lightning-solid
Berita :
Mathurat Kubra, Mengaji dan Pahlawan Subuh Kukuhkan Rohani Masyarakat
Mathurat Kubra, Mengaji dan Pahlawan Subuh Kukuhkan Rohani Masyarakat
Mohd Haniff Abas
01 Oct 25
53

KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Usaha memperkukuh budaya al-Quran dan amalan kerohanian dalam kalangan masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading terus diperkasakan menerusi tiga program utama iaitu Mathurat Kubra, Pahlawan Subuh dan DUN Buluh Gading Mengaji.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, ketiga-tiga program itu dilaksanakan secara berkala tanpa pertindihan antara satu sama lain.

“Program Mathurat Kubra telah diadakan sebanyak tiga kali, dan insya-Allah akan diteruskan pada pagi Jumaat setiap awal bulan seperti biasa. Pelaksanaannya pula akan digerakkan dari sebuah masjid ke masjid yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pahlawan Subuh 1.0 yang berlangsung di Masjid Al-Ikhlas, Kampung Banggol Tuan Muda, di sini, baru-baru ini.

Dalam majlis sama, turut dilancarkan Program DUN Buluh Gading Mengaji yang menekankan bacaan Surah Al-Mulk dan Surah Al-Ikhlas selepas solat Isyak di seluruh masjid serta surau kawasan DUN berkenaan.

“Inisiatif ini diharap dapat memupuk istiqamah membaca surah-surah tersebut yang disunatkan dibaca sebelum tidur sebagai pelindung daripada azab kubur. Lebih mudah untuk diamalkan secara berjemaah selepas solat Isyak di masjid, berbanding dilakukan seorang diri di rumah,” ujarnya.

Menurut Ridzuan, Program Pahlawan Subuh yang julung kali dianjurkan itu juga akan diteruskan secara berkala, namun tempoh pelaksanaannya masih dalam perbincangan.

“Ketiga-tiga program ini adalah langkah strategik memperkukuh rohani masyarakat melalui pengisian yang seimbang antara ibadah, bacaan al-Quran dan zikir. Ia diharap dapat membentuk suasana masyarakat yang sentiasa dekat dengan Allah SWT serta melahirkan generasi berakhlak mulia,” katanya.


Artikel Berkaitan