tersebut merupakan perkara biasa di Sabah sejak puluhan tahun lalu.
“Politik Sabah sangat dinamik, walaupun begitu kita komited untuk bersama dalam pilihan raya di Sabah seterusnya bersama untuk melakukan polisi sekiranya menang dalam pilihan raya akan datang,” ujarnya.