KUALA TERENGGANU, 18 Oktober – Ribuan rakyat Terengganu membanjiri Dataran Khairunnisa semalam dalam Himpunan Taufan Al-Aqsa bagi menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin yang terus berjuang membebaskan tanah air mereka daripada cengkaman rejim Zionis Israel.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu komited untuk menganjurkan himpunan seperti ini bagi memberi ruang kepada seluruh rakyat negeri menunjukkan keprihatinan dan kebersamaan terhadap perjuangan umat Islam di Palestin.
“Malam ini kita menjadi saksi bahawa negeri Terengganu sentiasa seiring dengan saudara-saudara kita di bumi Palestin.
“Bulan ini sahaja, ini merupakan program ketiga selepas pada 10 Oktober lalu kita telah mengadakan Perarakan Bot Seluruh Negeri Terengganu yang berhimpun di Jambatan Angkat Kuala Terengganu, sebagai simbolik sokongan kepada saudara kita yang sedang berjihad di sana,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Himpunan Taufan Al-Aqsa di Dataran Khairunnisa, di sini, semalam.
Turut hadir, Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang, serta Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Dr. Muhammad Khalil turut menambah bahawa pada 14 Oktober lalu, kerajaan negeri telah menganjurkan Program Maulid Akbar 'Untukmu Al-Aqsa' yang menghimpunkan lautan manusia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, bersama para ulama dari dalam dan luar negara bagi menyatakan solidariti terhadap perjuangan Palestin.
“Pada malam ini sekali lagi rakyat Terengganu berhimpun bagi meneruskan semangat ulang tahun kedua Taufan Al-Aqsa, tanda bahawa perjuangan ini tidak akan pernah padam,” katanya.
