lightning-solid
Berita :
Bukan Islam, Tapi Setia Hadir Kuliah Dhuha
Bukan Islam, Tapi Setia Hadir Kuliah Dhuha
Amirul Aizab Mohd
10 Oct 25
213

MARANG, 10 Oktober – Dalam suasana kuliah dhuha yang biasa dihadiri ribuan jemaah muslim di Masjid Rusila, kehadiran seorang bukan Islam menarik perhatian ramai.

Alex Chan Foo Yew, 41, yang juga Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kuala Terengganu, bukan sahaja hadir, malah menjadi antara yang istiqamah mengikuti kuliah Tuan Guru Presiden PAS saban minggu.

Dalam temu bual bersama media selepas kuliah pagi tadi, Alex yang juga AJK DHPP Pusat dan Timbalan DHPP Terengganu, menjelaskan bahawa beliau bukan hadir sebagai simbolik, tetapi benar-benar menjiwai nilai-nilai yang dikupas dalam kuliah tersebut.

“Saya tertarik mengikuti kuliah Tuan Guru kerana mesejnya bukan sahaja menyentuh soal agama, tetapi nilai-nilai sejagat seperti keadilan, kejujuran dan tanggungjawab.

"Nilai-nilai ini penting untuk semua manusia, tanpa mengira agama,” ujarnya.

Beliau yang juga memegang jawatan sebagai Pengerusi JKKP Kampung Cina, Kuala Terengganu berkata, pendekatan Tuan Guru yang lemah-lembut, berhikmah dan tidak menghukum membuatkan beliau selesa mendengar dan belajar.

“Saya tidak pernah rasa terasing. Malah saya percaya ramai bukan Islam akan lebih memahami Islam jika mereka hadir dan mendengar sendiri kuliah seperti ini.

"Islam bukan agama yang menakutkan, bahkan menyeru kepada kesejahteraan dan kasih sayang," katanya.

Alex berkata,  kehadirannya bukan untuk menukar agama, tetapi untuk menambah ilmu dan memahami prinsip perjuangan PAS serta konsep "Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera".

“Ramai yang terkejut pada awalnya, tapi akhirnya mereka faham. Kuliah ini bukan hanya untuk umat Islam, tapi ruang untuk semua mengenal nilai kemanusiaan dan menjalin perpaduan," ujarnya.

Beliau berharap agar lebih ramai masyarakat majmuk hadir ke majlis-majlis ilmu seperti ini untuk memperkukuh kefahaman dan keharmonian antara kaum di Malaysia.


Artikel Berkaitan