KUALA NERUS, 12 Oktober – Pihak berkuasa tempatan melaksanakan kerja-kerja penebangan pokok besar di sepanjang laluan Pengkalan Atap–Mengabang Lekor, susulan kekerapan insiden kemalangan maut yang pernah berlaku di kawasan tersebut sebelum ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, tindakan itu merupakan langkah proaktif bagi memastikan keselamatan penduduk setempat dan pengguna jalan raya, di samping mengurangkan risiko kemalangan akibat pokok tumbang pada masa akan datang.
“Setakat ini, semua pokok yang dikenal pasti berisiko telah berjaya ditebang, kecuali satu pokok terakhir yang belum dapat ditebang atas faktor teknikal tertentu,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi, baru-baru ini.
Bagi menyelesaikan isu pokok yang masih belum ditebang itu, Ahli Majlis MBKT, Che Sulaiman Ismail, bersama Pengarah Kejuruteraan MBKT, Zahiruddin, serta pasukan teknikal telah turun padang untuk meneliti keadaan sebenar dan mengemukakan permohonan rasmi bagi melaksanakan kerja penebangan baki pokok berkenaan.
Pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) turut memberi jaminan bahawa tindakan susulan akan diambil dalam masa terdekat bagi menjamin kesejahteraan serta keselamatan komuniti setempat, selaras dengan keutamaan pihak berkuasa terhadap keselamatan awam.