lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Kerajaan Negeri Bantu Usahawan Wanita Manfaat Platform Digital
Kerajaan Negeri Bantu Usahawan Wanita Manfaat Platform Digital
Usahawan wanita di negeri ini disaran mengambil kesempatan dengan manfaatkan teknologi terkini termasuk menggunakan platform digital sebagai medium bagi mengembangkan lagi perusahaan mereka.
09 Oct 25
45
Kerajaan Negeri Bantu Usahawan Wanita Manfaat Platform Digital
Kerajaan Negeri Bantu Usahawan Wanita Manfaat Platform Digital
HULU TERENGGANU, 8 Oktober – Usahawan wanita di negeri ini disaran mengambil kesempatan dengan manfaatkan teknologi terkini termasuk menggunakan platform digital sebagai medium bagi mengembangkan lagi perusahaan mereka. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, pengetahuan dan kemahiran berkaitan teknologi terkini sangat penting dalam memastikan mereka tidak ketinggalan. Katanya, susulan itu Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu sentiasa memantau usahawan-usahawan ini termasuk menyediakan latihan, kursus, khidmat nasihat dan lain-lain agar mereka sentiasa berdaya saing. “Bidang perniagaan adalah sesuatu yang sangat fleksibel, walaupun kita lihat ramai usahawan wanita telah berjaya tetapi mereka perlu sentiasa diberikan latihan dan bimbingan dari semasa ke semasa memandangkan perkembangan teknologi terkini yang sangat laju. “Malah masih ada di kalangan usahawan wanita yang memerlukan bimbingan berterusan agar mereka bukan sekadar hanya berdaftar di platform digital tetapi juga mampu berjaya seperti orang lain dan inilah peranan kita untuk membantu mereka lebih maju ke hadapan,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Jejak Usahawan yang menyertai Program Usahawan Belia Sejahtera (UBES) di Ajil, semalam. Dalam pada itu, Ariffin turut menyeru usahawan Terengganu berdaftar dengan YPU walaupun sudah berbuat demikian menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi membolehkan mereka merebut pelbagai insentif yang disediakan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan.  
08 Oct 25
117
26 PKM Kini Dilengkapi S@MPAI, Strategi Baharu Bantu Rakyat Dapat Kerja
26 PKM Kini Dilengkapi S@MPAI, Strategi Baharu Bantu Rakyat Dapat Kerja
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober - Inisiatif Kerajaan Terengganu bagi memastikan rakyat negeri ini tidak terpinggir daripada peluang pekerjaan terus diperkasa apabila skrin Sistem Maklumat Pekerjaan Akar Umbi (S@MPAI) kini telah dipasang di 26 Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) seluruh negeri setakat September lalu. S@MPAI merupakan platform penyampaian maklumat pekerjaan yang diperkenalkan melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC), dengan pendekatan visual grafik interaktif yang dikemas kini secara harian. Ia menjadi saluran pilihan rakyat untuk mendapatkan maklumat pekerjaan dengan lebih cepat, tepat dan mesra pengguna. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, sistem berkenaan kini telah mula bersiaran setiap hari, menyalurkan pelbagai maklumat pekerjaan dalam dan luar negeri. “Selain maklumat kerja kosong, S@MPAI turut memaparkan maklumat berkaitan program pembangunan sumber manusia, peluang melanjutkan pelajaran serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk hebahan program setempat,” ujarnya ketika dihubungi pemberita. Menariknya, tambah beliau, beberapa buah masjid juga telah menyatakan minat untuk memasang sistem tersebut di lokasi masing-masing, menggambarkan penerimaan masyarakat terhadap pendekatan baharu ini. Mengulas lanjut, Ariffin berkata fungsi utama S@MPAI buat masa ini adalah untuk menyalurkan maklumat pekerjaan dan latihan kemahiran terus ke peringkat akar umbi, merangkumi daerah dan Dewan Undangan Negeri (DUN). “Kita berharap penyaluran maklumat ini dapat mengurangkan jurang maklumat (information gap) yang selama ini menjadi antara punca utama masalah pengangguran dalam kalangan rakyat,” jelasnya. Menurutnya, bagi memastikan seluruh rakyat negeri menikmati manfaat kemudahan ini, paparan aplikasi S@MPAI akan diperluas ke semua DUN melalui Pusat Khidmat Masyarakat secara berperingkat dalam masa terdekat. Langkah ini bukan sahaja memberi akses menyeluruh kepada maklumat kerjaya, malah selari dengan agenda pendigitalan Terengganu dalam memperkukuh sistem penyampaian maklumat secara inklusif dan efisien. Dengan pemasangan S@MPAI di lokasi strategik seperti PKM dan masjid, rakyat kini mempunyai akses segera kepada maklumat kerja tanpa perlu menunggu hebahan konvensional. Inisiatif ini dijangka memberi impak besar kepada pencari kerja, terutama golongan muda dan belia luar bandar, selain memperkukuh jaringan maklumat antara kerajaan negeri dan rakyat di peringkat akar umbi.
08 Oct 25
693
Wanita, Ibu Tunggal DUN Ladang Didedah Potensi Keusahawanan Agro
Wanita, Ibu Tunggal DUN Ladang Didedah Potensi Keusahawanan Agro
SETIU, 9 Oktober – Usaha memperkasakan wanita dan ibu tunggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang diteruskan apabila seramai 36 peserta dibawa melawat ke dua lokasi pertanian dan pemprosesan makanan di Setiu bagi membuka peluang keusahawanan baharu. Program anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Terengganu itu bertujuan memberi pendedahan sebenar kepada peserta terhadap potensi bidang agro makanan dan perusahaan kecil sederhana (PKS). Zuraida berkata, lawatan tersebut diharap menjadi pencetus semangat kepada golongan wanita untuk meningkatkan taraf hidup melalui bidang keusahawanan. “Semoga pengalaman ini menjadi pencetus semangat kepada peserta untuk berusaha memajukan diri dan keluarga,” katanya. Dalam program berkenaan, peserta melawat Pusat Pemprosesan, Pembungkusan dan Pemasaran (3P) Langkap, yang menempatkan operasi usahawan tempatan, Puan Norainii, yang berjaya mengkomersialkan produk makanan tradisional. Peserta turut mengikuti demonstrasi penyediaan kuih akok dan bahulu. Rombongan turut dibawa ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rhu Tapai, yang mengusahakan ladang betik seluas 10 ekar dengan lebih 5,000 pokok varieti Amira milik seorang anak muda tempatan.   
08 Oct 25
18
Terengganu Sambut Wira Sumud di Lapangan Terbang Sultan Mahmud
Terengganu Sambut Wira Sumud di Lapangan Terbang Sultan Mahmud
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober – Kerajaan Terengganu bakal meraikan kepulangan aktivis-aktivis kemanusiaan anak negeri yang menyertai Sumud Flotilla, sebuah misi antarabangsa membawa mesej solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin pada Khamis ini jam 2.30 petang.  Sambutan itu dijangka menjadi manifestasi sokongan rakyat negeri ini terhadap keberanian dan pengorbanan mereka yang dianggap wira rakyat Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, penyertaan rakyat Terengganu dalam misi tersebut membuktikan keprihatinan tinggi terhadap penderitaan rakyat Palestin dan semangat kemanusiaan yang tidak berbelah bahagi. Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa mengambil berat terhadap perjuangan rakyat Palestin serta menghargai keberanian aktivis yang menyertai misi berisiko itu. "Kita berbangga kerana ramai rakyat Malaysia terlibat, khususnya rakyat negeri Terengganu," ujarnya dalam kenyataan di Facebook rasmi beliau hari ini. Dr. Khalil turut menyifatkan para aktivis tersebut sebagai lambang keberanian dan suara rakyat negeri yang memperjuangkan keadilan sejagat.  "Kita menganggap mereka adalah wira rakyat Terengganu dan menjadi wakil kepada rakyat Terengganu untuk membela isu Palestin," tambah beliau. Mengulas lanjut, beliau memaklumkan kerajaan negeri akan mengadakan sambutan rasmi bagi meraikan kepulangan wira-wira terbabit.  "Kita akan mengadakan sambutan bagi menyambut kepulangan wira-wira kita," katanya sambil menyifatkan ia tanda penghargaan terhadap perjuangan anak Terengganu di pentas antarabangsa. Selain sambutan tersebut, Dr. Khalil turut mengumumkan tiga program utama berkaitan isu Palestin yang bakal berlangsung dalam tempoh terdekat.  "Pada 10 Oktober akan diadakan program Perarakan Bot menyokong perjuangan rakyat Palestin. "Pada 14 Oktober pula, program Maulid Akbar Untuk-Mu Al-Aqsa akan diadakan, manakala 17 Oktober akan berlangsung Ceramah Taufan Al-Aqsa yang bakal dihadiri tokoh-tokoh utama termasuk Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, yang akan menyampaikan ucaptama pada malam tersebut," jelasnya. Dr. Khalil menyeru rakyat Terengganu agar terus berdiri teguh bersama perjuangan rakyat Palestin melalui doa, sokongan dan tindakan nyata, sebagai bukti keutuhan solidariti umat Islam sejagat.
07 Oct 25
10147
Kerajaan Negeri Jumpa PR1MA Teroka Jalan Siapkan Projek Terbengkalai
Kerajaan Negeri Jumpa PR1MA Teroka Jalan Siapkan Projek Terbengkalai
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Batu Rakit yang kini masih terbengkalai dijangka 'hidup' kembali selepas kerajaan negeri mengadakan perbincangan bersama Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA). Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata perbincangan itu bertujuan bagi meneroka semula potensi projek tersebut. Tambah beliau, pertemuan rasmi bersama pengurusan PR1MA turut membincangkan hala tuju dan peluang kerjasama baharu dalam pembangunan perumahan mampu milik di Terengganu. "Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa komited dalam usaha membangunkan dan menyediakan kemudahan perumahan yang selesa serta mampu milik untuk rakyat. "Komitmen ini dizahirkan melalui pelbagai inisiatif dan kerjasama strategik bersama agensi persekutuan dan pihak berkaitan bagi memastikan setiap rakyat khususnya golongan B40 dan M40 berpeluang memiliki rumah sendiri. "Pertemuan ini turut menumpukan kepada potensi tapak baharu untuk dimajukan serta cadangan meneruskan semula Projek PR1MA di Batu Rakit," katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya, semalam. Turut bersama dalam kunjungan rasmi itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili dan delegasi daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan (Bahagian Perumahan). Menurutnya lagi, kerajaan negeri optimis bahawa kerjasama erat dengan PR1MA akan membuka ruang lebih luas bagi pelaksanaan projek perumahan berkualiti di seluruh Terengganu. "Kerajaan negeri optimis bahawa melalui kerjasama erat dengan PR1MA, lebih banyak projek perumahan berkualiti dan mampu milik dapat direalisasikan di negeri ini. "Seterusnya membantu meningkatkan taraf hidup rakyat serta memperkukuh kesejahteraan komuniti, insya-Allah," ujarnya. Projek PR1MA Batu Rakit yang diumumkan pada tahun terdahulu sebelum ini dirancang membabitkan 350 unit kediaman berharga antara RM195,000 hingga RM241,000 dengan keluasan 850 kaki persegi. Ia merupakan skim projek perumahan yang telah dilancarkan pada 4 Julai 2011 oleh mantan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak dan dipertanggungjawabkan kepada PR1MA Corporation Malaysia sebagai pemaju. Perumahan itu sebelum ini dirancang untuk mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air. Antara kemudahan lain disediakan ialah surau berhampiran pantai,  dewan komuniti serta bilik pengurusan jenazah. Namun, projek di Batu Rakit itu terpaksa dihentikan selepas mencatat kadar tempahan rendah (10 peratus tempahan) dan isu lokasi berhampiran pantai yang terdedah kepada masalah hakisan.
07 Oct 25
4416
Terengganu Salur Bantuan RM1.99 Juta Buat Calon Peperiksaan Awam
Terengganu Salur Bantuan RM1.99 Juta Buat Calon Peperiksaan Awam
Kerajaan Terengganu terus komited memperkukuh masa depan pendidikan negeri dengan menyalurkan bantuan one-off berjumlah RM1.99 juta kepada 19,932 calon peperiksaan awam di seluruh negeri sebagai dorongan semangat menjelang peperiksaan tahun 2025.
07 Oct 25
41
Air Bawah Tanah Perlu Jadi Sumber Strategik dan Diurus Secara Mampan - Ahmad Amzad
Air Bawah Tanah Perlu Jadi Sumber Strategik dan Diurus Secara Mampan - Ahmad Amzad
KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Air bawah tanah perlu dijadikan sumber bekalan strategik negara dan diurus secara mampan bagi menjamin keselamatan bekalan air jangka panjang, tegas Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Alam Sekitar, Sains dan Perladangan (JKP), Datuk Ahmad Amzad Hashim. Ketika sesi Penerangan Penyata DR.20 Tahun 2025 berhubung Potensi dan Hala Tuju Air Bawah Tanah di Malaysia di Dewan Rakyat semalam, beliau menekankan bahawa penggunaan air bawah tanah secara konjunktif bersama air permukaan dapat meningkatkan kecekapan sistem bekalan air negara dan berfungsi sebagai sumber simpanan penting ketika musim kemarau atau krisis air. “Jawatankuasa mengesyorkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menjadikan air bawah tanah sebagai sumber bekalan strategik negara, khususnya sebagai simpanan jangka panjang yang boleh diaktifkan semasa musim kemarau atau situasi kecemasan,” katanya. Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu turut menjelaskan bahawa Malaysia mempunyai potensi besar sumber air bawah tanah, namun tahap penggunaannya masih rendah. Katanya, negara kini berdepan cabaran pengurusan sumber air, tekanan pembangunan pesat serta kesan perubahan iklim yang menyebabkan pengurangan hujan tahunan sehingga 22 peratus. Beliau berkata, perkara tersebut antara yang diperincikan dalam lapan syor utama jawatankuasa, merangkumi tiga syor bagi pengurusan sumber air bawah tanah, dua bagi teknologi dan inovasi, serta tiga lagi berkaitan tadbir urus dan perancangan strategik. Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan penerapan teknologi moden seperti Internet Benda (IoT), Kecerdasan Buatan (AI) dan Kembar Digital (Digital Twin) bagi memperkukuh pemantauan serta pengurusan sumber air bawah tanah secara bersepadu. Semalam, penyata berkenaan turut dibahaskan oleh beberapa Ahli Parlimen termasuk Tan Hong Pin (PH–Bakri), Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN–Sik), Onn Abu Bakar (PH–Batu Pahat), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN–Machang) dan Muhammad Islahuddin Abas (PN–Mersing).
07 Oct 25
67
Ahmad Amzad Bawa Usul Tergempar Di Dewan Rakyat Berhubung Jemputan Trump
Ahmad Amzad Bawa Usul Tergempar Di Dewan Rakyat Berhubung Jemputan Trump
KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, telah mengemukakan satu usul tergempar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi membahaskan tindakan kerajaan menjemput bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur hujung bulan ini. Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) itu dikemukakan secara rasmi semalam (6 Oktober) dan menuntut agar perkara tersebut disegerakan untuk perbahasan memandangkan ia melibatkan kepentingan awam dan maruah negara. Menurut Ahmad Amzad, usul itu didorong oleh keperluan mendesak untuk Dewan Rakyat menyatakan pendirian rasmi berhubung jemputan kepada seorang tokoh yang terkenal dengan dasar pro-Israel, termasuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan menyokong penempatan haram Zionis. "Usul ini adalah perkara tertentu kerana ia melibatkan tindakan rasmi Kerajaan Malaysia menjemput individu yang secara terbuka menyokong rejim zionis Israel," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini. Beliau menegaskan bahawa isu ini turut melibatkan kepentingan awam kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam, terutamanya selepas insiden kekejaman rejim Zionis terhadap Global Sumud Flotilla yang turut disertai sukarelawan dari Malaysia. "Kehadiran Trump boleh menimbulkan persepsi bahawa Malaysia mengabaikan penderitaan rakyat Palestin dan tunduk kepada kuasa yang secara terbuka melindungi Zionis," ujar beliau. Gesaan untuk menyegerakan perbahasan ini dibuat kerana Sidang Kemuncak ASEAN akan berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober, iaitu kurang dari sebulan lagi. Menurut Ahmad Amzad, tanpa ketetapan daripada Parlimen, tindakan kerajaan itu berisiko menjejaskan imej dan prinsip dasar luar Malaysia di persada antarabangsa, khususnya di mata dunia Islam. "Saya memohon agar Dewan yang mulia ini membahas perbahasan ini dengan segera bagi menyatakan pendirian rasmi bahawa Malaysia menolak sebarang penghormatan terhadap individu yang menyokong kezaliman Zionis serta menegaskan komitmen negara terhadap perjuangan kemanusiaan sejagat dan solidariti bersama rakyat Palestin," tambahnya. Beliau berharap agar Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato' (Dr.) Johari bin Abdul, akan meluluskan usul tersebut untuk dibahaskan demi menjaga pendirian tegas negara terhadap isu Palestin dan keadilan global. "Malaysia mesti berdiri di sisi kebenaran walau siapa pun tetamu yang datang," tegasnya.
07 Oct 25
77
Terengganu Antara Enam Negeri Berisiko Gempa Bumi
Terengganu Antara Enam Negeri Berisiko Gempa Bumi
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Terengganu termasuk antara enam negeri di Malaysia yang dikenal pasti terdedah kepada ancaman gempa bumi berdasarkan kajian terkini Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Peta Seismotektonik Malaysia. Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato' Sri Huang Tiong Sii, berkata selain Terengganu, negeri lain yang turut berada dalam zon berisiko ialah Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak. Menurut beliau, pemetaan sesar aktif oleh JMG menunjukkan kewujudan zon sesar di enam negeri tersebut yang berpotensi mencetuskan gegaran bumi, meskipun dalam skala rendah hingga sederhana. "Pengemaskinian Peta Bahaya Seismik Malaysia dengan mengambil kira maklumat terkini seperti kejadian gempa bumi yang melanda beberapa kawasan baru-baru ini, kewujudan sesar aktif bahan geologi dan maklumat siasatan tanah," katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini. Antara yang turut bekerjasama dalam pengemaskinian Peta Bahaya Seismik Malaysia terbitan JMG itu termasuklah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), universiti tempatan serta agensi berkaitan. Menjawab pertanyaan mengenai gegaran berulang di Segamat dan Batu Pahat, Huang menjelaskan kejadian itu merupakan proses pelarasan semula tenaga tektonik yang terkumpul dalam sesar kuno bagi menstabilkan kerak bumi. "Berdasarkan data sedia ada dan terbaharu, Segamat khususnya dan Johor amnya masih berada dalam zon selamat," jelasnya. Dalam masa sama, kerajaan melalui JMG dan MetMalaysia terus bekerjasama dalam pemantauan aktiviti seismik bagi memastikan sistem amaran dan tindak balas bencana berfungsi dengan berkesan. Huang turut memaklumkan bahawa Projek Pemerkasaan Perkhidmatan Gempa Bumi dan Tsunami Fasa 2 akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang merangkumi pengukuhan 12 stesen seismik di seluruh negara serta pembinaan dua stesen baharu di Segamat dan Muar, Johor. "Projek itu merangkumi pengukuhan 12 stensen seismik di seluruh negara termasuk pembinaan dua stesen baharu di Segamat dan Muar, Johor serta menaik taraf empat stesen sedia ada di Johor Bahru, Batu Pahat dan Gelang Patah daripada jenis 'strong to weak motion' untuk mengesan gegaran bermagnitud lemah," katanya.
06 Oct 25
2349