KUALA NERUS, 15 September - Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) kini menampilkan Karnival Pantai edisi 2025 dengan tema 'Akar Tradisi, Warna Identiti', menelusuri identiti negeri pantai timur yang penuh budaya dan tradisi itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, penganjuran karnival tahunan tersebut manzahirkan usaha kerajaan negeri dalam memperkukuhkan warisan budaya dan memperkasakan pelancongan tempatan.

"Oleh sebab itu, semua daerah yang ada 'booth' (reruai) kita memang minta dia terjemahkan semua makanan tradisional, kebudayaan dan apa jua yang ada di tempat ini (Terengganu).
"Yang kita tengok tadi, memang ada. Permainan lastik, 'plekong' (baling) selipar, kukur nyior (kelapa), mainan kita belaka.
"Masa kecil dulu, memang begitu ceritanya. Jadi inilah sebenarnya kita nak tunjuk dalam Karnival Pantai," katanya mengimbau kembali memori dilaluinya sewaktu kecil, bermain permainan tradisional.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Karnival Pantai 2025 di Pantai Teluk Ketapang, di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato' Ab Rasid Jusoh, Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak serta Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Hajijan.
Tegas beliau, perkara sedemikian merupakan ciri-ciri yang ingin ditonjolkan oleh kerajaan negeri berbanding penganjuran konsert-konsert hiburan seperti rock mahupun 'rap'.
"Jadi bila orang mari ke negeri Terengganu, mereka dapat tengok warisan dan budaya negeri Terengganu," ujarnya ringkas.

Karnival itu dipenuhi warna warni persembahan budaya, permainan rakyat serta aktiviti seni dan warisan, kehadiran pengunjung yang ramai jelas menambah seri sambutan karnival.
Antara acara yang menjadi kelainan pada kali ini termasuklah pertandingan tarian dan nyanyian tradisional, iaitu tarian ulik mayang serta dikir barat.
Menurut Razali, pertandingan tarian yang dilaksanakan adalah berlandaskan garis panduan (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.
"Tarian dengan mengikut SOP yang telah digariskan oleh pihak kerajaan negeri, 12 tahun ke bawah. Kita buat pertandingan. Ulik mayang ini adalah warisan negeri Terengganu. Sebab itu kita kena jaga.
"Jadi kita buat pertandingan (dengan) dikir barat supaya kedua-dua ini menjadi inspirasi, menjadi warisan untuk anak cucu kita yang ke belakang untuk melihat.

Karnival Pantai 2025 dijadualkan berlangsung selama empat hari telah mula berlangsung pada 12 September yang lalu dan bakal melabuhkan tirai pada hari ini, 15 September.