lightning-solid
Berita :
Usahawan Diseru Berdaftar Dengan YPU
Usahawan Diseru Berdaftar Dengan YPU
Noraini Jusoh
02 Oct 25
57

Oleh : Nooreni Abu Bakar 

DUNGUN, 2 Oktober - Usahawan di negeri ini diseru berdaftar dengan Yayasan Pembangunan Usahawan(YPU) walaupun sudah berbuat demikian menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi membolehkan mereka merebut pelbagai insentif yang disediakan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Dato’ Ariffin Deraman berkata, tindakan sedemikian penting dalam mengembangkan lagi perniagaan masing-masing.

" Kita agak kecewa kerana hanya 15,000 yang berdaftar dengan YPU sedangkan usahawan yang berdaftar dengan SSM seramai 80, 000 orang, jadi kita hendak mereka daftar macam SSM," ujarnya .

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sembang Usahawan Daerah Dungun di Dewan Perpustakaan Awam Daerah Dungun, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman dan Pegawai Daerah Dungun, Lizan Che Mat.

Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat itu turut menzahirkan rasa kecewa apabila kemudahan berkenaan seolah-olah kurang mendapat sambutan daripada golongan sasar.

“Kurangnya pengetahuan tentang peluang-peluang ini menjadi faktor utama. Namun, apabila kita adakan taklimat, ramai yang tidak berminat untuk hadir, itulah masalahnya,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri menubuhkan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil (MPUKPPK) di setiap daerah bagi menyelaras gerak kerja bersama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), koperasi serta agensi berkaitan.

“Pertemuan seperti hari ini diadakan bagi memaklumkan insentif yang ditawarkan kerajaan Persekutuan, YPU dan pelbagai agensi lain,” ujarnya.

Katanya, terdapat individu yang bijak memanfaatkan peluang sehingga mampu memperoleh bantuan bernilai hampir RM1 juta dalam bentuk geran tanpa perlu membuat pinjaman.

“Ini menunjukkan insentif itu memang ada, cuma ramai yang tidak ambil tahu. Jika dimanfaatkan dengan betul, ia mampu membantu meningkatkan taraf ekonomi peniaga dan usahawan kecil,” jelasnya.


Artikel Berkaitan