SENAI, 3 Ogos – Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT) menyatakan sokongan penuh terhadap usaha berterusan Kerajaan Terengganu dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia melalui program padanan kerja bersama pelbagai pihak industri.
Pengarah UBSNT, Muhammad Irsyad Syafiq berkata, program padanan kerja yang dilaksanakan menerusi Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) sejak penubuhannya pada tahun 2019 telah membuktikan keberkesanan dalam menangani masalah pengangguran di negeri ini.
Menurut beliau, ramai anak muda Terengganu telah berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor termasuk industri berteknologi tinggi seperti di Syarikat FOZ One yang beroperasi di Johor.
“Kerajaan negeri melalui pelbagai agensi terus memainkan peranan secara aktif dan menyeluruh dalam mencari serta mencipta peluang pekerjaan kepada anak-anak muda Terengganu.
“Kita tidak hanya tertumpu kepada sektor pekerjaan tradisional, sebaliknya turut memberi perhatian terhadap bidang baharu seperti teknologi digital, industri kreatif, keusahawanan sosial dan ekonomi gig yang kian berkembang,” katanya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kejayaan program padanan kerja yang telah membolehkan seramai 400 anak Terengganu bekerja di syarikat tersebut menjadi bukti bahawa golongan muda negeri ini berpotensi besar untuk menguasai pelbagai bidang pekerjaan sekiranya diberikan pendedahan dan peluang secukupnya.
“Usaha ini bukan sekadar menyediakan peluang pekerjaan, malah membuka minda mereka terhadap dunia luar serta memperkukuh kemahiran agar mereka mampu menjadi pemimpin dan mencorakkan masa depan negeri,” jelas beliau.
