lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Terengganu FC Terima Bas Baharu
Terengganu FC Terima Bas Baharu
Terengganu FC (TFC) menerima sebuah bas rasmi serba baharu berwarna hitam daripada TRA Holidays Sdn Bhd, sekaligus mengukuhkan kerjasama jangka panjang lima musim antara syarikat pengangkutan dari Pulau Pinang itu dan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB). 
31 Jul 25
992
Aktiviti Pertanian Terpinggir Perlu Diangkat Dalam Statistik
Aktiviti Pertanian Terpinggir Perlu Diangkat Dalam Statistik
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Sebahagian besar realiti sektor pertanian di Terengganu masih belum terakam sepenuhnya dalam statistik rasmi, sekali gus membuatkan data semasa yang dikumpul tidak dapat memberi gambaran keseluruhan di lapangan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, meskipun data yang disediakan sebelum ini diperoleh daripada pelbagai jabatan dan agensi berkaitan, masih wujud ruang besar untuk diharmonikan agar gambaran sebenar di lapangan dapat ditampilkan secara menyeluruh. Katanya, laporan Interim Banci Pertanian Terengganu 2024 menunjukkan 73,051 pegangan pertanian yang direkodkan di Terengganu bagi tahun rujukan 2023 adalah 99.1 peratus (72,367) merupakan pegangan pertanian individu manakala hanya 0.9 peratus (684) pegangan pertanian milik pertubuhan. "Kita tidak kata data itu tidak tepat, tetapi masih ada banyak ruang untuk diharmonikan. Contohnya, kalau kita tanya berapa banyak lembu ada di Terengganu, pejabat veterinar bagi angka tertentu.  "Tetapi hakikatnya di negeri Terengganu ini hampir setiap rumah ada lembu yang tidak didaftarkan. Itu masih belum diambil kira lembu yang dilepaskan bebas ditepi jalan," katanya. Tambah beliau, aktiviti seperti mencandat sotong yang bermusim, pendaratan ikan oleh nelayan kecil, dan ternakan kecil-kecilan di rumah tidak selalu dimasukkan ke dalam rekod rasmi kerana ia tidak melalui saluran yang memerlukan pendaftaran. "Kalau kita pergi ke Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk dapatkan data dan jumlah pendaratan, biasanya yang lapor dari segi jumlah daratan hasil tangkapan ini ialah mereka yang nak dapat minyak bersubsidi, elaun sara hidup nelayan dan bantuan-bantuan yang lain. "Ramai lagi nelayan yang mendaratkan hasil tangkapan di tepi-tepi pantai yang tidak dilaporkan. Setiap tahun bila musim candat sotong, berapa orang mari mencandat sotong di Terengganu, balik dengan ratusan kilo (hasil tangkapan) tanpa direkod. "Jadi data yang telah kita dapat itu, ada ruang untuk diharmonikan lagi. Maknanya, Angka sebenar jauh lebih besar daripada angka yang berada di atas kertas. Dr. Azman (tengah), Dr. Mohd Uzir (kiri) dan Marlini (kanan) Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini semalam. Turut hadir, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin serta Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) negeri Terengganu, Marlini Sahul Hamid. Justeru, Dr. Azman menyambut baik usaha DOSM melalui Banci Pertanian 2024 yang melibatkan bancian rumah ke rumah untuk mendapatkan maklumat menyeluruh merentas sub-sektor tanaman, penternakan, perikanan dan perhutanan. "Di sinilah penghargaan kita kepada pihak DOSM yang bukan setakat bergelumang di lapangan malah bergelumang dengan angka-angka yang mungkin bagi sesetengah orang memeningkan mata. "Maknanya bukan semua orang ada kemampuan untuk menganalisa angka dan data yang meliputi semua lapisan masyarakat. "Sebab itulah saya sangat menghargai dan berterima kasih kerjasama pihak DOSM bersama dengan jabatan-jabatan yang terlibat, memang diakui bukan kerja yang mudah," ujarnya.  
31 Jul 25
174
TaniStats Solusi Lambakan Hasil Pertanian
TaniStats Solusi Lambakan Hasil Pertanian
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Kerajaan negeri mencadangkan penggunaan TaniStats atau sistem data pertanian bagi mengatasi masalah lambakan hasil pertanian tempatan yang bukan berpunca daripada kekurangan permintaan, tetapi kegagalan menyampaikan produk ke pasaran yang memerlukan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim menaruh harapan platform tersebut bakal merapatkan jurang antara permintaan dan pasaran berpotensi. Katanya, TaniStats dilengkapi data dari peringkat ladang sehingga peruncitan sekali gus menyediakan data pasaran yang lebih telus dan tepat di seluruh rantaian bekalan. "Lambakan ini bukan kerana produk tidak ada pembeli, tetapi kita tidak berjaya menyampaikan kepada tempat yang betul. "Contohnya duku Terengganu, hanya ada di Terengganu. Semasa di tempat kita harga dia 50 sen, di Lembah Klang, di Pulau Pinang dan di utara masih lagi hampir RM2.00 sekilo. "Maknanya ada tempat orang nak beli, tapi kita tidak berjaya nak menyampaikan ke tempat orang yang nak membeli. "Dan di sinilah kita harapkan dengan adanya TaniStats, kita boleh tengok keperluan di seluruh negara," beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin serta Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) negeri Terengganu, Marlini Sahul Hamid. Tambahnya, platform bersepadu itu turut dilengkapi ciri MyAgroPrice, yang memaparkan harga purata produk pertanian di peringkat ladang, pemborong dan runcit negeri‑negeri dalam Malaysia bagi tempoh 2020 hingga 2024. Dalam pada itu, Dr. Azman turut menegur pelaksanaan pengagihan bantuan pertanian yang bersifat 'lepas tangan' tanpa pemantauan menyeluruh bagi rantaian pengeluaran. "Satu ketika dahulu, bila buat program pertanian, kita beri sahaja anak pokok. Satu polibeg, dua polibeg seorang bawa balik. Bila kita minta laporan rupanya dah terlalu banyak anak pokok yang diagihkan, tetapi tidak menjadi pokok. "Mungkin kering di tepi tangga. Bermakna kita hanya lepas tangan (tidak melakukan pemantauan selepas bantuan pertanian diserahkan kepada penerima program). Itu bukan lagi cara bekerja yang betul. "Cara bekerja yang betul kita kena pastikan dalam rantaian pengeluaran itu semuanya lengkap dan bukan hanya sampai ke peringkat pemasaran sahaja tapi sampai ke peringkat kita menitik beratkan faktor persediaan, khususnya MyGAPS. MyGAP ataupun 'Amalan Pertanian Baik' adalah skim pensijilan yang komprehensif untuk sektor tanaman, akuakultur dan ternakan yang dilaksanakan berdasarkan piawaian Malaysian Standard (MS). Azman positif melalui persediaan itu, produk tempatan yang tidak kurang kualitinya berbanding produk pasaran luar mempunyai potensi tinggi untuk menembusi ruang-ruang pasaraya ternama.
31 Jul 25
96
1 Ogos Larangan Vape Berkuatkuasa di Terengganu
1 Ogos Larangan Vape Berkuatkuasa di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 30 Julai - Kerajaan negeri menyatakan kesiapannya untuk melaksanakan penguatkuasaan penuh terhadap larangan penjualan rokok elektronik atau vape di seluruh negeri bermula 1 Ogos ini.  Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan itu muktamad dilaksanakan selepas tempoh peralihan selama tiga bulan yang diberikan akan berakhir tidak lama lagi. "Kerajaan negeri telah bersetuju untuk mengekalkan dasar sedia ada dengan tidak meluluskan lesen perniagaan kepada mana-mana premis yang menjual produk rokok elektronik atau vape.  "Selain itu, kerajaan negeri juga telah bersetuju tidak akan menerima sebarang bentuk tajaan daripada mana-mana syarikat pengeluar atau pengedar produk vape bagi sebarang program anjuran Kerajaan. "Larangan ini telah diumumkan sejak 1 Mei 2025 sebagai satu langkah memberi tempoh masa peralihan kepada semua peniaga bagi menghentikan aktiviti penjualan produk vape secara berperingkat sebelum penguatkuasaan sepenuhnya bermula Ogos," katanya. Dalam memastikan kelancaran pelaksanaan, penguatkuasaan akan dilakukan secara serentak dan menyeluruh di kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Terengganu, dengan tumpuan terhadap premis-premis yang masih menjual vape secara terbuka. Antara bentuk tindakan yang akan dikenakan termasuklah kompaun RM1,000 di bawah Undang-Undang Kecil PBT, dan sekiranya kesalahan terus berulang, premis terlibat boleh disita dan barang-barang yang dijual akan dirampas. Wan Sukairi. Mengulas lebih lanjut, walaupun keterbatasan kerajaan negeri hanya terhad kepada premis di bawah jagaan PBT sahaja, pihaknya turut mengambil langkah kehadapan bagi menyekat penjualan vape secara atas talian. "Kerajaan negeri melalui PBT mempunyai bidang kuasa yang terhad iaitu berkaitan hanya boleh mengambil tindakan terhadap peniaga vape yang mempunyai premis sahaja.  "Namun begitu, kerajaan negeri akan bekerja sama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengatasi perniagaan vape secara atas talian di negeri Terengganu. Wan Sukairi berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman dalam satu kenyataan ketika dihubungi, semalam. Menurutnya lagi, orang awam turut digalakkan memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan sebarang aktiviti penjualan vape secara terbuka mahupun tersembunyi. "Orang awam boleh menyalurkan aduan melalui talian hotline PBT, aplikasi aduan awam, atau hadir ke kaunter penguatkuasa di pejabat PBT masing-masing.  "Aduan tersebut akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan diambil," tegasnya. Kerajaan negeri turut memaklumkan bahawa operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara bersepadu bersama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), sebagai bukti komitmen kerajaan dalam memastikan persekitaran bebas vape dan melindungi kesihatan masyarakat, khususnya generasi muda.
30 Jul 25
1532
Terengganu FC Terima Bas Baharu
Terengganu FC Terima Bas Baharu
KUALA NERUS, 29 Julai – Terengganu FC (TFC) menerima sebuah bas rasmi serba baharu berwarna hitam daripada TRA Holidays Sdn Bhd, sekaligus mengukuhkan kerjasama jangka panjang lima musim antara syarikat pengangkutan dari Pulau Pinang itu dan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB).  Bas tersebut tiba ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pagi ini selepas merentasi Banjaran Titiwangsa, simbol komitmen dan semangat untuk TFC menjelang sepak mula Liga Malaysia Ogos nanti. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim yang juga Pengerusi TFCSB, menyifatkan kerjasama ini sebagai satu langkah penting memperkukuh logistik pasukan.  "Pagi ini menandakan satu lagi urusan penting dalam usaha memperkukuhkan struktur dan keperluan logistik pasukan," katanya dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara TFCSB dan syarikat TRA Holidays Sdn Bhd di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Urusan TRA HOLIDAYS SDN BHD, Danial Tan Abdullah, Ahli Lembaga Pengarah TFCSB, Tengku Seri Bijaya Raja, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Mohd Syahrizan Mohd Zain. Beliau turut memaklumkan bahawa TRA Holidays dilantik sebagai penaja kategori Silver dan penyedia perkhidmatan pengangkutan rasmi pasukan bagi tempoh lima musim.  "Kami amat berbesar hati dan mengalu-alukan TRA Holidays Sdn Bhd sebagai rakan penaja kategori Silver bagi musim 2025/2026. "Kita mengharapkan TRA Holidays akan jadi penyedia perkhidmatan pengangkutan rasmi pasukan bagi tempoh lima musim ke hadapan," ujarnya. Tambah Hishamuddin, TRA Holidays turut dikenali sebagai penaja pengangkutan rasmi Penang FC, dan kini mengorak langkah ke Pantai Timur bersama skuad Hitam Putih. Perlawanan pertama TFC akan bermula pada 10 Ogos menentang Penang FC di tempat lawan, sebelum kembali ke SSMZA bertemu PDRM FC lima hari kemudian. TFC juga bakal bertemu Imigresen FC dalam pusingan 16 Piala FA. Kerjasama ini turut diiktiraf sebagai bukti sokongan bukan sekadar kepada sukan, tetapi kepada semangat yang mendasarinya.  "Kerjasama ini mencerminkan kesungguhan pelbagai pihak dalam menyokong pembangunan sukan bola sepak negeri. "Saya percaya melalui sokongan padu daripada syarikat seperti TRA Holidays, TFC mampu mara bukan sahaja dari segi pencapaian tetapi juga kestabilan pengurusan dan kewangan," tambah beliau. Sementara itu, Pegawai Operasi TRA Holidays Sdn Bhd, Nur Safwan Md Salleh menyampaikan penghargaan kepada seluruh warga Terengganu.  "Petang semalam kami bertolak daripada Pulau Pinang, membelah Banjaran Titiwangsa untuk berada di majlis pagi ini, itu satu kebanggaan kami untuk Terengganu FC" katanya. Beliau menjelaskan bahawa penajaan ini bukan sekadar urusan di atas kertas tetapi satu ikatan emosional bersama penyokong.  "Penajaan ini bukanlah hanya satu kerjasama di atas kertas atau jersi, tapi ia adalah komitmen jangka masa panjang.  "Kami percaya bila kita sokong pasukan seperti TFC, kita bukan sahaja sokong sukan, tapi sokong semangat, perjuangan dan harapan yang dibawakan oleh pemain dan penyokong," jelasnya.  
29 Jul 25
334
Mushroom : 'Order Online', Titis Dalam Vape Kemudian Khayal
Mushroom : 'Order Online', Titis Dalam Vape Kemudian Khayal
KUALA TERENGGANU, 29 Julai – Ibu bapa disaran lebih peka terhadap aktiviti anak-anak, walaupun mereka berada di dalam bilik, susulan kebimbangan terhadap penularan penyalahgunaan dadah sintetik yang kini mudah diperoleh secara atas talian tanpa perlu berjumpa pengedar. Pengurus Pusat Pemulihan Dadah Holistik Kerajaan Terengganu, Alif Mahari, berkata antara trend yang semakin membimbangkan ketika ini ialah penggunaan ‘vape cendawan’, sejenis cecair psikedelik yang menyebabkan halusinasi serta gangguan mental. Menurutnya, bahan terlarang itu biasanya dijual dalam botol kecil tanpa label jelas dan sering disangka sebagai cecair biasa, seperti pemanis stevia. “Anak ‘order online’, barang sampai depan rumah. Emak tak syak apa-apa, letak di atas peti ais. Esoknya, anak titis dalam vape, sedut perlahan-lahan. “Selepas itu, mereka masuk ke dunia yang mak ayah tak mampu faham bercakap seorang diri, bergaduh dengan pintu, menjerit ke arah siling. “Inilah racun zaman baharu. Vape mushroom tak nampak seperti dadah biasa, muat dalam poket, tetapi cukup untuk merosakkan otak, menghancurkan hidup dan masa depan. Semuanya hanya dengan akses internet, tanpa perlu ke lorong gelap atau bertemu tokan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. Justeru, beliau menegaskan, ibu bapa perlu segera mengambil serius perubahan tingkah laku anak-anak dan tidak memandang ringan tanda-tanda awal. “Ramai ibu bapa masih belum sedar, merasakan ‘anak aku okay je kot’. “Tolonglah, pandang mata anak, jenguk bilik mereka, cari kembali suara anak sebelum mereka hilang walaupun jasadnya masih ada di depan mata,” ujarnya.   
29 Jul 25
107
MP Besut Suarakan Kebimbangan Cadangan Luaskan PKW Kepada Pesalah Jenayah Berat
MP Besut Suarakan Kebimbangan Cadangan Luaskan PKW Kepada Pesalah Jenayah Berat
KUALA LUMPUR, 29 Julai - Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menyuarakan kebimbangan mengenai cadangan kerajaan bagi meluaskan pelaksanaan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) sehingga melibatkan pesalah jenayah berat menerusi pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perintah Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 2025 yang dibahaskan di Dewan Rakyat, semalam. Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap pindaan Seksyen 5(1) RUU itu kerana memperuntukkan kelayakan PKW kepada pesalah yang berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun, berbanding sebelum ini yang hanya terhad kepada kesalahan ringan. “Kalau dulu PKW hanya untuk kesalahan kecil, sekarang nak diperluas sampai melibatkan cubaan membunuh bawah Seksyen 307 dan kes keselamatan bawah Seksyen 130ZA Kanun Keseksaan. Ini pindaan yang terlalu drastik,” tegasnya. Katanya lagi, langkah tersebut bukan sahaja boleh menjejaskan prinsip keadilan, malah turut berisiko melemahkan elemen pencegahan dalam sistem perundangan negara. Katanya, konsep zajr atau pencegahan dalam Islam amat penting dalam memastikan sesuatu hukuman memberi kesan mendidik dan memberi pengajaran kepada pelaku jenayah. Beliau turut mempertikaikan kewajaran menjadikan PKW sebagai pengganti sepenuhnya kepada hukuman penjara, denda atau penalti lain, walaupun memahami keperluan kerajaan mengurangkan kadar kesesakan penjara. “Kalau PKW dilaksana sebagai ganti sepenuhnya, ia boleh melemahkan elemen pengajaran dan pembalasan. Dalam banyak kes jenayah, ada mangsa. Kita tak boleh abaikan hak moral mereka untuk mendapat keadilan,” katanya. Jelasnya lagi, sebarang pelaksanaan PKW perlu seimbang dengan prinsip islah atau pemulihan, dan tidak boleh terlalu ringan sehingga menafikan hak mangsa. Beliau mencadangkan agar pelaksanaan PKW dilakukan sebagai sebahagian daripada hukuman campuran, contohnya dengan mewajibkan pesalah menjalani tempoh minimum penjara terlebih dahulu sebelum dipertimbangkan untuk PKW sebagai fasa pemulihan. Selain itu, Che Mohamad Zulkifly turut mencadangkan agar program PKW merangkumi modul pendidikan, kaunseling serta bimbingan agama khususnya kepada pesalah Muslim, dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan. Pendekatan menyeluruh ini katanya akan memastikan prinsip keadilan Islam yang menyeimbangkan antara pencegahan dan pemulihan benar-benar diterapkan. Beliau turut mempersoalkan sejauh mana keberkesanan pelaksanaan PKW sejak ia diperkenalkan, termasuk status pusat-pusat PKW yang diwujudkan. Menurut beliau, pada tahun 2022, Ketua Pengarah Penjara pernah memaklumkan bahawa hanya terdapat 52 pusat PKW. “Sekarang dah tiga tahun, berapa yang telah dibina? Dah capai sasaran 100 pusat ke belum? dan adakah kesesakan penjara benar-benar satu isu berskala nasional, atau hanya tertumpu kepada negeri-negeri tertentu?,” soalnya. Beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu mengemukakan data dan statistik rasmi bagi menyokong pindaan undang-undang ini agar ia tidak dilihat sebagai tergesa-gesa tanpa asas yang kukuh. Menutup ucapannya, beliau secara berseloroh menyentuh perhimpunan aman yang dianjurkan pembangkang baru-baru ini sambil memuji perubahan pendekatan yang ditunjukkan para peserta. “Alhamdulillah, tidak berlaku kereta terbalik, tidak disembur ‘water canon’. Kita telah mendidik mereka untuk berdemonstrasi secara aman,” katanya. Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai tanda kematangan demokrasi dalam kalangan rakyat dan berharap ia menjadi contoh kepada semua pihak yang mahu menyuarakan pandangan secara tertib dan bertanggungjawab.
29 Jul 25
84
110 Ahli MPBN Bersidang Bincang Hala Tuju Belia Negara
110 Ahli MPBN Bersidang Bincang Hala Tuju Belia Negara
KUALA TERENGGANU, 28 Julai – Seramai 110 Ahli Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Terengganu memulakan persidangan mereka di Dewan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Terengganu hari ini, bagi membincangkan hala tuju pembangunan belia di negeri dan negara. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, berkata MPBN yang ditubuhkan sejak 1971 oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berperanan sebagai wadah utama menyuarakan inspirasi serta pandangan belia, sekali gus menjadi platform penting untuk menyelaras dasar pembangunan generasi muda. “Majlis ini bukan sekadar pertemuan rasmi, tetapi satu sesi libat urus dan persidangan intelektual yang menggabungkan kerjasama serta sinergi antara kerajaan dengan kepimpinan pertubuhan belia. “Melalui platform ini, setiap pandangan, idea, teguran dan cadangan daripada golongan belia dapat disalurkan secara berkesan, sekali gus diterjemahkan kepada dasar dan tindakan yang lebih dinamik,” katanya ketika merasmikan MPBN Peringkat Negeri Terengganu, Sidang Pertama Penggal Ke-35 Sesi 2025–2026, di sini, hari ini.  Hadir sama, Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu, Dato’ Abdul Kahar Abdul Latif; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Asmadi Mohamad; serta Presiden Majlis Belia Negeri Terengganu, Anas Hazizul Muhamad. Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, MPBN terbukti berkesan memainkan peranan dalam merangka hala tuju pembangunan belia sejak penubuhannya. “Bagi memperkukuh peranan tersebut, MPBN turut diperluas ke peringkat daerah bagi meneliti secara lebih dekat intipati, permasalahan serta idea berkaitan pembangunan belia di peringkat akar umbi,” katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kerja MPBN yang terdiri daripada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, badan gabungan dan urus setia persidangan yang telah memastikan kelancaran penganjuran. “Saya ucapkan tahniah kepada semua pihak yang telah merancang dan menjayakan persidangan yang penuh bermanfaat ini,” katanya.  
28 Jul 25
103
Aspirasi Bandar Pintar Diperkukuh Melalui Pembangunan Intelligent Pole
Aspirasi Bandar Pintar Diperkukuh Melalui Pembangunan Intelligent Pole
KUALA TERENGGANU, 28 Julai - Usaha menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri pintar kini memasuki fasa baharu apabila pembinaan replika 'Intelligent Pole' berada di peringkat akhir, sebagai persediaan untuk pelaksanaan projek perintis dalam masa terdekat. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian & Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, struktur itu dibangunkan oleh Colla Connecting Edge bersama vendornya sebagai rujukan awal sebelum pelaksanaan sepenuhnya dijalankan. "Saya berkesempatan melawat replika Intelligent Pole yang kini berada di fasa akhir pembinaannya di negeri Terengganu. "Setelah mendengar penerangan secara terperinci, Intelligent Pole adalah satu inisiatif yang sangat baik untuk dilaksanakan di negeri Terengganu. Intelligent Pole tidak hanya berfungsi sebagai menara telekomunikasi yang biasa. "Ia juga dilengkapi dengan lampu jalan pintar, antena telekomunikasi, pembesar suara (public announcement), skrin digital pengiklanan dan kamera CCTV yang boleh mengambil data secara terus dengan adaptasi kecerdasan buatan Artificial Intelligent (AI). Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang telah dimuatnaik dalam satu hantaran Facebook rasminya. Tambahnya, setiap kelengkapan itu berfungsi secara serentak dalam satu struktur, sekali gus membolehkan proses pengumpulan data, komunikasi, keselamatan dan pengiklanan dilaksanakan dengan lebih cekap dan pintar.   Jelasnya lagi, sekiranya projek perintis ini berjaya, Terengganu akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang memiliki teknologi sedemikian. "Pilot project dijangka akan bermula dalam masa terdekat. Sekiranya berjaya, Terengganu akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang memiliki Intelligent Pole seumpama ini. "Ini satu lagi langkah ke hadapan dalam merealisasikan aspirasi menjadikan Terengganu sebuah negeri yang selamat, cekap dan berdaya saing dalam era digital," ulasnya. Dalam pada itu, beliau turut memohon sokongan semua pihak agar inisiatif tersebut dipermudahkan dan dapat memberi manfaat besar kepada rakyat negeri ini dalam jangka masa panjang.
28 Jul 25
169
Graduan INSTEP Mahu Bantu Keluarga
Graduan INSTEP Mahu Bantu Keluarga
KUALA NERUS, 28 Julai – Rata-rata graduan program Technical Energy Enrichment Programme (TEP) Plus- Upstream ambilan Januari 2024 berharap akan memperoleh pekerjaan yang bersesuaian setelah berjaya menamatkan pengajian di Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP). Bagi Muhammad Iman Zulhaqim Mohd Sukizam, 24, dari Paka, Dungun berkata, dia mula mengenali tentang program TEP Plus melalui rakan dan kenalan yang sering bermain sukan bersama, selain jiran tetangga di kawasan perumahan mereka. Malah jelasnya, lokasi kediaman yang berdekatan dengan kawasan operasi PETRONAS di Paka telah menimbulkan minatnya terhadap industri tenaga. “Sebagai anak tunggal, dengan ayah yang bekerja jauh sebagai pengawal keselamatan di Kuala Lumpur, saya rasa tanggungjawab besar untuk menyokong ibu dan keluarga saya.  “Kehidupan yang dekat dengan operasi PETRONAS di Paka telah menimbulkan minat saya terhadap industri tenaga. Melalui program TEP Plus, saya berharap dapat memperolehi kemahiran yang diperlukan untuk membina masa depan yang lebih baik untuk kami sekeluarga,” ujarnya. Sementara itu, Muhammad Riduan Azman, 26, dari Kampung Tanggol, Kuala Berang mengakui, hanya melalui pendidikan dan kerja keras, dia mampu mengubah nasib keluarga.  Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, asbab dibesarkan dalam keluarga berpendapatan rendah dengan ayahnya bekerja ‘kampung’ dan ibunya bekerja sebagai tukang cuci di SJK(C) Chong Hwa Wakaf Tapai menjadikannya kuat.  “Ada hari dapat wang saku, ada hari tak. Kalau tak ada, saya bawa bekal dari rumah. Keluarga saya bukan senang, tapi kami sentiasa bersyukur,” ujar Riduan. Kunjungannya ke reruai PETRONAS semasa karnival kerjaya membuka peluang baharu dalam hidupnya apabila diperkenalkan kepada program INSTEP.  Tanpa berlengah, beliau memohon dan akhirnya terpilih sebagai peserta Program TEP-Plus, khusus dalam bidang ‘Production’.  “Saya ada diploma dalam bidang elektronik dari Sekolah Vokasional Wakaf Tembesu. Apabila tahu pasal program ni, saya nekad nak cuba. Saya anak sulung, tanggungjawab saya besar, saya nak bantu keluarga,” ujarnya. TEP Plus mencerminkan komitmen berterusan INSTEP dan PETRONAS dalam memperkukuh bakat teknikal tempatan serta membina ekosistem tenaga yang mampan. Program selama 18 bulan yang ditaja oleh PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) itu merupakan inisiatif tajaan pra-pekerjaan yang direka untuk merapatkan jurang kemahiran antara pemegang diploma dan keperluan sebenar industri.   
28 Jul 25
84