Artikel "Semasa" Terkini
‘Wanita Besi’ Marang Buktikan Kemampuan
MARANG, 17 Oktober – Lumrahnya wanita dikenali sebagai seorang yang berpersonaliti anggun dan lemah lembut.
Bagaimanapun, sejajar dengan peredaran masa, wanita hari ini kian bergerak maju berdiri di atas kaki sendiri sekali gus mampu menjadi inspirasi kepada kelompok wanita lain.
Percaya kepada kemampuan diri, Maziah Ghazali, 38, dari Kampung Sungai Serai, Binjal Rendah, di sini nekad menceburi pekerjaan sebagai juru kimpal atau 'welder' yang sering digambarkan sebagai kerjaya lasak dan lazimnya didominasi kaum lelaki.
Isteri kepada Ahmad Sobri Hashimi, 39, mengakui, dia tidak sedikit pun kekok bekerja dalam keadaan panas, berdebu serta berdepan percikan api yang memerlukan kekuatan fizikal.
“Sebelum ini, saya berkerja sebagai kerani di sebuah syarikat pengedar dan kontraktor untuk produk-produk kejuruteraan termasuk terlibat dalam industri penyudah logam. Ketika itu, suami turut berkerja di tempat sama dengan membuat kerja-kerja kimpalan.
“Saya sering memerhati tugas juru kimpal malah ada kalanya saya menggantikan kerja mereka, lama-kelamaan timbul minat untuk mendalami ‘dunia’ ini membuatkan saya dan suami nekad berhenti kerja pada tahun 2022 dan membuka bengkel kimpalan sendiri di rumah,” ujarnya.
Maziah berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman ke bengkelnya.
Sebagai wanita, dia mengakui berdepan cabaran berbeza apabila menceburi bidang yang dikuasai lelaki terutamanya dalam mendapatkan kepercayaan pelanggan.
“Reaksi yang saya terima pelbagai, ada baik dan sebaliknya. Maklumlah kerja juru kimpal biasanya melibatkan penyambungan, pembaikan, dan pemotongan logam yang banyak ‘bermain’ dengan api bukan sesuatu yang biasa buat wanita dan membuatkan ada klien yang kurang percaya dengan kemampuan saya.
"Masa mula bekerja sendiri, setiap kali berjumpa 'tauke-tauke' besar untuk dapatkan tawaran kerja-kerja kimpalan, setiap kali itu juga mereka tanya 'bolehkah saya buat kerja untuk model saiz industri?'
"Tapi saya tidak mudah melatah sebaliknya meminta mereka beri peluang untuk lakukan kerja terbabit terlebih dahulu. Dengan dibantu suami, saya telah buktikan setiap kerja tersebut dapat dilakukan sehabis baik," katanya.
Maziah berkata, kini dia bukan sahaja berjaya membuktikan kerjaya lasak ini boleh diceburi golongan wanita, malah keupayaan dan ketelitiannya membuatkan tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan.
“Alhamdulillah, ramai klien yang berpuas hati dengan hasil kerja saya, ada yang dulunya tidak percaya dengan kemampuan saya, sekarang datang cari,” ujarnya.
Maziah berkata, paling membanggakan apabila bengkel kimpalan yang diusahakan bersama suaminya itu turut mendapat projek-projek besar daripada syarikat ternama termasuk anak syarikat kerajaan negeri serta industri perkapalan di Terengganu.
17 Oct 25
119
Warga Emas Terima Tanah Selepas Dua Dekad Menanti
KUALA NERUS, 16 Oktober- Hasrat untuk memiliki tanah sejak 25 tahun yang lalu akhirnya tercapai buat seorang penduduk di sini apabila menerima borang 5A, Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) hari ini.
Che Wan Zainol Anuar Che Wan Ahmad, 60, ternyata tidak dapat menyembunyikan rasa gembira dan terkejut ketika menerima tanah berkenaan dalam penyerahan di Dewan Cendarawasih Pejabat Daerah Kuala Nerus yang disampaikan ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail.
“Saya rasa seperti bermimpi kerana perkara ini sudah lama tiada khabar dan saya memang tidak menaruh apa-apa harapan lagi untuk memiliki tanah.
"Bukan sekadar sehelai borang, tapi inilah harapan, maruah dan impian yang tertanam sejak dulu.
“Sejujurnya saya tidak percaya apabila saya diserahkan surat untuk menerima borang 5A pada hari ini, terima kasih diucapkan kepada kerajaan negeri kerana menunaikan janji manifesto,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis hari ini.
Sementara itu, bagi penerima borang RTB Mengabang Bakong, Azhar Abdul Ghani Muhammad, 63 berkata, dia sangat terharu dengan komitmen kerajaan negeri untuk mengembalikan semula tanah yang ditarik lebih dua dekad dahulu.
“Hari ini salah satu hari paling gembira dalam hidup saya. Impian memiliki secebis harta untuk diri sendiri akhirnya termakbul.
“Saya mewakili semua peserta yang terkilan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu, ADUN Batu Rakit dan pejabat daerah kuala nerus,” tambah beliau.
Dalam pada itu, menurut Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ahmad Azizi Zulkifli berkata, seramai 219 penerima yang menerima tanah borang 5A hari ini dilarang menjual semula tanah itu dalam masa 10 tahun pertama.
"Itu adalah syarat utama, kalau boleh usaha mendirikan rumah dan manfaatkan tanah tapak kediaman ini,” ujarnya.
16 Oct 25
77
PBT Terengganu Siap Sedia Hadapi Musim Tengkujuh
Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Terengganu kini berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya bagi menghadapi Musim Tengkujuh atau Musim Timur Laut (MTL) yang mula melanda negeri ini.
16 Oct 25
5
Terengganu Terus Komited Pacu Agenda Islam
Kerajaan Terengganu terus teguh melangkah sebagai model pentadbiran Islam dengan menjunjung tinggi syiar Islam yang berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah.
16 Oct 25
31
TSCA 2025 Tarik Sekitar 2000 Peserta, Lengkapkan Pelan Tindakan Strategik Bandar Pintar
Program Terengganu Smart City Activation Day (TSCA) 2025 mencatat kejayaan membanggakan apabila menerima penyertaan lebih 2,000 peserta serta lebih 31 pempamer daripada pelbagai agensi dan syarikat berkaitan Bandar Pintar.
16 Oct 25
22
Menteri Besar Santuni Pasukan Hoki Terengganu
Menteri Besar Terengganu hari ini menyantuni Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam satu majlis di Ruang Legar U2, Wisma Darul Iman, sebagai tanda penghargaan terhadap kejayaan skuad itu menjulang empat kejuaraan utama musim ini.
16 Oct 25
21
Lautan Manusia Hadiri Maulid Akbar, Teguh Bersolidariti Untuk Al-Aqsa
Lautan manusia membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sempena Maulid Akbar Terengganu Berselawat, Solidariti Untuk Al-Aqsa, sebagai manifestasi kecintaan terhadap Rasulullah SAW serta tanda solidariti terhadap perjuangan membebaskan bumi Palestin.
16 Oct 25
15
Hoki Terengganu Ukir Sejarah, Julang Empat Kejuaraan
Pasukan Hoki Terengganu (THT) terus mencipta kegemilangan dalam sejarah sukan negara apabila berjaya menjuarai Piala Sumbangsih, Liga Hoki Malaysia, Piala TNB dan Piala Tun Razak pada musim ini, sekaligus menjulang nama Terengganu sebagai kuasa besar hoki tanah air.
16 Oct 25
14
Budaya Kerja Menyeronokkan Tingkat Produktiviti Penjawat Awam
Keseronokan bekerja merupakan elemen penting dalam meningkatkan produktiviti, motivasi dan kepuasan dalam kalangan penjawat awam, sekali gus memberi kesan positif terhadap kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
16 Oct 25
14
UC TATI Perkukuh Kerjasama Pendidikan, Industri Di Jepun
KUALA TERENGGANU, 16 Oktober – Kerajaan negeri melalui University College TATI (UC TATI) telah mengadakan lawatan akademik ke Jepun pada 2 hingga 7 Oktober lalu sekali gus menandakan satu lagi langkah ke hadapan dalam memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai negeri peneraju pendidikan teknikal bertaraf global.
Delegasi UC TATI yang diketuai oleh Rektornya, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid bersama Pengerusi Lembaga Pengarah, Dato’ Satiful Bahri Mamat, mengadakan siri lawatan rasmi, perbincangan akademik serta libat urus industri di beberapa bandar utama Jepun termasuk Tokyo, Tsu (Mie Prefecture) dan Osaka.
Kemuncak lawatan ialah kunjungan rasmi ke Mie University, sebuah universiti awam ternama yang diketuai oleh Presiden Prof. Dr. Masaaki Ito.
Menurut Hairul, dalam sesi pertemuan tersebut, kepimpinan Mie University dan UC TATI mencapai persetujuan awal untuk memperkukuh kerjasama jangka panjang dalam bidang pendidikan, latihan teknikal, dan penyelidikan bersama, khususnya yang melibatkan Fakulti Pendidikan universiti berkenaan.
“Perbincangan menjurus kepada keperluan membangunkan program pertukaran pelajar dan staf, pembangunan profesional tenaga pengajar TVET, serta perkongsian bahan rujukan dan modul pendidikan.
“Delegasi turut berpeluang melawat Tadika Mie University, yang berfungsi sebagai pusat latihan guru prasekolah dan tapak penyelidikan pedagogi,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Katanya, pendekatan Jepun yang menekankan rasa ingin tahu dan disiplin sejak peringkat awal boleh dijadikan model untuk memperkukuh program Pendidikan Awal Kanak-kanak UC TATI dan kursus latihan guru di bawah fakulti kemanusiaan universiti tersebut.
“Kita melihat nilai yang sama antara falsafah pendidikan Jepun dan prinsip pendidikan insan di UC TATI. Ia bukan hanya soal kemahiran, tetapi tentang membentuk keperibadian dan rasa tanggungjawab,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, delegasi turut berpeluang ke Suzuka KOSEN (National Institute of Technology Suzuka College), salah satu kolej teknikal paling berprestij di Jepun.
“Di sini, rombongan meninjau fasiliti latihan mekatronik, kejuruteraan elektrik, dan sistem automasi yang menggabungkan pembelajaran berasaskan projek industri sebenar,” ujarnya.
Katanya, model KOSEN memberi inspirasi kepada UC TATI untuk terus memperkukuh elemen TVET berasaskan industri (Work-Based Learning) serta memperluas program dual training dengan syarikat-syarikat strategik di Kemaman dan Kerteh.
Sementara itu katanya, di Osaka pula delegasi UC TATI melanjutkan misi ke Japan Halal Association (JHA) badan utama yang diiktiraf oleh JAKIM Malaysia dalam pensijilan halal di Jepun.
“Pertemuan ini membuka lembaran baharu dalam usaha memupuk kerjasama teknikal dan pembangunan kompetensi halal antara kedua-dua institusi.
“JHA turut menyatakan kesediaan untuk membantu UC TATI dalam aspek latihan bahasa Jepun dan pemahaman konteks budaya tempatan bagi memperkukuh daya saing pelajar Malaysia yang berhasrat bekerja dalam sektor halal global,” ujarnya.
Jelas beliau, hasil perbincangan di Mie University, Suzuka KOSEN dan Japan Halal Association serta pengiktirafan antarabangsa melalui International Halal Conference Osaka menunjukkan bahawa Terengganu kini berada di landasan tepat untuk menjadi model negeri berteraskan pendidikan, teknologi dan nilai Islam yang progresif.
16 Oct 25
69