KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Penglibatan anak muda dalam bidang keusahawanan merupakan suatu perkembangan positif yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, usaha anak muda tempatan yang berjaya mengekalkan makanan tradisi Terengganu dengan sentuhan baharu dari sudut pembungkusan, pemasaran dan penjenamaan wajar dicontohi.
“Keropok lekor adalah salah satu identiti Terengganu. Apabila ada anak muda yang mampu bawa warisan ini dengan pendekatan moden, ia bukan sahaja mengekalkan tradisi tetapi juga memberi nilai tambah kepada ekonomi masyarakat setempat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau perniagaan tempatan, Mister Leccor yang terkenal dengan produk keropok lekor di Chendering, baru-baru ini.
Lawatan tersebut memberi ruang kepada beliau untuk meninjau usaha anak muda tempatan yang berjaya menginovasikan makanan tradisi Terengganu.
Sementara itu, Pengusaha Mister Leccor, Mohd Zaman Muda turut menzahirkan penghargaan atas kesudian Dr Khalil meluangkan masa melawat serta memberi semangat untuk mereka terus mengembangkan perniagaan.
Lawatan tersebut turut disertai sesi ramah mesra bersama pekerja dan pengusaha, selain meninjau produk serta operasi pengeluaran keropok lekor yang dijalankan.