lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Raja Muda Terengganu Cemar Duli Labuh Tukun Tiruan
Raja Muda Terengganu Cemar Duli Labuh Tukun Tiruan
KUALA NERUS, 18 September – Perairan Tanjung Gelam pagi ini mencatat sejarah apabila Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli melabuh 18 unit tukun tiruan kuboid juvenil penghalang pukat tunda (rekreasi), sebagai ikhtiar memperkasa kelestarian laut negeri. Keberangkatan tiba baginda di jeti Pejabat Perikanan Kuala Terengganu, Pulau Kambing tepat jam 9.00 pagi disambut penuh hormat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim. Tuanku berkenan menaiki bot menuju ke lokasi pelabuhan tukun, dan sebaik tiba di perairan Tanjung Gelam, Yang di-Pertuan Muda Terengganu berangkat menaiki tongkang yang telah sedia menanti. Majlis bertambah bermakna apabila baginda berkenan menekan buzzer sebagai gimik pergerakan kren mengangkat tukun, sebelum menekan air horn yang menandakan pelepasan rasmi ke permukaan air. Baginda turut berkenan menyaksikan proses melabuh tiga unit tukun pertama, simbol harapan agar usaha pemeliharaan laut ini memberi manfaat besar kepada rakyat dan nelayan tempatan. Usai majlis, baginda berangkat ke bot dan kembali ke jeti Pejabat Perikanan Kuala Terengganu, sebelum berangkat pulang dengan penuh istiadat.  
18 Sep 25
1002
Empat Pemimpin Terengganu Terpilih AJK PAS Pusat
Empat Pemimpin Terengganu Terpilih AJK PAS Pusat
ALOR SETAR, 16 September – Empat wakil rakyat dari Terengganu berjaya menempatkan diri sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat setelah mendapat mandat perwakilan dalam pemilihan sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-71 yang berlangsung di sini hari ini. Mendahului senarai, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi meraih sokongan tertinggi mewakili Terengganu dengan 1,018 undi. Diikuti rapat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim meraih 868 undi, manakala Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim memperoleh 802 undi.  Seorang lagi wakil Terengganu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr. Riduan Mohd Nor turut dipilih dengan 721 undi. Kejayaan ini membuktikan kepercayaan tinggi perwakilan terhadap barisan pimpinan dari Terengganu untuk terus memainkan peranan penting dalam hala tuju perjuangan PAS di peringkat pusat.  
16 Sep 25
688
Karnival Pantai 2025: Selami 'Akar Tradisi, Warna Identiti'
Karnival Pantai 2025: Selami 'Akar Tradisi, Warna Identiti'
KUALA NERUS, 15 September - Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) kini menampilkan Karnival Pantai edisi 2025 dengan tema 'Akar Tradisi, Warna Identiti', menelusuri identiti negeri pantai timur yang penuh budaya dan tradisi itu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, penganjuran karnival tahunan tersebut manzahirkan usaha kerajaan negeri dalam memperkukuhkan warisan budaya dan memperkasakan pelancongan tempatan. "Oleh sebab itu, semua daerah yang ada 'booth' (reruai) kita memang minta dia terjemahkan semua makanan tradisional, kebudayaan dan apa jua yang ada di tempat ini (Terengganu). "Yang kita tengok tadi, memang ada. Permainan lastik, 'plekong' (baling) selipar, kukur nyior (kelapa), mainan kita belaka.  "Masa kecil dulu, memang begitu ceritanya. Jadi inilah sebenarnya kita nak tunjuk dalam Karnival Pantai," katanya mengimbau kembali memori dilaluinya sewaktu kecil, bermain permainan tradisional. Beliau  berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Karnival Pantai 2025 di Pantai Teluk Ketapang, di sini, semalam.  Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato' Ab Rasid Jusoh, Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak serta Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Hajijan.  Tegas beliau, perkara sedemikian merupakan ciri-ciri yang ingin ditonjolkan oleh kerajaan negeri berbanding penganjuran konsert-konsert hiburan seperti rock mahupun 'rap'. "Jadi bila orang mari ke negeri Terengganu, mereka dapat tengok warisan dan budaya negeri Terengganu," ujarnya ringkas. Karnival itu dipenuhi warna warni persembahan budaya, permainan rakyat serta aktiviti seni dan warisan, kehadiran pengunjung yang ramai jelas menambah seri sambutan karnival. Antara acara yang menjadi kelainan pada kali ini termasuklah pertandingan tarian dan nyanyian tradisional, iaitu tarian ulik mayang serta dikir barat. Menurut Razali, pertandingan tarian yang dilaksanakan adalah berlandaskan garis panduan (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri. "Tarian dengan mengikut SOP yang telah digariskan oleh pihak kerajaan negeri, 12 tahun ke bawah. Kita buat pertandingan. Ulik mayang ini adalah warisan negeri Terengganu. Sebab itu kita kena jaga. "Jadi kita buat pertandingan (dengan) dikir barat supaya kedua-dua ini menjadi inspirasi, menjadi warisan untuk anak cucu kita yang ke belakang untuk melihat. Karnival Pantai 2025 dijadualkan berlangsung selama empat hari telah mula berlangsung pada 12 September yang lalu dan bakal melabuhkan tirai pada hari ini, 15 September.
15 Sep 25
343
Terengganu Rekod Hampir 7 Juta Pelancong, Atasi Jangkaan Awal
Terengganu Rekod Hampir 7 Juta Pelancong, Atasi Jangkaan Awal
KUALA TERENGGANU, 15 September - Terengganu terus mencatatkan perkembangan positif dalam sektor pelancongan apabila merekodkan kehadiran kira-kira 6.9 juta pelancong setakat Jun 2025. Perkara ini telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris dalam satu kenyataan, semalam. Menurut beliau, angka tersebut dilihat memberi isyarat positif apabila ia semakin menghampiri sasaran tahunan bagi tahun ini iaitu 8.5 juta pelancong.  Tambahnya, pencapaian itu hasil kerjasama erat Jabatan Pelancongan negeri bersama agensi-agensi berkaitan yang sentiasa komited memastikan kehadiran pelancong domestik mahupun antarabangsa ke Terengganu. "Ni bukan perkara kecil, ia hasil kerja keras semua pihak yang bertungkus-lumus siang malam untuk memastikan Terengganu terus menjadi pilihan pelancong. "Jadi, alhamdulillah berjaya," katanya ketika berucap bagi Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Karnival Pantai 2025 di Pantai Teluk Ketapang. Pengunjung mencuba permainan lastik tradisional di Karnival Pantai 2025 Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, 70 peratus merupakan pelancong domestik, manakala 30 peratus lagi merupakan pelancong antarabangsa. Terdahulu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong memaklumkan bahawa negeri itu telah menerima 2.1 juta pelancong pada suku pertama 2025. Pengunjung menyaksikan persembahan wayang kulit di Karnival Pantai 2025   Meskipun dalam tempoh tersebut Terengganu masih berhadapan cabaran Monsun Timur Laut dan beberapa destinasi pantai peranginan masih belum dibuka sepenuhnya. Sulaiman yakin sasaran 8.5 juta pelancong mampu dicapai tahun ini, apatah lagi dengan rekod cemerlang tahun lalu apabila Terengganu berjaya menarik 7.8 juta pelancong, jauh mengatasi sasaran asal 4.5 juta orang.
15 Sep 25
3715
SG4 Inspirasi Strategik Asia Tenggara Bela Palestin
SG4 Inspirasi Strategik Asia Tenggara Bela Palestin
JITRA, 14 September – Model SG4 gabungan negeri Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis boleh dijadikan inspirasi strategik untuk direalisasikan dalam konteks Asia Tenggara bagi membela Palestin. Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerjasama SG4 membuktikan bagaimana empat negeri ini mampu bergabung menggerakkan kekuatan bersama meskipun berhadapan keterbatasan kuasa pusat. Katanya, inisiatif yang berteraskan pembangunan Islam, pengukuhan pendidikan, ekonomi halal serta solidariti ummah ini boleh dijadikan rujukan penting bagi kerjasama lintas negara di rantau Asia Tenggara. “Jika negeri-negeri dalam Malaysia mampu membentuk satu kerangka solidariti dinamik, rantau ini juga boleh membina Blok Solidariti ASEAN untuk Palestin yang lebih tersusun,” jelasnya ketika menyampaikan Ucaptama Muslim Ummah International Forum di BDB Darul Aman Golf Resort, di sini, kelmarin.  Menurutnya, SG4 menjadikan aspek pendidikan dan pembangunan modal insan sebagai tonggak utama. Universiti serta sekolah-sekolah di negeri berkenaan telah mengintegrasikan isu Palestin dalam program kesedaran, kajian akademik, dan aktiviti pelajar. “Model ini boleh diperluaskan ke peringkat ASEAN dengan menggalakkan universiti Islam di Indonesia, Malaysia, Brunei, Thailand Selatan dan Filipina Selatan membentuk Konsortium Akademik ASEAN-Palestin. Ia boleh berfungsi sebagai pusat penyelidikan, wacana ilmiah, serta penerbitan naratif alternatif bagi menangkis propaganda Zionis,” ujarnya. Beliau menambah, SG4 turut menekankan pembangunan ekonomi berdaya tahan melalui industri halal, koperasi, serta agihan zakat. “Strategi ini boleh dijadikan asas untuk menggerakkan Tabung Waqaf ASEAN-Palestin, di mana dana kolektif daripada zakat, wakaf dan sumbangan masyarakat disalurkan bagi membiayai bantuan kemanusiaan serta menyokong agenda BDS di rantau ini. Pendekatan ekonomi Islam sebagai wahana solidariti ini juga sejalan dengan kajian Antonio,” katanya. Dalam bidang media dan diplomasi rakyat pula, jelasnya, SG4 sering menekankan kepentingan naratif Islam dan tempatan bagi menentang hegemoni wacana Barat. “Pendekatan ini boleh diperluas ke tahap serantau menerusi penubuhan ASEAN Media Collective For Palestine. Media Islam, portal berita dan badan penyiaran di rantau ini boleh diselaraskan untuk menghasilkan liputan konsisten mengenai Palestin, sekali gus mencabar dominasi media pro-Zionis,” ujarnya.
15 Sep 25
65
Karnival Pantai Diserbu Lebih 130,000 Pengunjung, Hujan Bukan Penghalang
Karnival Pantai Diserbu Lebih 130,000 Pengunjung, Hujan Bukan Penghalang
KUALA NERUS, 15 September - Meskipun keadaan cuaca yang kurang mengizinkan, kehadiran pengunjung ke Karnival Pantai 2025 di Teluk Ketapang berjaya menarik lebih 130,000 pengunjung selama empat hari ia berlangsung. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, keunikan yang ada pada Karnival Pantai menjadi faktor utama pengunjung untuk hadir meskipun terdapat halangan cuaca. “Saya dimaklumkan bahawa sepanjang empat hari penganjuran, walaupun dilanda hujan lebat, jumlah pengunjung yang hadir ke Karnival Pantai 2025 ini melebihi 130,000 orang. Dua malam hujan, mereka tetap datang, tetap bersama-sama memeriahkan suasana. “Pelbagai permainan tradisional yang disediakan mendapat sambutan hangat. Lastik, tarik upih, dan macam-macam lagi, semuanya dicuba oleh pengunjung. Respon yang saya terima daripada sahabat-sahabat dari luar negeri sangat positif. “Inilah keunikan kita. Negeri lain mungkin ada acara mereka tersendiri, tetapi acara seperti ini hanya ada di negeri kita. Ia menonjolkan identiti, warisan, dan kekuatan budaya masyarakat kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Karnival Pantai 2025, semalam. Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan berusaha untuk 'menjual' lebih banyak acara berkonsepkan warisan budaya yang unik di Terengganu dalam anjuran akan datang. "Saya dah turun ke semua daerah. Macam-macam budaya ada. Kalau Kuala Berang dialek percakapan tu dua tiga jenis dah. Marang pun sama. Marang tu kawasan Kedai Buluh dialek percakapan dia lain. "Ini semua kita nak kena beritahu kepada generasi penerus supaya dia faham bahawasanya daerah-daerah di Terengganu ni macam-macam apa ada. Makanan beratus makanan. Pakaian songket, batik, lukisan, kebudayaan. "Silap gayung tu memang popular dah, yang lain banyak lagi, tarian-tarian lama yang kita boleh olah mengikut apa kehendak kerajaan sekarang ini. Kita boleh tunjuk ke seluruh negara," jelasnya. Tambahnya lagi, kehadiran pengunjung yang ramai ke karnival tersebut turut menjadi pemangkin kepada peningkatan ekonomi rakyat negeri yang mencuri peluang untuk berniaga sepanjang ia berlangsung. "Dengan kehadiran 130,000 itu, apa yang kita dapat? Sekurang-kurangnya peniaga-peniaga secara langsung dapat limpahan ekonomi. Oleh kerana malam ini malam terakhir, kita pergi tadi (di ruangan penjaja) barang-barang makanan habis dah. "Tidak cukup. Keropok tidak cukup. Satar tidak cukup. 'Otak-otak' tidak cukup. Semua makanan tradisional belaka.  "Yang inilah saya rasa sangat teruja dan insya-Allah untuk tahun depan kita fokus lagi supaya Karnival Pantai 2026 lebih hebat lagi dengan peralatan, dengan acara, dengan makanan, dengan persembahan semua tradisional," ujarnya.
15 Sep 25
124
Faris Juara Piala Sultan Mizan 2025
Faris Juara Piala Sultan Mizan 2025
SETIU, 14 September – Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Mizan 2025 melakar detik penuh gemilang apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengisytiharkan Mohd Faris Haikal Mohd Hassan Sa’ari dari State of Terengganu Endurance Team sebagai juara CEI 2* 120KM individu dalam Kejohanan Antarabangsa Sultan Mizan Cup 2025 di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong. Dengan catatan masa enam jam satu saat, Faris menunggang kuda kesayangannya, Schyva El Tercero menerima hadiah wang tunai RM18,000 beserta piala pusingan dan medal kemenangan. Lebih manis, Schyva El Tercero turut dinobatkan sebagai Kuda Terbaik kejohanan dengan hadiah tambahan RM25,000, piala serta penghormatan tertinggi apabila Sultan Mizan sendiri berkenan mencemar duli menyuapkan makanan kepada kuda terbaik itu. Nama Faris Haikal bukan asing dalam dunia kuda lasak. Pada 2024, beliau pernah menggegarkan Lembah Bidong apabila menjulang Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu bagi kategori CEI*2 120KM dengan catatan enam jam lima minit. Pada edisi 2023 pula, beliau dinobatkan johan 120KM individu dalam Piala Sultan Mizan dengan hadiah wang tunai RM18,480, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai bintang masa depan sukan kuda lasak tanah air. Naib johan tahun ini disandang Muhammad Izhar Hamzah dari Khalifah Arabian Endurance Team dengan masa enam jam 35 minit 08 saat, membawa pulang RM15,000 dan trofi. Tempat ketiga dimenangi penunggang Belarus, Viktoriya Melnikava dari pasukan yang sama, yang menunggang Kaet Tariq dengan hadiah RM10,000. Dalam kategori CEI 1* 100KM, Mohammad Firdaus Hamid dari TNT Endurance Team muncul juara dengan catatan lima jam 52 minit 27 saat, diikuti rakan sepasukan Suhardi Ghani di tempat kedua dan Muhammad Aminuddin Musyarafi dari NEXT Endurance Team di tempat ketiga. Sementara itu, kategori belia CEIYJ 1* 100KM dimenangi Abdullah Faqeh Muhammad dari Ar-Raudhah Al-Amin, diikuti pelumba Thailand, Jatupat Patijaroenchai dari Nahron Sri Riding Club. Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Sultan Mizan dengan diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, serta paduka anakanda. Majlis bertambah seri dengan keberangkatan Baginda berdua disertai kepimpinan negeri diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
14 Sep 25
103
Sultan Mizan Pimpin RTES Ungguli Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa
Sultan Mizan Pimpin RTES Ungguli Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa
SETIU, 14 September – Keunggulan sukan berkuda lasak sekali lagi tersemat dalam lipatan sejarah apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, berangkat memimpin pasukan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) hingga berjaya meraih kejuaraan berpasukan dalam acara CEI 2* 120KM Kejohanan Antarabangsa Sultan Mizan Cup 2025 di Terengganu International Endurance Park (TIEP) Lembah Bidong. Pasukan RTES yang dianggotai oleh Sultan Mizan, Tengku Muhammad Syukri Tengku Mahmood, Jasryn Jaffly dan Muhammad Aizad Mohd Riduan dinobatkan sebagai pasukan terbaik, sekali gus membawa pulang hadiah bernilai RM25,000 berserta trofi dan pingat yang disempurnakan pengurniannya oleh baginda sendiri. Dalam acara individu, Sultan Mizan yang beradu tenaga di bawah panji RTES, menamatkan perlumbaan penuh cabaran itu dengan catatan masa tujuh jam sembilan minit 55 saat, lantas mempersembahkan kejayaan yang mengharumkan nama negara. Baginda berkenan menerima hadiah tempat kelima yang disembahkan oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. Turut mencuri tumpuan, paduka anakanda baginda, Tengku Puteri Utama Raja yang mewakili Kelab RTES, telah mempersembahkan tunggangan cemerlang sehingga berjaya meraih tempat ketiga dalam acara Mini Endurance 15KM VIP. Istiadat penyampaian hadiah penuh gilang-gemilang itu turut menyaksikan keberangkatan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka anakanda, Tengku Seri Setia Mahkota Raja, Tengku Puteri Utama Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja. Majlis tersebut turut diserikan dengan keberangkatan hadir oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia.  
14 Sep 25
68
Air Mata Syukur Bapa OKU, Kerajaan Negeri Taja Anak Kahwin
Air Mata Syukur Bapa OKU, Kerajaan Negeri Taja Anak Kahwin
HULU TERENGGANU, 14 September – Dalam kepayahan menempuh banjir saban tahun dan hidup sebagai insan kelainan upaya, seorang bapa di Kampung Lebak tidak mampu menahan sebak apabila anaknya terpilih menyertai Program Walimatul Urus Perdana 2025 anjuran Kerajaan Negeri Terengganu bersama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT). Bapa pengantin, Sufian Ismail, mengakui perjalanan hidupnya penuh getir sebelum pulang ke kampung halaman mencari rezeki secara sederhana.  "Saya pernah berkhidmat di Media Prima Berhad di Kuala Lumpur sebagai pembantu komunikasi, namun akhirnya saya pulang ke Kuala Berang untuk mencari rezeki dengan menjual aiskrim. "Kali ini anak saya yang diberi peluang menyertai Program Walimatul Urus Perdana. Saya terlalu terharu, dan hanya mampu ucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri serta YPKT kerana memilih anak saya," ujarnya. Dalam luahan hatinya, beliau turut menceritakan cabaran yang sering membelenggu keluarganya di Kampung Lebak yang sudah diwartakan sebagai kawasan banjir.  "Setiap tahun kami diuji dengan bencana ini, sehinggakan Kampung Lebak digazetkan sebagai kawasan banjir, dan saya sendiri pernah menyaksikan segala harta benda tenggelam dalam sekelip mata. "Saya adalah pemegang kad OKU yang berdaftar dengan JKM, dengan menerima hanya RM450 sebulan, itulah yang saya gunakan untuk menyara keluarga disamping rezeki tambahan sebagai penjual aiskrim," jelasnya. Menantunya, Mohd Hanafi Mohd Izzuddin yang berasal dari Kuala Lumpur turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan negeri.  "Saya hanyalah seorang anak muda biasa dari Kuala Lumpur, namun diberi penghormatan menyertai program ini bersama pasangan. Saya benar-benar terhutang budi kepada pihak penganjur.  "Ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang bukan sahaja menganjurkan program ini dengan begitu baik, malah memilih saya dan isteri untuk diraikan bersama pasangan lain," tambahnya. Program Walimatul Urus Perdana 2025 menyaksikan Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM1.2 juta bagi membantu 192 pasangan B40 melangsungkan perkahwinan secara serentak di seluruh negeri, termasuk 20 pasangan dari daerah Hulu Terengganu.” Majlis resepsi peringkat negeri disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu selepas upacara akad nikah di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang.  
14 Sep 25
135
SG4 Sepakat Jadi Hab Solidariti Palestin di Asia Tenggara
SG4 Sepakat Jadi Hab Solidariti Palestin di Asia Tenggara
JITRA, 14 September – Empat negeri dalam blok SG4 iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis bersepakat memperkukuh kedudukan sebagai ‘hab solidariti’ Asia Tenggara melalui penganjuran pelbagai program kemanusiaan termasuk kempen kesedaran, kutipan derma serta mobilisasi sukarelawan bagi membela nasib rakyat Palestin. Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi serta Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, usaha tersebut telah diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif yang bersifat menyeluruh dan berterusan. “Kerajaan Negeri Kedah bersama rakan-rakan dalam SG4 turut meneroka bidang pendidikan dan pembangunan modal insan bagi membantu rakyat Palestin secara berstruktur, termasuk tawaran biasiswa, pertukaran akademik, latihan kemahiran dan peluang ekonomi. “Inisiatif ini bertujuan memastikan bantuan yang kita salurkan bukan hanya reaktif semata-mata, tetapi membina daya tahan jangka panjang rakyat Palestin serta memperkukuh suara dan gerakan ummah di rantau ini,” ujarnya ketika berucap merasmikan Muslim Ummah International Forum (MUNIF 2025) di BDB Darul Aman Golf Resort, di sini, hari ini. Program tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi. Dalam pada itu, Dr. Haim Hilman menyatakan keyakinan bahawa model kerjasama SG4 mampu diperluas dan dijadikan contoh bukan sahaja kepada negeri-negeri lain di Malaysia, malah juga kepada negara jiran di Asia Tenggara. “Melalui kerjasama serantau, kita dapat menggabungkan sumber dan kepakaran bagi melaksanakan program bantuan kemanusiaan, memperkukuh diplomasi rakyat ke rakyat, serta meningkatkan tekanan moral terhadap pihak-pihak yang terus menzalimi Palestin,” tegasnya.  
14 Sep 25
81