lightning-solid
Berita :
Badrul Tekad Perbaiki Komunikasi, Fokus Aksi Timbal Balik Di Kuching
Badrul Tekad Perbaiki Komunikasi, Fokus Aksi Timbal Balik Di Kuching
Ahmad Zaeem Zainudin
19 Oct 25
93

KUALA NERUS, 19 Oktober - Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali, bertekad memperbaiki kelemahan komunikasi dan organisasi pasukannya menjelang aksi timbal balik menentang Kuching City FC selepas tewas 1-4 dalam suku akhir pertama Piala FA Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.

Mengakui kekalahan itu berpunca daripada kesilapan sendiri, Badrul menyifatkan perlawanan tersebut bukan malam terbaik buat pasukannya yang banyak melakukan kesilapan mudah di semua posisi.

"Untuk perlawanan pada malam ini saya rasa bukan malam kita. Terlalu banyak kesilapan individu-individu, terlalu ghairah untuk menjaringkan gol dan kita lupa di belakang serta berlaku kesilapan komunikasi," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Menurutnya, kecuaian itu mengakibatkan pertahanan TFC ditembusi dua kali dalam tempoh 10 minit pertama, sekali gus memberi kelebihan awal kepada Kuching City FC untuk mendominasi perlawanan.

"Kita tahu pasukan Kuching mempunyai pemain yang berkualiti. Jadi kita dihukum dengan kesilapan-kesilapan yang kita buat untuk game pada malam ini," jelasnya kepada pemberita.

Badrul turut menjelaskan bahawa anak buahnya sebenarnya menunjukkan peningkatan pada separuh masa kedua dengan memberikan tekanan kepada pasukan lawan, namun sekali lagi kesilapan individu menggagalkan usaha untuk bangkit.

"Kalau kita tengok, kita memberi tekanan di separuh masa kedua tapi itu saya cakap kesilapan individu berlaku bila kita hendak menjaringkan gol, kalut untuk menjaringkan gol, kita lupa di belakang. Jadi mengakibatkan Kuching menjaringkan gol ketiga," katanya lagi.

Mengulas mengenai persediaan menghadapi perlawanan timbal balik di Kuching pada 28 Oktober ini, Badrul menegaskan tempoh sepuluh hari akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperbaiki kelemahan pasukan.

"Sudah tentu kita ada 'gap' dalam 10 hari ini dan kita ada 90 minit di Kuching. Kita akan buat yang terbaik. Apa kesilapan yang kita lakukan pada malam ni kita kena baiki, kita kena lupakan (kekalahan pada malam itu) dan kita cuba menyaingi Kuching di tempat lawan nanti," ujarnya dengan penuh tekad.

Jurulatih skuad negeri itu turut menekankan aspek komunikasi sebagai isu paling ketara yang perlu diperbetulkan segera agar kesilapan sama tidak berulang.

"Kalau kita tengok gol-gol yang Kuching jaringkan, komunikasi kita tidak tersusun dan disitu berlaku kesilapan. Saya harap pemain-pemain belajar pada malam ini, tidak boleh melakukan kesilapan apabila kita bertemu dengan pasukan Kuching," nyatanya.

Dengan kekalahan besar di laman sendiri, TFC kini perlu menang sekurang-kurangnya dengan tiga jaringan tanpa bolos di Kuching bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir.


Artikel Berkaitan