lightning-solid
Berita :
TFC Tewas 4-1 Di Laman Sendiri
TFC Tewas 4-1 Di Laman Sendiri
Ahmad Zaeem Zainudin
18 Oct 25
43

KUALA NERUS, 18 Oktober - Harapan Terengganu FC (TFC) untuk membawa bekalan selesa ke perlawanan timbal balik suku akhir kedua Piala FA Malaysia musnah apabila tewas 1-4 di tangan Kuching City FC (Kuching) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.

Di hadapan hampir 10,000 penonton, skuad tuan rumah dikejutkan seawal minit kelapan apabila penyerang Kuching, Wanja Ronald Ngah, meledak gol pembukaan selepas berlaku kekalutan di hadapan gawang TFC.

Kelekaan benteng TFC sekali lagi dihukum empat minit kemudian apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada pelawat. Wanja tidak mensia-siakan peluang tersebut untuk menambah jaringan, menjadikan kedudukan 2-0 dalam tempoh seawal 12 minit permainan.

Kuching terus mendominasi permainan pada separuh masa pertama dengan serangan bertali arus, manakala barisan pertahanan TFC kelihatan bergelut mengekang asakan agresif oleh pasukan pelawat.

Bersambung babak kedua, nasib malang TFC berterusan apabila Ahmad Danial Ahmad Asri menambah derita tuan rumah dengan gol ketiga Kuching pada minit ke-52, menambah tekanan kepada tuan rumah.

Walau bagaimanapun, TFC akhirnya berjaya merapatkan jurang menerusi sepakan penalti pemain import sensasi skuad negeri, Yann Kevin Mabella, pada minit ke-68 untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Keberhasilan jaringan sulung pasukan tuan rumah itu sekaligus memberikan harapan Dan suntikan tonik kepada TFC untuk menutup jurang mata yang ketara itu.

Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila pemain yang sama menjaringkan gol sendiri pada minit ke-82 selepas tandukan tersasar masuk hasil sepakan penjuru Petrus Shitambi dari Kuching.

Perlawanan berakhir dengan kemenangan besar Kuching City FC 4-1, memberikan kelebihan selesa buat skuad Kuching menjelang aksi timbal balik di Sarawak pada 28 Oktober ini.


Artikel Berkaitan