KUALA TERENGGANU, 3 Ogos – Langkah menjadikan Pasar Payang sebagai lokasi pelancongan malam dijangka membuka lembaran baharu dalam usaha memperkasa ekonomi tempatan dan menyemarakkan nilai budaya negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kerajaan negeri bercadang memanjangkan waktu operasi Pasar Payang sehingga jam 12 malam sebagai usaha memenuhi permintaan pelancong dan rakyat.
"Kita minta dan mencadangkan supaya buat jualan sehingga jam 12 malam, selama ini setakat jam 6 petang sahaja.
"Disebabkan ada permintaan yang luar biasa, kita bakal buka dalam masa seminggu dua lagi setelah jabatan pelancongan menyediakan pencahayaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media, dalam sesi walkabout di Pasar Payang sempena agihan Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-48, yang turut dihadiri bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Jusman Ibrahim, di sini hari ini.

Menurut beliau, inisiatif ini bakal dimulakan secara berperingkat pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad dengan kerjasama padu antara MBKT dan para peniaga.
"Apabila kita tanya kepada para peniaga, mereka boleh bersedia.
"Pihak kerajaan memang menyokong penuh untuk beri pendapatan lebih kepada pekedai dan akan dibimbing sisi oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu," jelasnya lagi.
Razali berkata, pelaksanaan waktu malam ini akan melibatkan kedua-dua Pasar Payang 1 dan Pasar Payang 2, demi memastikan limpahan manfaat dirasai secara menyeluruh oleh para peniaga.
"Kita akan cadang kepada kedua pasar, Pasar Payang 1 dan Pasar Payang 2.
"Saya sendiri dapat lihat, memang begitu ceria sekali para peniaga, dan ramai yang sudah berniaga hingga 30-40 tahun serta diwarisi anak cucu," ujarnya.
