Artikel "Semasa" Terkini
Kedah Perkasa Dasar Wanita, Terengganu Jadi Rujukan
Kedah sedang merangka pelaksanaan Dasar Wanita Negeri Kedah yang dijadual dilancarkan pada penghujung tahun ini, dengan mengambil kira pelbagai input dan pengalaman terbaik hasil lawatan kerja ke Terengganu selama dua hari.
03 Aug 25
35
Pasar Payang Bakal Beroperasi Hingga 12 Malam
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos – Langkah menjadikan Pasar Payang sebagai lokasi pelancongan malam dijangka membuka lembaran baharu dalam usaha memperkasa ekonomi tempatan dan menyemarakkan nilai budaya negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kerajaan negeri bercadang memanjangkan waktu operasi Pasar Payang sehingga jam 12 malam sebagai usaha memenuhi permintaan pelancong dan rakyat.
"Kita minta dan mencadangkan supaya buat jualan sehingga jam 12 malam, selama ini setakat jam 6 petang sahaja.
"Disebabkan ada permintaan yang luar biasa, kita bakal buka dalam masa seminggu dua lagi setelah jabatan pelancongan menyediakan pencahayaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media, dalam sesi walkabout di Pasar Payang sempena agihan Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-48, yang turut dihadiri bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Jusman Ibrahim, di sini hari ini.
Menurut beliau, inisiatif ini bakal dimulakan secara berperingkat pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad dengan kerjasama padu antara MBKT dan para peniaga.
"Apabila kita tanya kepada para peniaga, mereka boleh bersedia.
"Pihak kerajaan memang menyokong penuh untuk beri pendapatan lebih kepada pekedai dan akan dibimbing sisi oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu," jelasnya lagi.
Razali berkata, pelaksanaan waktu malam ini akan melibatkan kedua-dua Pasar Payang 1 dan Pasar Payang 2, demi memastikan limpahan manfaat dirasai secara menyeluruh oleh para peniaga.
"Kita akan cadang kepada kedua pasar, Pasar Payang 1 dan Pasar Payang 2.
"Saya sendiri dapat lihat, memang begitu ceria sekali para peniaga, dan ramai yang sudah berniaga hingga 30-40 tahun serta diwarisi anak cucu," ujarnya.
03 Aug 25
1594
UBSNT Sokong Usaha Wujudkan Padanan Kerja Tangani Pengangguran
SENAI, 3 Ogos – Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT) menyatakan sokongan penuh terhadap usaha berterusan Kerajaan Terengganu dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia melalui program padanan kerja bersama pelbagai pihak industri.
Pengarah UBSNT, Muhammad Irsyad Syafiq berkata, program padanan kerja yang dilaksanakan menerusi Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) sejak penubuhannya pada tahun 2019 telah membuktikan keberkesanan dalam menangani masalah pengangguran di negeri ini.
Menurut beliau, ramai anak muda Terengganu telah berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor termasuk industri berteknologi tinggi seperti di Syarikat FOZ One yang beroperasi di Johor.
“Kerajaan negeri melalui pelbagai agensi terus memainkan peranan secara aktif dan menyeluruh dalam mencari serta mencipta peluang pekerjaan kepada anak-anak muda Terengganu.
“Kita tidak hanya tertumpu kepada sektor pekerjaan tradisional, sebaliknya turut memberi perhatian terhadap bidang baharu seperti teknologi digital, industri kreatif, keusahawanan sosial dan ekonomi gig yang kian berkembang,” katanya baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata kejayaan program padanan kerja yang telah membolehkan seramai 400 anak Terengganu bekerja di syarikat tersebut menjadi bukti bahawa golongan muda negeri ini berpotensi besar untuk menguasai pelbagai bidang pekerjaan sekiranya diberikan pendedahan dan peluang secukupnya.
“Usaha ini bukan sekadar menyediakan peluang pekerjaan, malah membuka minda mereka terhadap dunia luar serta memperkukuh kemahiran agar mereka mampu menjadi pemimpin dan mencorakkan masa depan negeri,” jelas beliau.
03 Aug 25
175
RMK13: Wajar Fokus Sektor Berimpak Tinggi Pantai Timur- Amzad
KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menzahirkan penghargaan atas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri hari ini, namun dalam masa sama menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa keutamaan pembangunan yang tidak diberi perhatian sewajarnya, khususnya di Pantai Timur.
Menurut beliau, antara kekecewaan utama ialah ketiadaan sebarang pengumuman berhubung projek Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) yang menghubungkan Gemuroh, Terengganu ke Kelantan, meskipun ia pernah diumumkan sebelum ini sebagai projek infrastruktur penting.
“Setiap kali musim perayaan, pengguna dari Kelantan ke Kuala Lumpur terpaksa menempuh kesesakan teruk sebelum sampai ke Gemuroh. LPT3 sepatutnya menjadi keutamaan untuk mengurangkan beban perjalanan rakyat dan memacu sambungan antara negeri secara lebih efisien,” tegas beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, beliau turut menyentuh tentang keperluan kerajaan memberi fokus yang lebih menyeluruh terhadap sektor berimpak tinggi di Pantai Timur seperti tenaga boleh diperbaharui, pelabuhan perindustrian dan teknologi hijau, bukan sekadar menumpukan kepada sektor pertanian semata-mata.
“Memang benar pertanian penting untuk sekuriti makanan negara, tetapi ia tidak cukup untuk mengangkat negeri seperti Terengganu dan Kelantan keluar daripada kelompok yang rendah sumbangan kepada KDNK negara,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketiadaan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan hab tenaga boleh diperbaharui di Terengganu yang pernah diumumkan Perdana Menteri sebelum ini.
Begitu juga dengan peranan strategik Pelabuhan Kemaman yang dijangka menjadi kawasan pertumbuhan baharu apabila disambungkan dengan spurline ECRL, namun tidak disebut dalam pembentangan.
“Malah, inisiatif berkaitan Carbon Capture and Utility Storage (CCUS) yang sebelum ini dibawa oleh Kementerian Ekonomi dan dikatakan mampu merancakkan pelaburan berimpak tinggi juga tidak dijelaskan. Sama juga halnya dengan potensi eksploitasi mineral nadir bumi – semuanya senyap tanpa penjelasan dalam RMK13,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa peluang pekerjaan bernilai tinggi perlu diperluas di Pantai Timur, memandangkan modal insan dari rantau tersebut sering membuktikan kecemerlangan dalam bidang akademik.
“Tanpa sektor high-tech dan berpendapatan tinggi yang mampu menampung graduan tempatan, rakyat kita tiada pilihan selain berhijrah ke luar negeri. Sektor pertanian yang tidak diautomasikan hanya mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada pekerja asing,” katanya.
Beliau berharap segala keperluan mendesak yang diketengahkan dapat dipertimbangkan secara serius dalam pelaksanaan RMK13 demi memastikan pembangunan yang lebih seimbang dan inklusif.
02 Aug 25
162
FOZ One Dipelawa Buka Kilang Pembuatan Moden di Terengganu
SENAI, 1 Ogos – Kerajaan Terengganu telah mengemukakan jemputan rasmi kepada FOZ One Sdn Bhd, sebuah syarikat pembuatan moden, untuk mempertimbangkan pembukaan kilang di negeri ini sebagai langkah memperluas ekosistem industri dan memperkasakan peluang pekerjaan tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, tawaran tersebut disampaikan semasa sesi lawatan dan rundingan awal bersama pihak pengurusan syarikat berkenaan telah menunjukkan reaksi positif terhadap cadangan tersebut.
“Saya telah berbincang dengan pihak pengurusan tadi. Mereka menyatakan kesediaan namun masih perlu meneliti beberapa aspek berkaitan, terutamanya yang melibatkan rantaian bekalan.
“Buat masa ini, belum ada keputusan muktamad dalam masa terdekat, tetapi mereka tidak menolak kemungkinan untuk membuka operasi kilang di Terengganu,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.
Mengulas lanjut katanya, Terengganu sentiasa berusaha dalam menarik pelaburan dalam memastikan peluang pekerjaan akan dapat disediakan untuk rakyat negeri ini dalam usaha memajukan negeri ini.
Terdahulu, syarikat FOZ One yang dahulunya dikenali sebagai MyBrush Group merupakan syarikat pengeluar berus teknikal kepada entiti pembutan berteknologi tinggi yang memiliki potensi besar berkembang ke pasaran global telah diasaskan pada tahun 2004 oleh Datuk Lee Fook Yuen.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif Syarikat berkata syarikat itu bermula sebagai pengeluar khusus berus turfting berketepatan tinggi, memenuhi keperluan hampagas kediaman antarabangsa terkemuka.
Terdahulu, lawatan tersebut turut disertai oleh wakil Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC), bertujuan memperkukuh usaha negeri dalam menarik pelaburan strategik yang mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
FOZ One Sdn Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai MyBrush Group, merupakan syarikat pengeluar berus teknikal untuk pelbagai entiti pembuatan berteknologi tinggi dan memiliki potensi besar dalam pasaran global.
Ditubuhkan pada tahun 2004 oleh Datuk Lee Fook Yuen yang kini merupakan Pengerusi Eksekutif syarikat, FOZ One bermula sebagai pengeluar berus tufting berketepatan tinggi untuk jenama hampagas kediaman antarabangsa terkemuka.
Ariffin turut menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa komited dalam usaha memperkukuh ekonomi dan pembangunan sumber manusia menerusi pelaburan berkualiti tinggi dan berimpak besar untuk masa depan rakyat Terengganu.
01 Aug 25
937
Terengganu, FOZ One Perkukuh Kerjasama
SENAI, 1 Ogos - Kerajaan Terengganu memperkukuhkan kerjasama dengan syarikat pengeluar peralatan elektrik rumah, FOZ One dengan mengadakan lawatan industri ke syarikat terbabit semalam.
FOZ One, yang dahulunya dikenali sebagai MyBrush telah menyediakan pekerjaan kepada 400 anak Terengganu melalui program padanan kerja yang diadakan pada tahun 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata lawatan itu adalah bagi melihat sendiri keadaan kilang tersebut sekali gus menyantuni kesemua pekerja.
"Alhamdulillah, melalui program 'outreach' yang kita lakukan dahulu mereka telah memberi peluang pekerjaan yang sangat baik kepada anak Terengganu.
"Jadi apa yang penting pada hari ini (semalam) adalah untuk kita melihat sendiri dari segi perjalanan operasi kilang ini serta kita hendak jumpa sendiri dengan anak Terengganu.
"Dalam lawatan ini kita telah berpeluang melihat bagaimana kilang ini beroperasi dalam menghasilkan peralatan pembersihan berkualiti tinggi," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas mengadakan lawatan ke kilang tersebut bersama Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC).
Turut hadir, Pegawai Eksekutif THRDC, Aminuddin Omar, Pengasas FOZ One, Datuk Lee Fook Yuen.
Lawatan itu turut melibatkan Institusi Pengajian Tinggi dari Terengganu antaranya Universiti Malaysia Terengganu, Latihan Perindustrian (ILP) Terengganu, TESDEC, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, TATI UC, ADTEC Kemaman, Universiti Sultan Zaninal Abidin (UniSZA).
Dalam pada itu, Ariffin berkata pihaknya juga turut berhasrat menyediakan lagi 300 orang anak Terengganu yang akan bekerja di syarikat terbabit melalui peluang yang disediakan.
Sementara itu, anak Terengganu, Ridhwan Zulkifli, 28, dari Dungun yang bekerja di syarikat itu sangat bersyukur kerana ditempatkan untuk bekerja di syarikat itu setelah menghadiri program padanan kerja yang dilakukan oleh Terengganu pada tiga tahun yang lalu.
"Alhamdulillah, saya diberikan gaji yang sangat baik serta kemudahan yang sangat lengkap dengan apa yang saya perolehi sekarang ini dapat membela nasib diri serta keluarga," ujarnya.
Nor Fashilin Azhara, 31 dari Kuala Nerus pula berkat, a usaha Terengganu untuk menghantar lagi anak Terengganu berkerja di syarikat itu sangat-sangat dialu-alukan.
"Mereka sangat menjaga kebajikan pekerja serta menyediakan ruang pekerjaan yang cukup selesa.
"Hubungan baik antara kerajaan negeri dan syarikat FOZ One ini pula menjadi nilai tambah yang sangat bermakna buat kami anak Terengganu yang bekerja di sini," ujarnya.
01 Aug 25
531
Terengganu Bangun Kolam Air Panas Kedua
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Kerajaan negeri bakal membangunkan kolam air panas kedua dikenali sebagai Cek Mek Hot Spring selepas penemuannya di Ladang Cenderung Putera North, Ban Hol, Cerul, Kemaman awal tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, selepas La Hot Spring di Besut, lokasi itu akan dibangunkan sebagai tarikan baharu pelancongan negeri.
"Insya-Allah, kawasan ini boleh dibangunkan sebagai destinasi eko-pelancongan utama di Terengganu. Keindahan alam semula jadinya turut memberi pengalaman yang menenangkan kepada para pengunjung.
"Sumber air panas semula jadi di sini sangat sesuai dijadikan lokasi santai dan rawatan kesihatan alternatif. Selain menarik minat pelancong, kawasan ini juga berpotensi membantu menjana ekonomi penduduk setempat," ujarnya.
Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Renjer Sedunia 2025 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
Menurut Razali, lokasi tersebut terletak kira-kira 20 kilometer dari kawasan hutan iaitu di ladang kelapa sawit dan hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
"Kami telah meninjau sendiri keunikan dan potensi kawasan tersebut yang difahamkan menempatkan lebih 10 mata air aktif dan suhu air panasnya hampir sama dengan La Hot Spring," ujarnya.
Jelas beliau lagi, kerajaan negeri kini sedang meneliti pihak-pihak berkepentingan termasuk pemegang taruh yang terlibat dalam kawasan tersebut sebelum sebarang pembangunan dimulakan.
"Malah taklimat awal telah diberikan kepada Pejabat Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai langkah awal pembangunan," ujarnya.
31 Jul 25
2735
Tertinggi di Malaysia, Terengganu Catat 73,051 Pegangan Pertanian
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan Terengganu memiliki 73,051 pegangan pertanian dengan sektor ternakan sebanyak 12,018 yang juga merupakan rekod tertinggi di Malaysia bagi tahun rujukan 2023.
Jumlah tersebut merangkumi 99.1 peratus dimiliki individu dan hanya 0.9 peratus oleh pertubuhan dengan 58,435 melibatkan tanaman, diikuti ternakan (12,018), perikanan tangkapan (3,013), akuakultur (988), serta perhutanan dan pembalakan (195).
Walau bagaimanapun, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim, angka tersebut tidak selari dengan peningkatan ekonomi pemain industri pertanian skala sara hidup, khususnya golongan B40.
Dr. Azman ibrahim (kanan) dan Dr. Mohd Uzir (kiri)
"Alhamdulillah, di Terengganu kita tengok dari segi individu yang terlibat dalam pertanian, dalam bidang penternakan, angka kita adalah besar. Tapi hasil kita tidak tinggi. Kita tidak berpuas hati dengan bilangan rakyat yang terlibat dalam sektor-sektor yang kita sebut tadi.
"Kalau kita tengok dari segi data tanah sekalipun, di Terengganu ini kelompok yang berada dalam kelompok B40 boleh dikatakan semua ada tanah sekitar seekar sekeluarga. Tapi mereka masih berada dalam kelompok B40, kenapa?.
"Kerana dulu orang-orang tua berfikir jika kita tanam serba sedikit cukup sekadar supaya anak cucu boleh makan. Tak payah beli. Hasil yang dapat, nak makan tak habis tetapi bila nak jual ianya terlalu sedikit," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, semalam.
Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin serta Pengarah DOSM negeri Terengganu, Marlini Sahul Hamid.
Namun, beliau berkata, melalui data bancian terkini daripada DOSM yang lebih tepat, kerajaan negeri kini mampu untuk mentafsirkan data itu kepada pelaksanaan dasar yang lebih tepat serta bermanfaat kepada rakyat.
"Data ini sebenarnya satu input yang sangat penting untuk kita nak merangka bagaimana kita nak meningkatkan ekonomi rakyat.
"Dan mungkin selepas ini kita boleh libatkan syarikat-syarikat dalam bentuk 'anchor' Kemudian, rakyat kita bekerja di bawah dia dalam skala yang kita boleh kata skala komersial.
"Sekurang-kurangnya pendapatan (golongan B40) itu akan meningkat di atas paras kemiskinan. Itu dia antara sumbangan awal yang saya boleh sebut bagaimana kita nak memanfaatkan data dalam bentuk tindakan.
Dalam pada itu, Dr. Azman turut menyuarakan harapan beliau untuk membuang stereotaip umum yang beranggapan industri pertanian tidak menjamin masa depan, terutamanya dalam kalangan belia.
31 Jul 25
3986
Terengganu-Gemilang Meterai Perjanjian Perlombongan, Sedia 200 Peluang Kerja
KUALA LUMPUR, 31 Julai – Semua hasil bumi negeri ini mesti dinikmati rakyat secara menyeluruh dengan pulangan ekonomi dikembalikan kepada komuniti setempat, tegas Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Kerajaan Terengganu menerusi Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) memeterai satu Perjanjian Pajakan Perlombongan bersama Gemilang Mining Sdn. Bhd. bagi membangunkan sektor perlombongan negeri secara tersusun dan berimpak tinggi kepada ekonomi rakyat.
Menurut beliau, kerjasama ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk mengaktifkan semula kawasan berpotensi tinggi dalam sektor perlombongan, seterusnya menjana hasil dan manfaat langsung kepada rakyat.
"Perjanjian ini membuka ruang kepada penerokaan dan pembangunan potensi sektor perlombongan di negeri ini secara tersusun.
"Ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk menggerakkan semula kawasan berpotensi tinggi bagi menjana hasil dan manfaat kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan Perlombongan antara LTAWNT dan Gemilang Mining Sdn. Bhd., yang turut dihadiri kepimpinan tertinggi negeri, di sini semalam.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa pentadbiran negeri berpegang kepada prinsip memastikan hasil bumi Terengganu memberi manfaat sebenar kepada rakyat.
"Kerajaan Negeri akan terus memastikan hasil negeri dipacu ke arah pembangunan yang berkesan.
"Kita tidak boleh biarkan peluang berlalu begitu sahaja. Apa yang ada di bumi Terengganu, mesti kembali kepada rakyat Terengganu," ujarnya.
Tambahnya, projek ini juga dijangka membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan secara meluas, khususnya dalam kategori tenaga mahir seperti jurutera, ahli geologi dan operator loji.
"Projek ini dijangka membuka peluang pekerjaan, dengan tumpuan kepada penglibatan rakyat Terengganu.
"Syarikat turut menyasarkan penglibatan sekurang-kurangnya 80 peratus tenaga kerja tempatan," katanya lagi.
Dalam masa sama, kerjasama strategik itu dijangka memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat sekitar kawasan operasi melalui pelibatan sektor makanan, peruncitan, penyediaan penginapan dan perkhidmatan berkaitan.
"Kerjasama ini juga dijangka membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat sekitar, khususnya di kawasan operasi.
"Sektor makanan dan minuman, peruncitan, penyediaan penginapan, perkhidmatan kenderaan serta pembekalan bahan binaan tempatan dijangka mendapat manfaat langsung daripada kehadiran projek ini," jelasnya.
Beliau turut memaklumkan, syarikat pelaksana turut merancang membina kemudahan kediaman dan kantin bagi kakitangan projek sebagai sumbangan kepada pembangunan infrastruktur setempat.
"Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan projek, syarikat turut merancang membina kemudahan kediaman dan kantin kakitangan.
"Ia secara tidak langsung akan menyumbang kepada pembangunan infrastruktur setempat serta persekitaran kerja yang lebih teratur dan selamat," katanya.
Langkah ini, jelasnya, selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memperkukuh ekonomi rakyat melalui pemerkasaan aset semula jadi negeri secara bertanggungjawab dan beretika.
31 Jul 25
2667
Kenyir Rangers Kawal, Lindung Sumber Alam
KUALA TERENGGANU, 31 Julai – Pasukan Pemantauan Tasik Kenyir yang ditubuhkan pada tahun 1997 dijenamakan semula kepada nama baharu iaitu Kenyir Rangers.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, usaha tersebut mencerminkan keseriusan kerajaan negeri dalam melindungi dan memulihara khazanah biodiversiti di Tasik kenyir.
“Pemerkasaan pasukan Kenyir Rangers adalah berdasarkan justifikasi perubahan peranan agensi-agensi yang berada di bawah pasukan Kenyir Rangers sebelum ini.
“Serta kewujudan agensi baharu di Tasik Kenyir seperti Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTNT) dan Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) yang juga memainkan peranan penting dalam usaha pengawalan dan perlindungan sumber alam,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Renjer Sedunia 2025 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, sehingga kini pasukan Kenyir Rangers dianggota oleh 16 agensi melibatkan MPTNT, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) serta LAUT.
“Selain Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Pejabat Tanah Hulu Terengganu, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Terengganu, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.
“Termasuk juga, Jabatan PERHILITAN Negeri Terengganu, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Majlis Daerah Hulu Terengganu, Jabatan lmigresen Negeri Terengganu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Terengganu, Jabatan Kastam DiRaja Negeri Terengganu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan Tenaga Nasional Berhad (TNB),” ujarnya.
Menurut Razali, pasukan Kenyir Rangers ditubuhkan bertujuan untuk mengadakan satu sistem kawalan bagi memastikan semua aktiviti pembangunan di Tasik Kenyir mengikut undang-undang dan syarat-syarat yang ditetapkan.
“Ia juga bagi mewujudkan satu sistem kawalan yang berkesan dan efektif supaya semua tindakan penguatkuasaan undang-undang di Tasik Kenyir dapat diselaraskan.
“Disamping memelihara khazanah negeri dan segala aset yang amat berharga di seluruh Tasik Kenyir supaya tidak dicerobohi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Razali berkata, pasukan Kenyir Rangers turut dibantu oleh dua Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebagai rakan teknikal iaitu Panthera dan Nature Based Solutions.
“NGO ini berperanan mendapatkan maklumat yang memberikan perspektif yang menyeluruh merangkumi pelbagai aspek berkaitan isu di Tasik Kenyir.
“Sama ada daripada pangkalan data peronda SMART, data profil SMART mengenai pencerobohan, data perangkap kamera biologi, pemerhatian yang dibuat oleh peronda, laporan pencerobohan, temu bual yang dibuat antara agensi, temu bual yang dibuat kepada suspek dan temu bual dikalangan masyarakat setempat,” ujarnya.
31 Jul 25
379