lightning-solid
Berita :
Ombak Besar Jangan Belayar - Exco Terengganu
Ombak Besar Jangan Belayar - Exco Terengganu
Ahmad Zaeem Zainudin
19 Oct 25
108

KUALA TERENGGANU, 19 Oktober - Kerajaan negeri menolak dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan pusat peranginan di kepulauan negeri itu ditutup sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris menegaskan bahawa tiada arahan rasmi dikeluarkan oleh kerajaan negeri berkaitan penutupan pulau pada musim tengkujuh.

Razali (kanan)

"Walaupun musim tengkujuh atau MTL di Terengganu bermula pada November hingga Februari atau Mac, namun ia bukan berterusan sepanjang bulan.

"Dalam sebulan ada tiga atau empat kali bot boleh masuk. Jadi terpulang kepada pengusaha untuk tentukan.

"Tetapi kita sudah beri amaran kalau ombak besar tidak boleh belayar. Aspek keselamatan seperti pemakaian jaket keselamatan sangat penting dan diwajibkan," katanya seperti dilaporkan oleh Bernama beberapa hari yang lalu.

Beliau juga pernah menjelaskan bahawa sepanjang tempoh MTL akan dimanfaatkan oleh pengusaha untuk melakukan penyelanggaraan fasiliti tempat peranginan termasuk pembaikan bot yang merupakan salah satu aset penting bagi perniagaan mereka.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menyarankan pemain industri untuk memainkan peranan penting dalam memupuk kesedaran dalam kalangan pengunjung khususnya berkaitan aspek keselamatan.

Menurut Razali, apa yang boleh dilakukan oleh pemain industri ialah melalui penyiaran klip video bahaya aktiviti laut terutamanya menjelang MTL yang akan tiba tidak lama lagi.

"Semua pengusaha chalet dan resort sudah dimaklumkan supaya menyiarkan video-video pendek mengenai bahaya aktiviti mandi-manda di laut ketika musim tengkujuh.

"Video itu sudah ada. Alhamdulillah kita sifar korban tahun lepas, tidak ada kematian. Jadi kita harap pengusaha betul-betul mengambil langkah keselamatan dan begitu juga pengunjung," ujarnya.


Artikel Berkaitan